بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, June 3, 2011

Tiga kategori musibah


FIRMAN Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286 bermaksud: 

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya, ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.

(Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”. 

Dalam erti kata lain, setiap musibah yang diturunkan oleh Allah terhadap hambanya mengikut amalan dan tingkat darjat mereka. 

Maka setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.


Menurut Timbalan Ketua Pegawai Penasihat Agama, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara, Khairia Ismail, musibah dikategorikan dalam tiga jenis iaitu kafarah, bala dan ibtila’ mengikut amalan dan ketaatan umat Islam.


Musibah kafarah berlaku ke atas orang baik tetapi ketika itu dia terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian atau kealpaan dan gagal mengawal nafsu. 

Denda ini diberi oleh Allah kepada hambanya sebagai tebusan dosa kerana dosa yang dilakukan tanpa dirinya menyedari dan tidak diketahui oleh orang lain misalnya bercakap perkara yang menyakitkan hati pendengar walhal dirinya tidak menyedari butir bicaranya menyebabkan orang berkecil hati. 

Bagi musibah bala pula, ia adalah ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan dan diturunkan sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat lagi di akhirat kelak. 

Misalnya kisah Firaun yang ditenggelamkan dalam Laut Merah dan Qarun yang ditenggelamkan bumi bersama-sama harta karunnya. 

Musibah ibtila’ berlaku ke atas orang baik ketika dia melakukan kebaikan sebagai tanda kasih sayang Allah bagi meninggikan darjat hamba-Nya yang beriman kepada-Nya. 

Selain itu, umat Islam juga harus sentiasa memenuhkan fikiran mereka dengan ilmu Allah melalui pembacaan al-Quran, berzikir dan melakukan amalan yang disuruh dalam Islam. 

Pengisian yang kosong dalam fikiran manusia akan memudahkan syaitan masuk bagi mengawal akal fikiran. 

Inilah yang menyebabkan pelbagai perkara berlaku selepas menghadapi kemalangan jiwa atau bencana misalnya trauma berpanjangan dan lebih parah lagi apabila menghadapi gangguan mental, skizofrenia. 

Lemah semangat dan mudah berputus asa harus disingkirkan dan jangan leka dengan membiarkan diri tanpa pengisian yang lengkap. 

Justeru, bagi umat Islam, harus perbanyakkan solat, membaca al-Quran dan berwirid. 

“Jangan lupa pada Allah walau sedetik pun kerana ia adalah penyembuh kepada penyakit khususnya trauma. 

“Al-Quran adalah pendinding diri yang paling baik bagi mereka yang tidak mempunyai semangat dan mudah berputus asa,” katanya. 

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 153 bermaksud: 

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” 

Tambahnya, ayat Kursi sesuai dijadikan pendinding untuk diamalkan sebagai satu cara berlindung daripada pelbagai perkara yang tidak diingini seperti kemalangan jiwa. 

“Bagi ibu bapa yang sedang membantu anak mereka dalam menghadapi trauma, pastikan supaya mereka tidak mengingatkan anak dengan kejadian yang berlaku ke atas dirinya atau apa saja kejadian yang menyebabkan kematian. 

“Ini akan menyebabkan mereka teringat pada kawan mereka yang meninggal semasa kejadian. 

“Selain itu, bawa mereka jauh dari tempat kejadian agar dapat meninggalkan kisah pahit itu dalam usaha memberi semangat dan motivasi kepada diri anak yang menghadapi trauma,” katanya.

Beriman dan bertakwa


Beriman dan bertakwa kepada Allah SWT adalah teras utama kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 96 yang bermaksud: 

“Sekiranya penduduk negeri itu, benar-benar beriman dan bertakwa (kepada Allah), tentulah Kami (Allah) akan membuka kepada mereka keberkatan hidup yang melimpah-ruah, sama ada dari langit mahupun dari bumi.” 


Beriman bererti mempunyai kepercayaan dan pegangan kukuh yang tersemat di hati, disertakan pengakuan lisan dan melaksanakan dengan perbuatan, manakala bertakwa pula bererti memelihara dan menjaga. Ini bererti jika iman diibaratkan seperti tumbuh-tumbuhan, maka takwa itu air dan baja dan siramannya akan menyuburkan iman. 

Oleh itu, dapat difahami bahawa iman dan takwa dari segi konsepnya tidak harus dipisahkan antara satu sama lain. Begitu juga tidak harus dipisahkan antara keyakinan (kepercayaan) dengan amalan soleh dan penolakan kerja keji dan mungkar kerana makna keimanan dan ketakwaan saling lengkap melengkapi. 

Dalam al-Quran Allah SWT menggabungkan antara iman dan takwa sebagai syarat asas mendapat keredhaan-Nya, seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 107 yang bermaksud: 

“Sekiranya mereka beriman dan bertakwa, pastilah ganjaran pahala di sisi Allah adalah lebih baik (bagi mereka).” 

Dari sudut terminologi, iman jika digunakan secara bersendirian,  ia memberikan makna takwa. Begitu juga sebaliknya jika perkataan takwa digunakan secara bersendirian ia memberikan makna iman. Jika disebut secara berkumpul, maka kedua-duanya mempunyai erti berbeza tetapi saling lengkap melengkapi. 



Penampilan umat Islam yang beriman dan bertakwa sudah tentu selari dengan konsep ‘ummatan wasatan’ iaitu umat yang bersikap sederhana, adil dan berimbang. Mereka sentiasa memberi contoh teladan yang unggul dan terbaik dalam melaksanakan aktiviti kehidupan mereka. 


Boleh sambung baca BERTAKWALAH KEPADA ALLAH

Hutang

Amalan berhutang sudah pun berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi, seperti kisah Nabi Muhammad SAW yang berhutang seekor unta. Kemudian baginda membayar hutang untanya tadi dengan unta yang lebih besar dan lebih baik daripadanya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu, ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).” 

Kini, berhutang sudah menjadi ‘trend’ dalam kehidupan masyarakat. Untuk memiliki kenderaan, perabot rumah dan apa saja keperluan hidup dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang itu perlu berhutang. 

Tetapi malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan pembayaran hutang mengikut perjanjian dibuat. Adakalanya orang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan si berhutang. 

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik sesuatu hutang yang dibuat. 

Rasulullah SAW mengingatkan kita semua orang yang berharta asyik menangguhkan pembayaran hutang yang sudah dibuat termasuk dalam perbuatan zalim. 

Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah Amir yang bermaksud: “Jangan kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: “Hutang.” 

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan. 

Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai pertautan yang amat rapat dan dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Hutang dari segi pahala, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan). 

Dalam kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu syurga kata-kata bermaksud: “Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda”.

Lalu baginda bertanya kepada Jibril: “Mengapa demikian? Jawab Jibril: “Sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang kalau tidak kerana sebab mendesak. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim). 

Pun begitu, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila bertujuan memenuhi keperluan yang begitu mendesak, seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa jua bencana alam dan golongan manusia yang termasuk dalam golongan kurang upaya. 

Ini bersesuaian dengan kehendak Allah seperti tercatat dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwa kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...