بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, March 9, 2011

Malaikat bantu tentera Islam

Malaikat bantu tentera Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SETELAH pasukan tentera Islam mencapai kemenangan di Badar mengalahkan tentera Quraisy, Rasulullah SAW segera menyampaikan berita gembira itu kepada para pengikut baginda yang lain di Madinah.

Dua orang sahabat, iaitu Abdullah bin Abi Rawahah dan Zaid bin Harithah diutuskan bagi menyampaikan berita itu sementara baginda masih di Badar dalam persiapan untuk pulang ke Madinah.

Sebelum itu, di Madinah telah tersebar berita palsu atau fitnah apabila golongan Yahudi dan munafik.

Mereka memberitahu, Rasulullah terbunuh di medan Badar dan tentera Islam mengalami kekalahan teruk.

Buktinya apabila Zaid bin Harithah pulang ke Madinah menyampaikan berita itu dengan menunggang unta milik Rasullullah yang bernama Al Qaswa.

Apabila daripada jauh mereka melihat Zaid menunggang unta itu dan ditunjukkan kepada para penduduk Madinah yang lain, maka mereka pun berkata: "Memang benarlah Muhammad telah mati dibunuh. Bukankah unta yang dinaiki oleh Zaid itu kita sangat kenal? Zaid pun tidak tahu untuk berkata-kata apa kerana takut dan pulang bagai orang yang tewas."

Namun apabila kedua-dua utusan itu sampai di tengah-tengah orang ramai yang mula berkerumun untuk mengetahui berita yang dibawa, mereka begitu terkejut.

Lebih-lebih lagi apabila Abdullah dan Zaid melaung-laungkan: "Sudah terbunuh Abu Jahal yang fasiq itu! Telah terbunuh juga Utbah, Umayyah, Syaibah dan Abu Al Buhturi!"

Penduduk Madinah menjadi terpinga-pinga. Ini kerana ada juga yang mengetahui bahawa Nabi SAW dan para sahabat keluar dari Kota Madinah untuk menyekat rombongan dagang Abu Suffian.

Jadi apa kena mengena nama-nama yang disebutkan tadi dengan kafilah Abu Suffian itu?

Bagaimanapun, apabila Abdullah dan Zaid memberitahu perkara yang sebenar dan kemenangan yang mereka capai, barulah penduduk Islam Madinah bersorak sorai kegembiraan.

Mereka bertakbir dan berselawat meraikan kemenangan yang tidak disangka-sangka itu.

Namun bagi golongan Yahudi dan munafik di Madinah tetap tidak percaya dengan berita gembira yang dibawa oleh Abdullah dan Zaid itu. Bagaimana Muhammad yang pergi menyekat kafilah yang sangat besar itu datang membawa cerita bahawa semua panglima Mekah tewas di tangan Nabi Muhammad. Sekali gus juga 70 orang pahlawan Mekah tewas.

Walaupun golongan ini cuba menyebarkan fitnah mengatakan bahawa Nabi Muhammad sebenarnya telah mati dibunuh berikutan unta yang ditunggang oleh Zaid itu, mereka tidak dapat menyekat para pembesar yang beramai-ramai keluar dari Madinah kerana tidak sabar untuk menemui Nabi SAW.

Ketika tiba di Al Rawha, mereka pun bertemu dengan rombongan baginda di situ. Di situ baginda menerima ucapan tahniah dan begitu gembira berkongsi kejayaan dengan pasukan tentera Islam yang lain.

Salah seorang daripada mereka, iaitu Salamah bin Abi Sa'lamah pun berkata: "Apa sebabnya kami mengucapkan tahniah kepada kamu? Demi Allah kemenangan ini tidak lain kecuali kerana dibantu oleh orang-orang tua yang botak kepalanya tetapi gagah perkasa mengalahkan seekor unta yang garang!"
Sambil tersenyum baginda pun berkata: "Wahai anak saudaraku, mereka itu sebenarnya para malaikat yang turun membantu!"

Sementara Usaid bin Hudayr pula berkata: "Wahai Rasulullah, syukur kepada Allah yang memberi kemenangan kepadamu dan mententeramkan kamu. Demi Allah, wahai Rasulullah, kalaulah aku tahu bahawa kamu akan bertemu dengan musuh besar dalam suasana perang nescaya pasti aku juga ingin turut menyertai dalam peperangan ini.

"Kerana tidak menyangka bahawa kamu keluar sebenarnya untuk menghadapi sebuah angkatan perang dari pihak Quraisy".

"Kamu benar, semuanya sebagaimana dalam perancangan Allah," jawab baginda.

Tidak lama kemudian, mereka pun semakin menghampiri Kota Madinah dan makin ramai penduduk Madinah yang menyambut baginda dan anggota tentera yang lain. Saat itu bagai pesta bagi seluruh penduduk Madinah menyambut kemenangan tentera Islam.

Namun di saat itu juga seluruh golongan Yahudi hanya mampu melihat daripada jauh kepulangan yang penuh dengan kemenangan itu dengan pelbagai perasaan yang tidak kurang juga gerun di hati.

Kemenangan di Badar bererti umat Islam bukan lagi calang-calang yang boleh dikalahkan. Begitupun, kepulangan Rasulullah dalam keadaan tidak mengalami sebarang kecederaan itu persis pahlawan yang gagah berani telah menarik lebih ramai penduduk Madinah memeluk Islam.

Hukum jual-beli semasa azan Jumaat

APABILA sesuatu itu diharamkan dalam Islam, ia juga akan menyebabkan pengharaman perkara-perkara yang boleh mendorong terjadinya perkara haram itu. Maka, Islam menutup pintu-pintu atau perkara yang boleh membawa kepada haram.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Al-Halal Wal Haram Fil Islam menegaskan perkara ini dengan mengemukakan kaedah yang dipersetujui oleh para ulama Fiqh iaitu: "Perkara yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu yang haram, maka perkara itu juga adalah haram."

Maka, kaedah ini boleh kita lihat berlaku kepada pengharaman jalan-jalan ke arah perzinaan, riba, judi dan sebagainya. Demikian juga yang berlaku kepada solat Jumaat.

Haram bagi umat Islam melalaikan diri dengan berlengah-lengah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid. Rentetan dari itu, Allah SWT mengharamkan berjual-beli semasa azan Jumaat.

Pengharaman ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual-beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (al-Jumuah: 9) Para ulama secara sepakat merumuskan bahawa haram melakukan urusan jual-beli setelah azan Jumaat dikumandangkan. Walaubagaimanapun, pengharaman ini hanya ke atas kaum lelaki sahaja.

Ini kerana, hukum menunaikan solat Jumaat hanya wajib keatas kaum lelaki. Justeru, sekiranya urusan jual-beli itu berlaku di antara wanita dengan wanita, maka ia tidak termasuk dalam pengharaman tersebut.

Tidak termasuk juga dalam pengharaman ini kaum lelaki yang gugur syarat wajib menunaikan solat Jumaat seperti kanak-kanak yang belum baligh, orang gila, orang yang uzur dan sebagainya.

Apabila maut datang menjemput

Susunan ZULKIFLE BAKAR

DIKISAHKAN bahawa malaikat maut (Izrail) bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s. Dia datang dengan bentuk manusia sehingga tidak seorangpun yang mengetahui kedatangannya selain baginda.

Pada ketika itu Nabi Sulaiman sedang berkumpul dengan beberapa orang sahabatnya. Semasa malaikat maut hendak pergi dia memandang salah seorang sahabat Nabi Sulaiman dengan pandangan yang aneh, lalu pergi
.
Setelah malaikat maut pergi, sahabat Nabi Sulaiman itu bertanya: "Wahai Nabiyullah, mengapa ia memandang ku seperti itu?" Jawab Nabi Sulaiman: "Ketahuilah, dia itu adalah malaikat maut".

Kemudian sahabat Nabi Sulaiman itu berkata, "Wahai nabi, tiupkanlah angin dengan kencang, sehingga angin itu membawaku ke puncak negeri India, sesungguhnya aku berfirasat buruk".

"Apakah engkau akan lari dari takdir jika maut akan menjemputmu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Sesungguhnya Allah memerintahkan kita untuk mencari sebab-sebabnya. Dan, aku yakin bahwa engkau akan mengkabulkan permintaanku," kata sahabat Nabi Sulaiman itu.

Kemudian, Nabi Sulaiman memerintahkan kepada angin untuk membawanya ke tempat yang diinginkan.

Selang beberapa saat malaikat maut datang, Nabi Sulaiman bertanya: "Apa urusanmu dengan salah seorang sahabatku, mengapa engkau pandang dia seperti itu?"

Malaikat maut menjawab, "Aku memandangnya kerana tercatat didaftar kematian bahawa dia akan mati di sebuah negeri di India. Aku hairan, bagaimana dia dapat pergi ke sana sedangkan dia ada bersamamu? Kemudian, di tempat yang telah ditentukan, pada waktu yang telah digariskan aku lihat dia datang kepada aku dan aku cabut nyawanya".

Kisah di atas mengingatkan kepada kita bahawa malaikat maut akan selalu mengintai sesiapa saja yang masa perjanjiannya akan berakhir di dunia ini. Jika masa perjanjian itu berakhir maka tiada sesiapa pun dapat melarikan diri daripada maut.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila telah datang tempohnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. (al-A'raaf: 34)

Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan, Dan apabila (sampai ajal seseorang) datanglah 'sakaratul maut' dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. (Qaf: 19)

Kita berjumpa doktor apabila sakit menimpa, kita makan apabila datang rasa lapar dan minum apabila haus, tetapi apabila kematian datang menjemput tiada tempat yang boleh kita lari atau meminta pertolongan.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...(an-Nisaa': 78)

Sebab itu, mari kita hayati dan renungkan pesan Rasulullah SAW agar kita tidak mensia-siakan peluang hidup yang diberi oleh Allah kepada kita semasa di dunia ini.

Janganlah kita dilalaikan oleh urusan dunia sehingga lupa membuat persiapan bekalan untuk mengadap Allah SWT.

Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Justeru, janganlah kita bertangguh-tangguh dalam berbuat kebaikan dan rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

Beribadatlah, dan perbanyakkanlah ibadat sunat di samping ibadat fardu semasa sihat sebelum datangnya kesakitan.

Bersedekahlah semasa masih kaya (berharta) sebelum ditimpa kemiskinan.

Berzikirlah sewaktu masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan, misalnya di waktu pagi sebelum melakukan kerja-kerja harian dan di waktu petang setelah selesai bekerja.

Atau kita boleh sahaja berzikir sambil memandu ke tempat kerja terutama sewaktu kita terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di bandar utama khasnya Kuala Lumpur.

Carilah keperluan dunia dan akhirat semasa masih muda dan mempunyai kekuatan tenaga sebelum datangnya tua dan tidak mempunyai kekuatan.

Beramallah di sini (semasa berada di dunia) semasa hidup kerana ia berguna selepas kematian nanti (semasa di akhirat). Di sana kita tidak lagi dapat beramal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...