بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, August 2, 2011

Ibnu Abbas profesor ulung dunia Islam

Masjid Abdullah bin Abbas yang terletak di Taif.

ABDULLAH bin Abbas atau Ibnu Abbas adalah antara beberapa orang tokoh Islam yang belum menjangkau usia dewasa ketika wafatnya Rasulullah SAW. Namun, ketika mencapai umur dewasa, beliau telah menjadikan dirinya sebagai ilmuwan terbilang, setaraf dengan ilmuwan Islam lain seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan sebagainya. Salah satu keistimewaan Abdullah berbanding para sahabat Rasulullah yang lain ialah tentang keluasan ilmu yang dimiliki oleh beliau.

Beliau terkenal sebagai tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan, antaranya ilmu sastera dan bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu matematik, dan ilmu faraid. Justeru, keluasan ilmunya itu membolehkan beliau mendapat gelaran pendeta Islam atau 'profesor' dalam konteks bahasa moden pada hari ini. Maka, Abdullah merupakan profesor ulung dalam dunia Islam. Kejayaan yang beliau peroleh salah satu puncanya adalah doa Rasulullah.

Doa Rasulullah ternyata dimakbulkan oleh Allah SWT apabila Abdullah berjaya memiliki sifat-sifat tersebut tatkala beliau mencapai umur dewasa. Abdullah tergolong dalam keluarga Rasulullah dan beliau adalah sepupu baginda kerana ayah Abdullah, iaitu Abbas bin Muttalib adalah bapa saudara Rasulullah.

Apabila Rasulullah wafat, Abdullah masih kecil lagi dan adalah diriwayatkan bahawa beliau telah melakukan solat di belakang baginda semasa umurnya tidak kurang daripada lapan tahun. Sedari kecil Abdullah gemar bermain di rumah baginda dan pada suatu hari ketika Abdullah berlari menuju ke rumah baginda, beliau ternampak baginda Rasulullah sedang berwuduk, maka dengan segera Abdullah menghulurkan air wuduk untuk Rasulullah. Perbuatan Abdullah amat menggembirakan baginda Rasulullah dan setelah baginda selesai menunaikan solat, lantas Baginda memangku Abdullah sambil mengusap kepala Abdullah lalu baginda berdoa: "Ya Allah berikanlah keberakahan kepadanya dan berikanlah ilmu daripadanya."

Satu lagi peristiwa yang diriwayatkan mengenai Abdullah ialah kisah beliau terpandang Malaikat Jibril. Menurutnya, pada suatu hari ketika beliau memasuki rumah Rasulullah, Abdullah telah ternampak ada seorang lelaki yang tidak dikenalinya sedang bersama Rasulullah. Lantas Abdullah segera pulang akibat terlalu gementar dan terus memberitahu ayahnya Abbas bin Muttalib. Kemudian ayahnya berkata, "Wahai anakku, kau telah melihat Jibril yang kebetulan sedang bertemu dengan Rasulullah SAW."

Mencapai pelbagai kejayaan
Ketika Abdullah bin Abbas meningkat dewasa, beliau telah mencapai kedudukan yang terkemuka di kalangan para sahabat Rasulullah. Beliau telah bekerja keras mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah dan memahami al-Quran sedalam mungkin serta memberikan fatwa-fatwa kepada masyarakat berhubung dengan hukum agama.
Menjelang zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Abdullah telah mencapai berbagai-bagai kejayaan, antaranya sebagai ahli tafsir dan hadis yang terkemuka sehingga orang ramai dari seluruh pelosok negeri berminat untuk menuntut ilmu dengannya.

Khalifah Umar bukan sahaja sentiasa berada di sisi Abdullah bahkan sentiasa bertukar pandangan dengannya sepertimana yang selalu Rasulullah lakukan dengan para sahabat. Sebagai tanda penghargaan kepada Abdullah, Saiidina Umar telah mengelarkan Abdullah sebagai: "Ibnu Abbas adalah seorang pemuda yang telah tua ilmunya, mempunyai lidah yang amat berharga dan mempunyai hati yang bersih."

Selain itu, Saidina Umar pernah berkata: "Sebaik-baik tafsir al-Quran adalah daripada Ibnu Abbas. Jika umurku masih panjang, nescaya aku akan selalu berdampingan dengan Abdullah bin Abbas."

Di samping itu, Umar al-Khattab juga pernah berkata bahawa: "Tidak ada fatwa yang lebih baik yang pernah aku dengar melainkan daripada fatwa Ibnu Abbas." Demikianlah kebesaran Ibnu Abbas sebagai tokoh tafsir yang tiada tolok bandingnya. Segala puji bagi Allah yang telah memperkenankan doa Rasulullah terhadap diri Abdullah.

Pada zaman pemerintah Saidina Uthman bin Affan pula, Abdullah juga memperoleh keutamaan sama seperti pada zaman pemerintahan Saidina Umar . Semasa zaman pemerintahan Saidina Uthman, Abdullah telah dilantik pada tahun terakhir pemerintahan Uthman sebagai Khalifah.

Namun, Abdullah tetap tegas dengan pendiriannya bahawa jika sesuatu perkara itu adalah hak mahupun benar beliau akan memberitahu Uthman walaupun khalifah amat sayang kepada beliau.

Menurut satu riwayat, bahawa pada suatu hari ada serombongan sahabat telah datang mengadap Khalifah Uthman untuk membicarakan sesuatu masalah. Antara yang terlibat dalam rombongan tersebut ialah Abdullah. Semua anggota rombongan tersebut telah kembali tanpa memperoleh manfaat daripada kunjungan tersebut melainkan Abdullah di mana beliau meneruskan perbincangannya dengan Khalifah secara mendalam dengan menggunakan bahasa yang lebih lembut serta sindiran-sindiran yang halus dan dalam sehingga Khalifah Uthman bin Affan memperkenankan apa yang diminta oleh Abdullah serta para sahabat yang terlibat dalam rombongan tersebut.

Ketika meletusnya ketegangan pendapat antara pihak Saidina Ali bin Abu Talib dengan pihak Muawiyah bin Abu Sufyan berkaitan dengan pembunuhan Khalifah Uthman, Abdullah dengan tegas telah memberikan sokongannya kepada Saidina Ali sebagai Khalifah yang seterusnya dan Saidina Ali amat menyenangi dan menyayangi Abdullah dan mengangkatnya sebagai Gabenor di kota Basrah.

Sungguh Allah telah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada Abdullah hingga beliau memiliki otak yang cerdas dan telah berjaya menjadikan dirinya sebagai sumber utama ilmu tafsir pada abad pertama. Justeru, beliau telah digolongkan sebagai ulama besar, pendeta mahupun profesor ulung dalam dunia Islam.

Kota Makkah meriah pada malam Ramadan

Oleh Mohd Lotfi Lokman

2011/08/02

ALLAH Taala berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu semoga kamu bertakwa” – surah al-Baqarah. Rentetan daripada firman Allah SWT itu, maka diwajibkan kepada kita untuk menunaikan kewajipan puasa yang bermula pada 1 Ramadan. Puasa juga perkara ketiga yang ditetapkan ke atas umat Islam dalam Rukun Islam. 


Setiap tahun umat Islam menyambut Ramadan yang juga bulan untuk kita menguji ketahanan mental dan fizikal. Dari segi sambutan, mungkin di tempat lain, lain caranya. Di Makkah Al-Mukarramah, sambutan Ramadan sudah pun bermula seawal bulan Syaaban.


Pada akhir Syaaban, penduduk Makkah secara amnya akan berpusu-pusu ke pasar raya dan gedung jualan untuk membeli-belah dan membuat simpanan stok sepanjang Ramadan. Pada bulan puasa, kota Makkah akan menjadi kota yang paling sibuk berbanding bulan lain kecuali bulan haji.

Oleh itu, ada penduduk mengambil inisiatif untuk mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dengan merancang lebih awal perbelanjaan mereka. Ia termasuk juga pembekalan air zam-zam yang boleh didapati di tempat pengagihan air sama ada di Qudai atau di Maulud Nabi berdekatan Masjidil Haram. Harga air zam-zam sudah diketahui umum akan melambung tinggi kerana permintaan melebihi pasaran. Perancangan awal amat diperlukan untuk menjimatkan kos perbelanjaan sempena Ramadan. 


Dalam bulan puasa, pelbagai syarikat swasta akan menawarkan khidmat penyediaan makanan berbuka. Bagi golongan yang tidak berkemampuan dan jemaah umrah, mereka biasanya akan menyediakan pakej bermula dari harga SR10, SR20 dan SR30. Sebagai bayaran untuk pengagihan makanan kepada jemaah dan penduduk kota Makkah, golongan Arab yang kaya akan menghulurkan sebanyak-banyaknya sedekah di dalam bentuk ini kerana ia adalah satu sifat tradisi penduduk Makkah dalam memberi layanan kepada jemaah. 

Pada waktu petang selepas selesai solat Asar, akan ada beberapa kenderaan yang berhenti dan membahagi-bahagikan makanan secara percuma kepada pejalan kaki. Biasanya mereka akan bertumpu di sekitar Masjidil Haram untuk tujuan itu. Kita akan dapat melihat jemaah berebut-rebut untuk mendapatkan makanan secara percuma yang diagihkan secara rawak kepada mereka. 

Jika di Mesir, ada pemandu teksi yang memberikan khidmat secara percuma demi untuk meraih ganjaran dari Allah SWT atas usaha itu. Namun, di Makkah amat berbeza. Ada peniaga menaikkan harga sehingga berkali ganda kerana pengangkutan utama di sini ialah teksi. Harga akan melambung naik apabila tiba 10 malam terakhir Ramadan. 

Pengangkutan lain seperti bas juga ada disediakan dengan harga tiket sebanyak SR2 yang menghubungkan Mina dan terminal bas di Maulud Nabi. 

Lokasi majlis berbuka puasa yang paling meriah sudah tentulah di dalam Masjidil Haram. Berlatar belakangkan Kaabah, anda dapat menikmati kurma pilihan seperti sukkari, ajwa, routab, anbar dan lain-lain lagi yang disesuaikan dengan minuman arab iaitu Qahwah (kopi pahit) dan teh bersama daun pudina. 

Selesai solat Maghrib, kebanyakan jemaah akan keluar untuk mendapatkan pelbagai makanan di kedai berdekatan dan pilihan utama kami sudah tentulah di restoran FELDA D'saji yang menyediakan teh tarik paling sedap di Arab Saudi. 

Ramadan membuatkan kota Makkah menjadi antara bandar raya paling sibuk dunia. Manusia datang bertumpu dari serata pelusuk dunia. Ramadan kali ini juga menjadi tempat tumpuan bagi negara teluk yang berdekatan seperti Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk datang berkunjung bagi menghabiskan cuti sekolah yang berlanjutan selama tiga bulan. 

Faktor lain yang turut menjadi penyumbang bagi kesesakan adalah kerana berlakunya kerja pengubahsuaian secara besar-besaran di sekitar Masjidil Haram. Hotel lama seperti Aziz Khooger, Asia Palace, Sofitel, Grand Makkah dan sebagainya diruntuhkan untuk tujuan pembesaran kawasan Masjidil Haram. 

Malam Ramadan akan terus hidup sehingga tiba waktu fajar. Kebanyakan daripada umat Islam menggunakan kesempatan selesai solat tarawih untuk melipat-gandakan lagi amalan dengan terus berada di dalam masjid sehingga waktu Subuh kerana jarak antara tarawih dan waktu subuh hanyalah lima jam. 

Ada juga penduduk Makkah menggunakan kesempatan pada waktu malam untuk bertandang ke rumah rakan dan sanak saudara, bermain bola, berkelah bersama keluarga dan sebagainya sehingga waktu bersahur dan selesai solat Subuh. Sejurus saja solat Subuh, kedai yang berada agak jauh dari Masjidil Haram akan menutup kaunter dan akan membukanya kembali selepas Asar. 

Penulis ialah graduan Kulliyah Syariah Jurusan Dirasah Islamiyyah Universiti 
Umm al-Quran, Makkah

Perintah tunai ibadah Ramadan sama amalan solat - Latihlah anak-anak

Sunat latih kanak-kanak puasa
Oleh Muhammad Asyraf

2011/08/02

Perintah tunai ibadah Ramadan sama amalan solat 

RAMADAN ialah sesi persekolahan dalam menghasilkan jiwa yang bertakwa. Ia juga satu kesempatan yang telah diberikan oleh Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang salih dan salihah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6.


Banyak amalan yang boleh dipraktikkan mengikut petunjuk Rasul dalam mendidik anak pada Ramadan. Antara yang menjadi amalan ialah dengan mendidik anak yang kecil berpuasa. Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya.

Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah) 

Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW bermaksud: “Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud) 

Makna diangkat pena itu ialah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Maksudnya kanak-kanak tidaklah berdosa jika mereka meninggalkan puasa Ramadan. 

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, ia bukanlah satu larangan kepada ibu bapa melatih anak-anak berpuasa. Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa melatih anak-anak mengerjakan solat walaupun mereka belum mencapai usia baligh. Hadis yang bermaksud: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). 

Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa. Malah Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni jilid 3 mengatakan bahawa: “Kanak-kanak dikehendaki berpuasa apabila mencapai umur tujuh tahun jika dia secara fizikal mampu melakukannya. Sesetengah ulama berpendapat, dia hendaklah didenda secara fizikal jika tidak berpuasa ketika umurnya 10 tahun. Ia sama seperti tindakan yang diambil jika tidak bersolat.” 

Kenyataan ini bersesuaian dengan amalan dalam kalangan anak-anak pada zaman Rasulullah SAW. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ katanya: “Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke desa Ansar yang berada di sekitar Madinah dengan katanya: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas kejadian itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Jika ada antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan berkenaan sehingga tiba waktu berbuka. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini menunjukkan sunat bagi ibu bapa memerintahkan anak-anak mereka berpuasa dengan tujuan melatih mereka sekiranya mereka mampu. Malah sunnahnya amalan ini disokong oleh ulama salaf seperti Imam Syafie, Ibnu Sirin dan az-Zuhri. 

Imam Nawawi memperincikan hadis di atas dengan berkata: “Begitu juga keadaan kanak-kanak yang hampir mencecah usia baligh, mereka perlu diberikan pelajaran segala bentuk ketaatan secara berperingkat. Ini kerana urusan Islam juga masuk secara berperingkat. Selagi ada kemudahan bagi mereka, mereka akan melakukannya, malah menambahnya, dan selagi ada kepayahan, mereka belum mampu melakukannya, dan jika mereka menyusahkan diri juga, maka mereka mustahil melakukannya.” (Syarh Sahih Muslim 6/170) 

Malah Imam Bukhari membawakan kepada kita satu athar bahawa amalan berpuasa dalam kalangan kanak-kanak sudah lama dilakukan, malah ia menjadi tradisi pada zaman sahabat. Kisahnya suatu hari Umar al-Khattab telah dihampiri oleh seorang lelaki yang mabuk di bulan Ramadan. Lalu dia berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” Lalu beliau menyebatnya dengan 80 sebatan. (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak) 

Ada sebahagian ibu bapa yang menawarkan upah atau hadiah bagi anak-anak mereka yang berjaya menghabiskan puasa Ramadan. Amalan memberi upah ini bukanlah suatu yang melanggari syarak. Malah ia sesuai kepada mereka yang masih kanak-kanak. 

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis musim pertama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...