بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, October 8, 2013

Marah itu daripada syaitan



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah SWT 


yang bermaksud: 

"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik". (Ali-Imran: 134)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya antara lain menafsirkan: "Mereka tidak melampiaskan kemarahannya kepada orang lain, tetapi sebaliknya, mereka menahannya dengan mengharap pahala di sisi Allah SWT.

Imam al-Ghazali berkata: Ahli ilmu berpendapat bahawa berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bermakna orang yang suka marah bererti telah mengikat persahabatan dengan syaitan.

Adapun maksud perkataan janganlah marah yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan Baginda bersabda pada hadis yang lain: 

"Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua-dua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang merasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi."

Pernah juga Rasulullah SAW menerangkan: 

"Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang di kalangan kamu marah kamu maka hendaklah dia berwuduk."

Emosi kita harus matang lebih dahulu dalam mengenali dan menerima diri sendiri. Jika tidak, tentu kita akan salah langkah dan yang kita buat sudah tentu perbuatan yang salah. Akhirnya, kita merasa bersalah dan cemas kerananya.

Seseorang yang cenderung menggunakan emosinya dalam berfikir menandakan bahawa emosinya belum matang. Kita perhatikan seorang yang sakit jantung, dia datang kepada doktor untuk berubat.

Lantas disyorkan supaya berhenti merokok sementara, tetapi kerana emosinya dia mengabaikan saranan doktor tersebut. Maka apa yang berlaku? Dua bulan kemudian dia meninggal dunia akibat penyakit jantung yang parah.

Jika kita menurutkan emosi yang meluap-luap sudah tentu kita akan kehilangan arah, ke mana akan melangkah dan apa yang harus dilakukan. Orang matang emosinya cukup mengenali dirinya sendiri untuk menyedari apa yang menganjal di hatinya dan menggunakan sejumlah pengetahuan yang diperoleh daripada pengalaman sebelumnya.

Ketidakmampuan untuk mengakui batas-batas kemampuan kita akan menjadi emosi kemarahan boleh mengakibatkan banyak kecemasan dan kekecewaan.



Monday, October 7, 2013

Ingin hidup berkat?

Sumber

Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR


BERKAT satu anugerah yang luar biasa. Ia hanya diberikan kepada hamba-hamba Allah yang taat. Dengan keberkatan, rumah sempit terasa luas, harta sedikit terasa cukup dan hidup akan terasa lebih indah.

Orang kafir atau fasik tidak akan mendapatkan keberkatan. Justeru, mereka tetap merasa kurang dan sempit meskipun hidup dalam rumah besar dan mewah.

Tanpa keberkatan, kelebihan harta benda hanya akan menyeksa pemiliknya dengan pelbagai kebimbangan, ketakutan dan kerunsingan.

Di zaman Nabi Muhammad SAW, orang-orang munafik yang menentang hukum Allah secara zahirnya hidup dalam keselesaan. Mereka memilik harta yang banyak dan anak-anak ramai.

Meskipun begitu, Allah SWT menjelaskan sebenarnya keselesaan itu bukanlah hakik. Akan tetapi sekadar tipuan mata sahaja.

Justeru, Allah SWT berkata kepada kaum mukminin: 

"Janganlah engkau berasa kagum dengan harta dan anak-anak mereka. Allah menjadikan (harta dan anak-anak itu) hanya sebagai azab bagi mereka di atas muka bumi ini sehingga mereka akan dicabut nyawa dalam keadaan kafir". (al-Taubah: 55)

Secara bahasa, berkat (bahasa Arab: barakah) maknanya 'bertambah' dan 'berkembang'.

Ringkasnya, keberkatan dalam sesuatu ertinya kualiti kebaikan yang terdapat di dalam sesuatu itu berkembang sehingga melampaui bilangan kuantitinya.

Malam Lailatulqadar disebut sebagai malam berkat. Sebab kebaikan yang terdapat pada malam itu melebihi kebaikan yang terdapat pada malam-malam yang lain.

Meskipun tempoh masa malam itu seperti malam-malam yang lain iaitu 12 jam, namun kebaikannya menyamai 1,000 bulan.

Jika kita minta 'hidup yang berkat', ertinya kita meminta agar diberikan satu kehidupan yang kebaikannya melampaui bilangan hari-harinya. Walaupun kita hanya hidup dalam 70 tahun sahaja misalnya, namun mampu mencapai prestasi bagai orang yang hidup 100 tahun lebih.

Itu yang berlaku pada tokoh-tokoh ulama terdahulu. Mereka punya waktu yang sama dengan kita, sebulan terdiri dari empat minggu, seminggu terdiri dari tujuh hari dan sehari terdiri dari 24 jam. Namun keberkatan dalam hidup memungkinkan mereka berkarya lebih banyak daripada kita.

Lihatlah Imam al-Nawawi yang hidup hanya 45 tahun. Namun berjaya menghasilkan berjilid-jilid buku yang sangat tinggi nilai ilmiahnya.

Lembaran buku-buku yang ditulisnya lebih banyak daripada lembaran hari-hari yang berlalu sejak beliau lahir hingga meninggal dunia.

Penghapus keberkatan

Semakin kita menjadi insan bertakwa, semakin banyak keberkatan akan berlimpah dalam hidup. Firman Allah SWT: 
"Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi". (al-A'raf: 96)
Sebaliknya, maksiat dan penentangan syariat Allah akan menafikan berkat. Semakin sering seseorang melakukan maksiat, semakin hilang keberkatan daripada hidupnya.

Juga, tidak ada keberkatan dalam hidup, selagi mana makanan kita bersumber daripada perkara haram dan subahat. Makanan seperti ini akan menghalang manusia untuk menggunakan waktunya dengan berkesan. Akibatnya, timbul fenomena malas beribadah, mengantuk ketika belajar ataupun lalai ketika bekerja.

Tidak ada keberkatan dalam hidup kita selama riba bercampur dalam rezeki kita. Sebab Allah berjanji: 
"Allah akan memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah". (al-Baqarah: 276)

Imam Fakhruddin al-Razi berkata, "Ketahuilah bahawa Allah memusnahkan riba akan berlaku di dunia juga di akhirat. Adapun di dunia, akan terjadi dengan berbagai-bagai cara. Antaranya, orang yang mengambil riba akan jatuh miskin pada akhir hayatnya atau hilang keberkatan dalam hartanya."

Tiada keberkatan dalam hidup selagi mana khianat, pecah amanah dan rasuah sering menjadi kebiasaan. Syeikh Afdhaluddin berkata: "Khianat menghapuskan berkat sebagaimana haram menghapuskan halal. Sesiapa berkhianat dalam satu dirham, iblis akan mengheretnya untuk berkhianat dalam 1000 dirham."

Semoga Allah mengembalikan keberkatan dalam hidup kita agar kita berjaya di dunia dan di akhirat. Amin ya rabbal 'alamin.


PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor

Jasad dan roh terpelihara

Sumber

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

PARA syuhada dalam peperangan Uhud di Madinah adalah mereka yang dekat dengan Rasulullah SAW. Allah SWT telah melapangkan dada mereka untuk masuk Islam, maka mereka beriman kepada risalah Baginda.

Mukjizat-mukjizat Baginda yang mereka lihat menambah keyakinan mereka. Dengan demikian kehidupan mereka pun berubah, mereka membentuk diri menjadi peribadi-peribadi baharu. Mereka tinggalkan setiap perkara yang menentang syariat Allah di atas jalan Islam yang mulia.

Kesenangan mereka adalah di dalam beribadat kepada Allah dan taat kepada Rasul-Nya. Tubuh mereka seperti tubuh kita, tersusun dari bahan yang sama. Tubuh kita dan tubuh mereka menjadi tempat hidupnya makhluk-makhluk Allah yang berupa organisma mikroskopik.

Namun roh mereka bersih dan jiwa mereka besar. Tubuh mereka bekerja keras untuk menggapainya. Hal itulah yang membuat mereka menjadi generasi istimewa. Mereka bagaikan para pendeta di waktu malam dan penunggang kuda di waktu siang.

Jika ada penyeru yang memanggil untuk berjihad, mereka tinggalkan segala sesuatu di belakang mereka untuk mentaati Allah yang menciptakan mereka, dengan penuh keyakinan bahawa pahala yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal.

Bahkan ada di antara mereka yang pergi berjihad dalam keadaan junub, mereka tidak sempat mandi janabah kerana kuatnya keterikatan mereka untuk segera memenuhi panggilan jihad.

Para sahabat mulia yang berlaku siddiq kepada Allah SWT itu mendapatkan ujian yang baik pada peperangan Uhud. Mereka berazam untuk mati syahid dengan penuh kejujuran dan beramal untuk mendapatkannya, maka Allah pun memilih mereka untuk diletakkan di sisi-Nya dan mengambil mereka sebagai syuhada dalam keadaan maju dan mundur di medan perang.

Mereka beruntung mendapatkan keredaan Allah dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Mereka juga memiliki kemuliaan-kemuliaan yang besar, di antara kemuliaan itu ada yang biasa diketahui oleh manusia dan ada juga kemuliaan yang lebih besar yang tidak dapat dimengerti oleh manusia.

Jabir bin Abdullah RA berkata, Pada malam hari menjelang terjadinya Perang Uhud, aku dipanggil ayahku, beliau berkata, "Aku merasa bahawa aku akan menjadi orang yang pertama kali terbunuh di antara para sahabat Nabi SAW. Aku memiliki hutang, maka lunaslah hutang-hutang itu. Perlakukanlah saudara-saudara perempuan dengan baik. Benar, pada pagi harinya beliau menjadi orang pertama yang terbunuh (syahid). Beliau dikubur bersama orang lain dalam satu liang lahad. Namun aku merasa tidak nyaman membiarkan beliau dikubur bersama orang lain dalam satu liang lahad, maka enam bulan kemudian aku membongkar kuburnya dan aku mendapati keadaan jasadnya seperti ketika dahulu aku menguburkannya. (riwayat Bukhari)

Dalam riwayat Ahmad disebutkan, "Pada masa khalifah Muawiyah bin Abu Sufian, ada seseorang yang mendekatiku seraya berkata, "Wahai Jabir, para pekerja Muawiyah telah menggali kubur ayahmu hingga terlihat sebahagian jasadnya." Maka aku segera mendatanginya dan aku dapati keadaan jasad beliau sama seperti aku menguburkannya, tidak berubah sama sekali, maka aku menimbunnya kembali." (riwayat Ahmad)

Jabir bin Abdullah RA berkata lagi, "Ketika ayahku terbunuh pada Perang Uhud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Wahai Jabir, mahukah aku beritahukan apa yang dikatakan Allah kepada ayahmu?" Jabir menjawab, "Ya." Baginda menyambung: "Allah tidak mengajak bicara seseorang kecuali dari bilik hijab kepada ayahmu. Allah mengajak berbicara ayahmu dengan berhadap-hadapan. Dia berfirman: "Wahai Abdullah, berazamlah, nescaya Aku penuhi." Abdullah menjawab, "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku ke dunia sehingga aku terbunuh di jalan-Mu sekali lagi."

Allah berfirman: "Aku telah memutuskan bahawa seseorang yang telah mati tidak akan kembali ke dunia lagi." Abdullah berkata, "Wahai Tuhanku, kalau begitu khabarkanlah keadaanku kepada orang-orang yang ada di belakangku." Maka Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud: Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur (syahid) di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu tetap hidup di sisi Tuhannya dengan penuh mendapat rezeki. (Ali-Imran: 169)

PENULIS ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...