بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, June 3, 2011

Hukum makan sarang burung

Soalan


SAYA adalah antara yang suka makan sup sirip ikan yu. Apakah hukum memakannya. Saya juga berminat untuk menjalankan ternakan burung walit. Apakah hukum makan sarang burung dan juga menjana pendapatan daripada aktiviti ini.

Jawapan

Harus memakan sup sirip ikan yu, kerana ia seperti memakan ikan juga. Ini kerana sirip itu adalah sebahagian dari ikan yu. Hukum memakannya adalah seperti memakan ikan.

Semua jenis binatang air (iaitu binatang yang tidak hidup melainkan di dalam air atau di dalam laut seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya), hukumnya halal dimakan selagi tidak beracun atau mendatang mudarat.

Ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a menceritakan jawapan Nabi apabila ditanya mengenai laut, baginda menjawab; "Laut; airnya bersih boleh dibuat bersuci dan bangkainya adalah halal." (riwayat al-Tarmidzi, Ibn Majah, Abu Daud).

Maksud bangkai daripada istilah al-Quran dan as-Sunnah adalah semua binatang yang mati tanpa disembelih.
Maka berdasarkan hadis ini, semua binatang laut adalah halal tanpa perlu disembelih terlebih dahulu.

Hadis ini adalah umum tanpa Nabi membataskan jenis haiwan tertentu yang hidup di dalam laut atau di dalam air. Jadi, ia termasuklah semua jenis ikan.

Menurut Imam Ibnu Hajar; "Tidak ada khilaf di kalangan ulama pada halalnya ikan dalam semua jenisnya" (Fathul-Bari). Mereka (yakni para ulama) hanya berikhtilaf pada selain ikan;

1. Menurut mazhab Hanafi; Hanya ikan sahaja yang halal dimakan. Adapun haiwan-haiwan laut/air lainnya haram dimakan.

2. Menurut Imam Ahmad; semua binatang laut/air halal dimakan kecuali dua sahaja iaitu; katak dan buaya.

3. Menurut mazhab Syafiie (mengikut qaul yang muktamad) dan mazhab Maliki; semua jenis binatang laut/air harus dimakan sekalipun rupanya menyerupai binatang darat (kuda laut, anjing laut, babi laut dan sebagainya).

4. Sebahagian ulama berpandangan; bagi binatang laut/air yang rupanya menyerupai binatang darat, hendaklah dilihat; jika ia menyerupai binatang darat yang halal dimakan, halallah ia dimakan.

Contohnya; kuda laut, lembu laut dan sebagainya (jika ada).

Adapun jika ia menyerupai binatang darat yang haram dimakan, maka ia haram dimakan.

Contohnya; anjing laut, singa laut, babi laut, gajah laut dan sebagainya. Pandangan ini menjadi pegangan sebilangan ulama mazhab Syafiie sendiri.

Sebagaimana disebutkan tadi, maksud binatang laut/air adalah yang tidak hidup melainkan di dalam laut atau air, di mana jika dikeluarkan daripada laut/air akan menjadilah hidupnya seumpama binatang darat yang disembelih (yakni hidup yang amat singkat).

Adapun binatang yang boleh kekal hidup di laut/air dan juga di darat, maka ia dinamakan sebagai binatang/haiwan dua alam.

Menurut mazhab Syafiie; semua binatang dua alam haram dimakan. Contohnya; katak, ular, buaya, kura-kura, penyu, belangkas dan sebagainya. Mazhab Maliki menghalalkannya.

Jika diteliti persoalan ini dari sudut fikah, tiada sebab yang mengharamkan makan sarang burung layang-layang.

Ini kerana, sarang itu terhasil dan diperbuat daripada liur burung layang-layang dan liurnya adalah suci.

Maka kembali kepada kaedah asas syarak: Asal kepada sesuatu perkara adalah halal, kecuali ada nas yang mengharamnya, dan kaedah yang lebih teliti adalah: Asal kepada benda-benda yang bermanfaat adalah haram, dan asal kepada benda yang memudaratkan adalah haram.

Sarang burung bukan najis. - Sarang burung tidak dipandang jijik/kotor oleh masyarakat (tidak seperti ulat, serangga dan lain-lain) Maka atas sebab itu, ia harus dimakan.

Mengenai sarang burung layang-layang (walit)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 - 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Memakan Sarang Burung Layang-Layang.

Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum memakan sarang burung layang-layang adalah harus.

Memandangkan hukum memakan sarang burung layang-layang harus maka memeliharanya juga hukum harus.

Ayat-ayat al-Quran telah banyak menyentuh mengenai tuntutan memakan makanan yang halal. Islam sama sekali tidak mengizinkan penganutnya memakan sesuatu yang boleh membawa mudarat kepada fizikal mahupun spiritual.

Ini kerana ada makanan yang halal tetapi ia belum tentu baik untuk tubuh badan kita, seperti gula, lemak yang berlebihan yang boleh mengundang pelbagai jenis penyakit.

Islam mengajak umatnya mengekalkan kesihatan badan melalui pematuhan kepada makanan yang berkhasiat dan diet yang betul.

Perkara ini termasuklah persoalan memakan makanan yang belum pernah dimakan sebelum ini.

Contoh memakan sarang burung layang-layang bukan suatu kebiasaan masyarakat Malaysia, tetapi selepas mendapati ia (sarang burung layang-layang) dimakan oleh segelintir kecil masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran dengan gua, mula dikaji kelebihan dan khasiatnya sehinggalah hari ini sarang burung layang-layang ini berjaya menembusi pasaran global.

Sarang layang-layang ini menjadi tersohor apabila kajian dijalan ke atas sarang burung layang-layang dan mendapati ia sangat bermanfaat kepada tubuh badan manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah 168)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (al-Baqarah: 172 )

Ensiklopedia Solat buku untuk semua

Ensiklopedia Solat buku untuk semua

SOLAT merupakan satu kewajipan dan syiar yang paling utama dalam kehidupan seorang Muslim. Pemisah antara garisan iman dan kufur, menjadi perbezaan antara orang yang beriman dan orang yang kafir adalah solat.

Di dalam al-Quran, solat turut dijadikan sebagai pembukaan sifat-sifat orang yang beriman yang akan memperoleh kebahagiaan, sekali gus menjadi penutup kehidupan.

Al-Quran turut menganggap orang yang meninggalkan solat adalah orang yang sesat dan menyimpang. Adapun yang meninggalkan solat secara berterusan termasuk dalam ciri-ciri orang kafir.

Malah solat juga menjadi ibadah pertama yang akan dipersoal dan dihisab untuk seorang mukmin pada hari kiamat kelak. Ini menunjukkan pentingnya solat dalam kehidupan seharian masyarakat Islam.

Antara perkataan yang menjadi rukun dalam solat adalah takbiratulihram, membaca al-Fatihah (termasuk basmalah), tasyahud akhir, selawat ke atas nabi dan salam yang pertama. Selain itu, perbuatan yang merupakan rukun di dalam solat adalah; berdiri tegak jika mampu, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, duduk pada rakaat terakhir dan tertib.

Ia juga melibatkan hati iaitu melalui niat. Dan pada asalnya, perkataan solat itu adalah merujuk kepada doa atau untuk mengemukakan permohonan di dalam bahasa Arab.

Kepentingan solat

Solat merupakan talian langsung antara seorang hamba kepada penciptanya. Hanya orang yang beriman dan beramal soleh akan mendirikan solat.

Melalui solat juga, ia menjadi peluntur dosa-dosa ringan yang paling efisien. Solat juga berperanan dalam memohon segala perkara baik kepada pemohon, dalam bentuk perolehan suatu manfaat atau penghindaran daripada musibah dan petaka.

Solat turut menjadi kekuatan agama Islam. Melaksanakan kewajipan solat fardu diibaratkan membina tiang-tiang untuk memperkukuhkan agama.

Solat juga dapat membina jati diri yang dilihat mempunyai tiga keistimewaan iaitu ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Sekiranya solat yang didirikan tidak mempunyai ketiga-tiga perkara ini, maka solat tersebut akan dianggap tidak berfaedah sama sekali. Ini berdasarkan kepadaTafsir al-Azhar, Imam Abu al-Aliyah.
Solat turut menjadi kekuatan jiwa seseorang apabila ia didirikan sehingga mampu meninggalkan maksiat dan kemungkaran.

Malahan, ia menjadi cahaya kepada kehidupan di dunia dan untuk di akhirat kelak. Keberuntungan melakukan solat ini juga dapat dilihat apabila solat dapat meninggikan kedudukan dan menghapuskan kesalahan.

Kelebihan solat juga dilihat apabila solat merupakan penawar kepada tekanan perasaan. Solat dapat menenangkan jiwa yang kusut dan tertekan. Hal ini adalah disebabkan kerana solat mengandungi zikir-zikir yang mampu mendamaikan hati.

Rasulullah SAW sendiri mengakui hakikat zikir dapat mengubat jiwa yang resah seperti di dalam sabdanya: "Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat." (riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Adab: Bab Solat Malam).

Justeru, menyedari kepentingan dan kebertanggungjawaban dalam menyebarkan ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk setiap pelosok masyarakat, pihak Telaga Biru Sdn. Bhd. telah menerbitkan buku yang berjudul, Ensiklopedia Solat.

Ia adalah sebuah ensiklopedia lengkap mengenai solat terbitan syarikat tempatan, berbahasa Melayu yang pertama di Malaysia.

Buku ini menghimpunkan segala permasalahan dan keterangan yang berkaitan solat. Setiap permasalahan dan keterangan itu pula disokong dan dibantu dengan firman Allah dan hadis serta sunah Nabi Muhamad SAW yang menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam mengikuti dan menerapkannya ke dalam kehidupan seorang Muslim.

Melalui entri di dalam bentuk ilustrasi dan foto yang dapat menguatkan fakta, pembaca mudah memahami dan mengaplikasikan tatacara yang diajarkan.

Selain itu, penerangan turut diberikan di dalam peta minda, jadual dan carta. Kandungan ensiklopedia berkait dengan disiplin ilmu pengetahuan iaitu syariat, sains, perubatan, sejarah dan falsafah.

Kandungannya mudah untuk dirasionalkan oleh akal pemikiran di samping membuktikan kebesaran Allah SWT berikutan terdapat penerangan yang memudahkan untuk memahaminya.

Ilmu yang terkandung di dalamnya pula tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Semua hadis yang digunakan mempunyai matan, sanad dan nombor hadis untuk memudahkan para pembaca membuat rujukan.

Ia boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, khususnya yang ingin mengetahui dan memperbaiki solat yang didirikan. Ia juga sesuai untuk pengajar seperti guru, pensyarah dan sesiapa yang terlibat untuk membuat rujukan dan alat pembelajaran.

Malah, ensiklopedia ini boleh dikhususkan kepada pusat sumber, institusi pendidikan, pusat latihan, masjid, madrasah, pejabat dan pusat pendidikan. Penghasilan buku ini adalah merujuk kepada kitab-kitab muktabar dan sumber-sumber yang telah disahkan kesahihannya.

Huraiannya pula bersepadu dan menggunakan bahasa moden yang mudah untuk difahami. Dengan adanya ensiklopedia ini, sebarang permasalahan boleh dirujuk dan diperbetulkan dari semasa ke semasa.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.telagabiru.net.my atau hubungi 0362754070.

Jadilah yang membalas jasa ibu bapa


Oleh KHAIRIA ISMAIL
KELAHIRAN seorang anak pastinya disambut riang dan penuh kesyukuran oleh ibu dan bapa. Kelahiran si anak itu telah memberi rahmat yang bukan sedikit ke atas sesebuah keluarga.

Untuk membesarkan anak, ibu dan bapa sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk melihat anaknya hidup dalam situasi yang sempurna dan berjaya dalam kehidupan kelak. Jarang sekali ibu dan bapa yang mengungkit dan mengharapkan balasan kebendaan daripada anak-anak yang telah hidup berjaya. Bagi mereka cukuplah dengan ingatan dan kasih sayang yang berterusan.

Dalam meniti usia tua, sesungguhnya ibu dan bapa mengharapkan perhatian dan kasih sayang dari anak-anak mereka. Itu sudah memadai bagi mereka dan bukannya pemberian emas dan permata. Adakah anak-anak yang telah dewasa dan berjaya dalam hidup akan sedar tentang tanggungjawabnya terhadap ibu dan bapa?
Kita tentu merasa sedih bila membaca dan melihat ada anak-anak yang tidak menghiraukan ibu bapa mereka yang telah tua. Lebih malang, ada yang tergamak menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Tindakan sedemikian merupakan perbuatan yang tidak bertanggung-jawab.

Jelas, ia menampakkan anak-anak yang tergamak berbuat demikian tidak mempunyai perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap ibu dan bapa mereka. Anak-anak sedemikian sering memberi alasan bahawa mereka terlalu sibuk dengan urusan mereka sendiri sebagai alasan untuk melepaskan diri dari tanggung-jawab menjaga ibu bapa mereka.

Hakikatnya, menjaga kedua ibu dan bapa bukanlah satu bebanan. Mengapa anak-anak tidak sanggup berkorban sedikit menjaga ibu dan bapa mereka yang sudah tua sedangkan ketika kecil dahulu ibu dan bapa telah begitu banyak berkorban untuk masa depan anak-anak mereka?.
Lebih memilukan masih ada lagi di kalangan anak-anak yang menderhakai ibu dan bapa, melayani mereka seperti hamba atau orang gaji sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran, firman Allah SWT (yang bermaksud): Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sudah tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (al-Isra': ayat 23)

Ibu dan bapa adalah dua insan yang patut dan mesti di hormati dan dikasihi. Tanpa keduanya siapalah kita. Kedua mereka perlu dijaga dan dihargai terutama di usia tua mereka. Jangan sampai kita terlupa sesuatu di mana dalam mengejar kemewahan hidup, kita telah menyingkir ibu dan bapa kita. Kita terlupa memberi ruang waktu untuk berkhidmat bakti kepada mereka.

Peringatkanlah kepada sesiapa sahaja bahawa sesungguhnya dosa kepada kedua ibu dan bapa akan disegerakan balasannya oleh Allah SWT, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, bermaksud: Semua dosa diakhirkan oleh Allah menurut kehendakNya sehingga hari kiamat kecuali dosa menderhakai ibu bapa kerana sesungguhnya Allah menyegerakan (seksaan) bagi pelakunya sewaktu hidup sebelum dia mati. (riwayat Bukhari, Tabrani dan Hakim daripada Abu Bakr r.a.)

Iktibar berpedoman bagi kita semua ialah supaya kita mengasihi ibu bapa sebagaimana mereka mengasihi, mendidik dan mengasuh kita ketika kecil. Hidup ini hanya sementara. Carilah laluan terbaik agar kita tidak kecundang selamanya. Biarlah pengisian sementara ini bermakna buat kita selamanya. Kasihi dan kasihanilah ibu dan bapa kita setiap detik yang ada.

Insya-Allah hidup kita berkat selamanya sebagaimana yang diajarkan dalam al-Quran doa untuk keduanya: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra': ayat 24)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...