بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, November 11, 2013

Mencapai hakikat kebajikan, kebaktian


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah, saya dapat mengemukakan isu kali ini berkaitan galakan melakukan infak termasuk juga berwakaf. 

Untuk itu marilah sama-sama kita meneliti firman Allah SWT yang bermaksud: 



Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Ali-Imran [3] : 92)

Syed Qutub berkata: "Orang Islam di waktu turunnya ayat ini telah memahami maksud arahan Ilahi ini dan mereka begitu gemar dan teringin untuk mencapai darjat kebaktian yang menjadi intisari segala kebaikan dan kebajikan dengan menyerahkan segala apa yang disenangi mereka dan mengorbankan harta benda mereka yang baik dengan murah hati kerana mengharapkan balasan yang lebih baik dan lebih utama."

Imam al-Zahabi menceritakan tokoh-tokoh dermawan pada zaman tabiin: 

"Pada suatu hari, sekumpulan masyarakat duduk bersembang di dalam Masjidil Haram selepas mengerjakan solat Isyak."

Salah seorang daripada mereka bertanya: "Siapakah orang Arab yang paling dermawan era tabiin ini?"

Seorang lelaki menjawab: "Tabiin paling dermawan ialah Abdullah bin Jaafar bin Abu Talib, anak kepada Jaafar al-Tayyar."

Seorang lagi menjawab: "Orang Arab paling dermawan itu ialah Qais bin Saad bin Ubadah." Seorang lagi menjawab: "Orang Arab paling dermawan adalah Urabah al-Ausi."

Mendengar apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka kaum muslimin berkata: "Kalau begitu, hendaklah masing-masing daripada kita datang menemui setiap tokoh dermawan tadi secara berasingan. Sebelum berjumpa dengannya untuk meminta-minta, hendaklah kita menampilkan diri seperti seorang fakir.

"Setelah menjalankan tugas ini, kita hendaklah berjumpa kembali di tempat ini dan setiap orang akan menceritakan manakah antara mereka yang lebih pemurah."

Seorang pertama ditugaskan menemui Abdullah bin Jaafar memakai pakaian buruk dan compang-camping.
Setibanya di Madinah, dia mendapati Abdullah bin Jaafar sedang menunggang seekor kuda menuju ke Syam. Lelaki tadi terus menghalang perjalanan Abdullah bin Jaafar.

Melihat keadaan itu, Abdullah bin Jaafar berkata: "Sekiranya kamu mendatangiku ketika aku berada di Madinah, tentulah aku memberikan seluruh permintaanmu ini.

"Sekarang harta yang ada pada diriku hanyalah seekor kuda dan sebilah pedang. Sedangkan aku hendak bermusafir menuju Syam. Kalau begitu, ambil sahaja kuda ini. Demi Allah, mulai dari sekarang aku tidak akan lagi menunggang kuda."

Abdullah bin Jaafar kemudian duduk di bawah sebatang pokok menanti rombongan musafir dengan harapan mereka sudi membawanya ke negeri Syam.

Lelaki tadi terus mengambil kudanya dan membawanya ke Mekah.

Sementara itu, orang yang ditugaskan untuk meminta daripada Qais bin Saad bin Ubadah pula berangkat menuju ke rumah Qais. Setibanya di hadapan rumah Qais di Madinah, dia terus mengetuk pintu rumah. Tidak lama kemudian seorang pembantu Qais datang menghampiri pintu dari luar dan bertanya siapa di luar.
Lelaki tadi menjawab: "Aku adalah lelaki fakir. Aku datang ingin berjumpa Qais."

Pembantu rumah tersebut berkata: "Tuan saya sedang tidur tapi ambil sahaja 1,000 dinar ini untuk keperluanmu."

Dalam hatinya berbisik dengan penuh kehairanan: "Seorang pembantu rumah berani menginfakkan harta tuannya, lantas bagaimanakah dengan Qais?"

Seorang lagi yang ditugaskan berjumpa dengan Urabah bin al-Alusi menemuianya ketika dia sedang keluar rumah untuk mengerjakan solat Asar dan ditemani dua orang hamba sahaya. Urabah seorang yang buta dan memerlukan dua orang bagi membantunya.

Lelaki tadi terus meminta dengan berkata: "Aku adalah seorang fakir dan aku datang menemuimu untuk meminta sesuatu kepadamu."

Urabah menjawab: "Demi Allah, sekarang ini aku sudah tidak memiliki apa-apa lagi, kerana banyak yang telah aku infakkan sejak kebelakangan ini."

"Pun begitu, sudikah kamu menerima dua orang hamba sahaya ini?"

Lelaki tadi menjawab: "Kalau kamu berikan kepadaku dua hamba sahaya ini, siapa lagi yang akan membantu perjalananmu menuju ke masjid nanti?" Urabah menjawab: "Biarlah aku berangkat sendiri ke masjid."

Lelaki tersebut terus mengambil dua hamba berkenaan dan membawa pulang menuju ke Mekah. Ketiga-tiga lelaki tadi berhimpun di dalam Masjidil Haram selepas berjaya menjalankan tugas masing-masing.

Setiap daripada mereka menceritakan: "Abdullah bin Jaafar sememangnya orang kaya dan dermawan. Dia pasti dikenang oleh masyarakat Arab. Qais bin Saad pula ialah seorang dermawan dan baik hati.

Namun kedua-duanya tidaklah sehebat Urabah al-Alusi. Ini kerana dia bersifat pemurah meskipun dirinya fakir. Tambah pula, dia adalah orang buta dan berjalan ke masjid tanpa sesiapa yang membantunya."

Seorang penyair bersyair: "Aku lihat Urabah al-Alusi mengukir kehormatan, tanpa tandingan dan mereka pasti memujinya. Jika bendera kemuliaan dan kehormatan dikibarkan, pastilah Urabah orang pertama yang memegangnya."

Semoga sifat dermawan dan berinfak menjadi pakaian umat Islam dan sentiasa membantu golongan yang tidak bernasib baik.



1 comment:

Blog27999 said...

Do this hack to drop 2lb of fat in 8 hours

At least 160,000 women and men are trying a simple and secret "liquid hack" to drop 1-2 lbs each and every night as they sleep.

It is proven and it works all the time.

Here are the easy steps for this hack:

1) Go get a drinking glass and fill it half full

2) Proceed to learn this proven HACK

and you'll become 1-2 lbs lighter when you wake up!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...