بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, June 2, 2011

Allah permudah jalan ke syurga bagi pencinta ilmu


Allah permudah jalan ke syurga bagi pencinta ilmu
Oleh Zahiruddin Zabidi

2011/05/19

ISLAM meletakkan ilmu di tempat tertinggi dalam kehidupan manusia. Ini terbukti dengan penurunan wahyu pertama iaitu arahan, ‘Bacalah!’.

Ibnu Kathir menerangkan, ayat itu adalah rahmat Allah kepada hamba-Nya, sekali gus menjadi nikmat pertama diberikan kepada manusia. Dalam ayat itu termuat peringatan mengenai kejadian manusia yang berasal daripada segumpal darah.

Antara kemurahan Allah juga, manusia diajar ilmu yang tidak diketahui mereka. Allah memuliakan hamba-Nya dengan ilmu yang diberikan. Inilah antara sebab mengapa Nabi Adam lebih mulia daripada malaikat.

Ada kala ilmu itu berada dalam fikiran, secara lisan dan juga penulisan. Memperoleh ilmu melalui akal, lisan dan tulisan adalah perkara yang harus dalam pemerolehan ilmu.

Oleh itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia dengan kalam. Dia mengajar manusia kepada apa yang mereka tidak tahu.” (Surah al-Alaq, ayat 3-5)

Dalam Sunan A-Darimi, bab Min Rukhsatil Kitabil Ilm dinyatakan: “Ikatlah ilmu itu dengan tulisan.” Kemudian disebut juga: “Sesiapa yang mengamalkan apa yang diketahuinya, Allah akan mewariskan apa yang mereka tidak tahu sebelumnya.”

Selain itu, banyak hadis yang direkodkan daripada Nabi Muhammad SAW mengenai kepentingan dan keutamaan ilmu. Daripada Anas bin Malik, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap seorang Islam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang memasuki sesuatu jalan bagi menuntut ilmu, Allah akan mudah kepadanya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Ketinggian dan kepentingan ilmu terbukti apabila dikatakan bahawa dengan menuntut ilmu maka jalan ke syurga akan menjadi mudah. Ini adalah janji Allah melalui nabi-Nya dan kita wajar mengejar peluang itu.

Begitu juga dengan jelas Rasulullah menerangkan penting dan besarnya sesebuah majlis ilmu dengan merujuk kepada sabda yang bermaksud: “Sesiapa pergi ke masjid hanya bagi mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka dia akan dapat pahala ibarat orang yang buat haji secara sempurna.” (Hadis Hasan, Sahih Al-Tarhib wal Targhib)

Selain daripada belajar ilmu seperti mana disarankan oleh Allah dan Rasul, orang Islam juga wajib mengajar orang lain apabila sudah cukup syaratnya.

Hal ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Mas’ud yang bermaksud: “Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah pelbagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara difardukan, yang mereka tidak dapat seorang pun boleh menyelesaikan perkara diperselisihkan itu.” (Hadis riwayat Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni)

Umat Islam mesti jaga aurat sesama jantina


Oleh Muhammad Asyraf

2011/05/24
LELAKI perlu menjaga batasan pergaulan dan aurat bagi  mengelak fitnah.
LELAKI perlu menjaga batasan pergaulan dan aurat bagi mengelak fitnah.
Lelaki memandang lelaki ‘cantik’ dengan syahwat haram



MATA kurniaan Allah untuk digunakan mengikut kesesuaian syarak. Mata membolehkan kita menikmati tetapi pandangan mata juga boleh merosakkan hati seperti dinyatakan sebahagian Salaf, pandangan mata adalah panah beracun yang menggoncangkan hati.

Allah menurunkan peringatan-Nya bermaksud: “Katakanlah kepada laki-laki beriman, hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (Surah an-Nur, ayat 30)

Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir tidak mengkhususkan ‘menundukkan pandangan’ hanya kepada wanita. Beliau mengambil pandangan sebahagian besar Ulama Salaf yang melarang memandang ‘amrad’ (lelaki cantik). Bahkan sebahagian mengharamkannya kerana menimbulkan fitnah.


Daripada Abu Said al-Khudri, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat sesama lelaki. Jangan pula seorang perempuan melihat aurat sesama perempuan. Seorang lelaki tidak boleh bersentuhan kulit sesama lelaki dalam satu selimut. Demikian pula seorang perempuan tidak boleh bersentuhan dengan perempuan lainnya dalam satu selimut.” (Sahih Muslim)

Hukum asal dalam Islam, dibenarkan lelaki memandang sesama lelaki. Juga tiada larangan bersentuhan. Malah disunatkan bersalam-salaman untuk mengikat hubungan silaturahim sesama Muslim.

Imam Abu Hanifah dan Muhammad Hassan Asy-Syaibani berpendapat makruh lelaki mengucup mulut, tangan atau mana-mana anggota mahupun memeluk lelaki lain.

Dalilnya, riwayat ketika Rasulullah SAW pernah ditanya: “Adakah boleh mengucup antara satu sama lain? Baginda menjawab: Tidak. Ditanya lagi: Adakah boleh memeluk antara satu sama lain? Baginda menjawab: Tidak. Ditanya lagi: “Adakah boleh bersalaman antara satu sama lain? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ya.”
Namun Abu Yusuf dari Mazhab Hanafi mengatakan tidak mengapa bersandarkan riwayat Jaafar bin Abi Thalib ketika pulang dari Habsyah, Rasulullah SAW memeluk dan mengucup dahi beliau. Begitu juga riwayat sahabat Rasulullah SAW apabila pulang dari musafir, mereka mengucup dan memeluk antara satu sama lain.

Persoalan berkenaan hukum lelaki memandang sesama lelaki, terutama lelaki yang dikategorikan sebagai lelaki ‘cantik’ (amrad), sebahagian ulama mengatakan amrad itu lelaki yang tidak mempunyai janggut dan misai (kerana lazimnya Muslim terdahulu itu memelihara janggut mereka).

Fuqaha’ bersepakat mengatakan haram melihatnya dalam keadaan syahwat. Manakala melihat lelaki ‘cantik’ tanpa perasaan syahwat dan tanpa unsur menimbulkan fitnah, fuqaha’ berselisih pendapat.

Jumhur fuqaha (majoriti) mengatakan hukumnya harus melihat kepada lelaki ‘cantik’ jika pandangan itu tidak mendatangkan syahwat. Namun sebahagian golongan al-Hanabilah berkata makruh jika melihat secara berulang kali.

Pendapat yang rajih dalam kalangan Syafi’iyyah berkata, haram melihat secara mutlak sama ada mendatangkan syahwat ataupun tidak. Pendapat ini disokong oleh Syeikh Ibn Taimiyyah dari Hanabilah.

Ini menunjukkan kehadiran lelaki ‘cantik’ di hadapan kita boleh membabitkan persoalan hukum yang sudah lama dibincangkan oleh ulama. Jelasnya, apa saja yang mendatangkan syahwat jika melihatnya maka jatuh hukum haram walaupun sesama jantina.

Bagaimana pula dengan isu jika tidur bersama jantina yang sama jenisnya. Sebagai contoh, lelaki tidur bersama lelaki sekatil. Ulama melarang lelaki sesama lelaki tidur secara bogel dalam satu pakaian atau selimut mahupun sekatil bersama. Walaupun kedudukan antara mereka itu berjauhan.

Jika berpakaian dan tidur bersama dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah maka diharuskan. Dalil jumhur fuqaha ialah berdasarkan kepada hadis Abu Said al-Khudri itu.

Sebenarnya Islam bukan disyariatkan untuk menyusahkan. Namun sebagai satu peraturan hidup yang memelihara maruah sesama insan. Ketelitian ulama membincangkan isu ini adalah satu jalan menutup jalan ke arah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’, ayat 36)

Kerana daripada mata turun ke hati, walau tanpa disedari. Dan mata itu satu deria kurniaan Allah yang amat indah jika tepat cara penggunaannya. Namun ia juga akan mengkhianati diri kita jika digunakan dengan penuh kekotoran dalam hati.

Firman Allah yang bermaksud: “Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.” (Surah al-Ghafir, ayat 19)

Pintu syahwat itu amat kuat dugaannya untuk setiap manusia. Namun, manusia yang bertakwa akan bijak mengawal hati sehingga mata akur dengan imannya. Jadikan hati yang khusyuk dan tawaduk perisai kelopak mata. Bukan mata yang tajam menjadi senjata untuk menikam kelemahan hati.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis 

Teknologi mudahkan jambatan silaturahim


Oleh DR. HUZAIMAH ISMAIL
HARI ini, jalinan ukhuwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim dengan memanfaatkan teknologi masa kini seperti e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman-laman sosial seperti Facebook dan lain-lain serta tidak ketinggalan melalui telefon.

Namun ramai yang tidak menyedari bahawa antara rahsia yang boleh mengeratkan hubungan silaturrahim, dan kasih sayang antara sesama ahli masyarakat ialah mengucapkan salam dan bertanya khabar tentang diri masing-masing.

Rasulullah SAW menunjukkan cara yang mudah dalam mewujudkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Islam iaitu melalui:

* Mengucapkan salam ketika bertemu.
* Menyahut panggilannya jika dipanggil
* Mendoakan ketika bersin..
* Menziarahi ketika sakit/kematian.
* Menolong ketika kesempitan
* Memenuhi undangan apabila dijemput.

Perhubungan yang baik ini mesti dilakukan secara berterusan bertepatan dengan petunjuk Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya.

Kita boleh gunakan kesempatan hari-hari perayaan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat antara ahli keluarga, sahabat dan jiran.

Amalan ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan ikatan ukhuwah sesama Islam.

Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 110).

Bagi mencapai matlamat sebenar amalan ziarah-menziarahi ini terdapat adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap Muslim untuk meraih keredaan dan rahmat ilahi.

Ikatan ukhuwah Islamiah yang erat dan kukuh di kalangan umat Islam merupakan elemen yang amat penting ke arah merealisasikan visi dan misi perpaduan ummah sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Perpaduan ummah yang jitu di semua peringkat mampu mengangkat keunggulan martabat umat Islam di persada dunia.
Silaturrahim juga merupakan tunjang utama kekuatan ummah dengan syarat ia diasaskan dengan ketakwaan dan berlandaskan syariat. Ia boleh menjauhkan manusia daripada hasad dengki dan fitnah.

Silaturrahim juga boleh mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT kerana dapat membentuk akhlak manusia lebih baik daripada sebelumnya.

Seandainya jalinan silaturrahim diabaikan, ia bukan sahaja merenggangkan hubungan dengan Allah tetapi juga memisahkan kasih sayang antara sesama manusia.

Orang yang paling berhak mendapat keakraban silaturahim daripada kita adalah orang yang hampir dengan kita.
Antaranya, ibu bapa dan kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan pertalian darah dan seterusnya orang-orang lain di luar lingkungan ini termasuklah jiran tetangga.

Allah SWT memerintahkan agar manusia berbuat baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat ataupun yang jauh. Ini jelas sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya. (al-Nisa': 36)

Untuk menjalinkan silaturrahim sebenarnya bukanlah sukar. Apa yang penting ialah keinginan untuk bersilaturrahim dalam diri manusia, tidak sombong, mengenepikan keegoan, kebencian dan dendam dan digantikan dengan perasaan kasih sayang, bersabar terhadap perbuatan yang menyakitkan dan berbuat baik serta bergaul bersama mereka dengan akhlak yang mulia.

Tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang retak bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini.

Orang tengah yang boleh mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus dalam masyarakat adalah mereka yang terpuji.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan yang telah terputus. (riwayat Bukhari)
Hubungan baik

Rasulullah SAW membimbing amalan baik yang wajar dilaksanakan oleh seseorang untuk mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang menghindarkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghindarkan satu daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan satu kesulitan di dunia, Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Sesiapa yang menghindari merosakkan hak dan kehormatan saudaranya, Allah akan menghindarkan wajahnya daripada api neraka pada hari kiamat. (Muttafaq 'Alaih)

Marilah kita sama-sama akrabkan kembali hubungan silaturahim sesama umat. Hulurkan tangan mohon kemaafan agar dapat meraih kejayaan dan kecemerlangan bersama sama ada di dunia dan akhirat.

Natijahnya kita akan terasa indah apabila setiap saat kita boleh bertegur sapa, mengisi hari dengan senyuman dan semangat kebersamaan antara keluarga, sahabat, rakan sekerja termasuklah mereka yang berlainan agama dan etnik dengan kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...