بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, March 7, 2011

Ayat pertama diturunkan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syed QutuB dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Permulaan surah ini merupakan ayat-ayat al-Quran yang pertama diturunkan mengikut kata sepakat para ulama. Riwayat yang menyebut ayat lain mula diturunkan tidak dapat dipegang.

Firman Allah SWT: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk).

Al-Maraghi berkata: Dengan kekuasaan Allah SWT, Tuhan yang mencipta engkau dan dengan kehendak-Nya, maka jadilah engkau orang yang dapat membaca. Dia telah menjadikan kamu tahu daripada tidak tahu kerana Nabi Muhammad SAW pada awalnya tidak tahu membaca dan menulis.

Lalu, datang perintah menyuruh baginda agar dapat membaca, walaupun tidak dapat menulis. Justeru, baginda segera diberi sebuah kitab yang akan dibacanya sekalipun baginda pada asalnya tidak tahu menulis.

Sayid Qutub berkata: Ayat ini dimulakan dengan menyebut secara umum salah satu dari sifat-sifat Allah, iaitu sifat mencipta dan memulakan penciptaan.

Hamka berkata: Dalam suku ayat pertama sahaja, iaitu "bacalah", telah terbuka kepentingan pertama di dalam perkembangan agama ini. Nabi SAW disuruh membaca wahyu yang diturunkan kepada baginda di atas nama Allah SWT.

Bacalah sesuatu yang diredai dan disukai oleh Allah SWT dan jangan membaca sesuatu yang dimurkai-Nya. Membaca mestilah didasari oleh niat kerana Allah untuk memberi kebaikan kepada alam dan seluruh penghuninya.

Ayat ini dimulakan dengan "bacalah" yang merupakan fi'il amar yang memberi maksud: "ia merupakan arahan dan perintah supaya umat Islam sentiasa dituntut membaca, sama ada melalui ayat-ayat yang maqru'ah (yang dibaca seperti al-Quran dan al-hadis) atau ayat-ayatmanzurah (yang boleh dilihat dengan pengamatan, kajian dan penyelidikan)".

Ayat ini didahulukan dengan perintah membaca, bukan dengan sujud, solat, puasa, zakat, haji, jihad dan lain-lain, seolah-olah memberi kefahaman kepada kita bahawa membaca sebagai satu keistimewaan manusia yang dapat mengumpulkan khazanah ilmiah berbanding makhluk yang lain.

Ini kerana membaca sebagai kunci ilmu dan mukadimah dapatan pengetahuan, yang mana Allah mengilmukan manusia tetapi bersyaratkan sebab-sebab, antaranya melalui pembacaan.

Ayat ini juga mengajar kepada kita supaya bacaan yang pertama dengan kalimah Allah. Dalam erti kata yang lain, seolah-olah bacaan yang terpimpin dan baik yang boleh membawa kepadamakrifatullah dan mengenali dalil-dalil yang akhirnya menatijahkan khasyatullah.

Kesimpulannya, Tuhan yang mencipta dan mengadakan alam ini adalah berkuasa menjadikan kamu tahu membaca, walaupun kamu tidak pernah mempelajarinya.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan peringkat penciptaan manusia melalui firman-Nya yang bermaksud: Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku.

Al-Qurtubi berkata: Manusia disebut dalam ayat ini secara khusus dan istimewa dengan tujuan memberi penghormatan kepada jenis manusia ini.

Sheikh Muhammad Abduh di dalam Tafsir Juzuk Amma yang dikarangnya menerangkan: Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa menjadikan manusia daripada air mani dan membentuk segumpal darah. Kemudian menjadi manusia yang cukup sempurna, nescaya kuasa pula menimbulkan kesanggupan membaca pada seseorang yang selama ini dikenal ummi, tidak pandai membaca dan menulis.

Jika diselidik intipati daripada hadis yang menjelaskan nabi SAW disuruh membaca sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga baginda menjawab dengan jujur bahawa baginda tidak pandai membaca dan menulis. Tiga kali pula Jibril memeluknya dengan sekuat hati bagi meyakinkannya bahawa pada saat itu kesanggupan membaca sudah ada padanya, apatah lagi baginda adalah al-insan al-kamil (manusia yang sempurna).

Apa yang penting adalah harus mengetahuinya bahawa dasar segala yang akan dibacanya kelak tidak lain dan tidak bukan adalah dengan nama Allah SWT jua.

Kelebihan berilmu

Oleh MUHAMAD KHAIRUL AZHAR GHAZALI
khairulazhar_im@yahoo.com
MANUSIA yang mendapat sanjungan Allah SWT adalah golongan yang menyampai dan mendidik masyarakat. Mereka meneruskan segala kerja-kerja yang ditinggalkan Rasulullah SAW dalam menyempurnakan syariat ummah.

Inilah golongan yang disebut sebagai ulama atau orang yang berilmu dan menjadikan hidup sebagai hamba agama dalam mentarbiah masyarakat agar mengenal pencipta.

Dalam al-Quran Allah menobatkan mereka melalui ayatnya yang bermaksud: …Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang-orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan (al-Mujadalah: 11).

Betapa Allah memuliakan golongan yang berilmu atau disebut sebagai ulama. Ini kerana peranan mereka dalam sesebuah masyarakat terlalu besar.

Mereka penerus dakwah Nabi Muhammad SAW dalam melengkapkan agama umat manusia. Mendidik dan mentarbiah jiwa-jiwa agar patuh dan taat kepada segala apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi larangannya agar kita benar-benar faham mengapa kita diciptakan dan diletakkan di dunia sebagai hamba.

Melihat kepada pengorbanan golongan ulama yang terlalu besar ini, maka kolum kali ini akan membincangkan tentang kelebihan ilmu dan ulama.

Masyarakat kita lazim memanggil golongan yang alim dan fasih dengan ilmu agama sebagai ulama. Bahkan kerap kita mendengar panggilan ulama itu dilengkapkan lagi tambahannya Al-Alamah yang bermaksud sangat alim sebagai meninggikan lagi dan memuliakan golongan berjasa itu.

Ulama berperanan meneruskan penyebaran risalah kerasulan yang ditinggalkan oleh Rasulullah dalam tiga bentuk sasaran yang khusus.

Pertama, membentuk akidah ummah (kepada siapa sembahan kita); Kedua, memahamkan tentang syariat (bagaimana kehidupan dan ibadah sebagai seorang mukmin) dan ketiga, membimbing gerak langkah umat supaya tidak ada rasa takbur dan riak dengan amalan dan sentiasa menjadikan Allah dan Rasul sebagai cinta utamanya.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Menuntut ilmu itu adalah fardu (wajib) ke atas setiap muslim (lelaki) dan muslimah (perempuan) (riwayat Muslim)."

Lalu ulama menghuraikan, yang dimaksudkan ilmu yang wajib itu ada tiga bahagian iaitu:

i. Akidah atau tauhid yang membincangkan tentang pegangan dan keyakinan kepada Allah.

ii. Fiqh atau syariah yang memahamkan tentang kehidupan, bagaimana cara beribadat dan sebagainya yang merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.

iii. Tasauf atau akhlak sosial yang membimbing perilaku dan hati supaya menjauhi sifat-sifat yang boleh merosakkan ibadah seperti riak, ujub, sum'ah dan sebagainya.

Dengan ketiga-tiga ilmu tadi maka lepaslah kewajipan seorang manusia itu dari tuntutan agama.

Jelas bahawa tugas sebagai ulama itu bukan sekadar menjadi imam dan berkhutbah di masjid, surau atau madrasah tapi besar sekali tanggungjawab yang Allah pikulkan ke bahu mereka.

Rasulullah bersabda: "Ulama adalah pewaris kepada nabi-nabi." Oleh itu tidak hairanlah mengapa golongan ini sangat dimuliakan oleh Allah SWT.

Kata Ibnu Abbas r.a: "Bagi mereka (ulama) itu beberapa darjat yang lebih atas orang mukmin dengan tujuh ratus darjat, jarak antara satu darjat dengan satu darjat itu sejauh perjalanan lima ratus tahun, seperti jarak di antara langit dan bumi."

Dan daripada Ibnu Abbas r.a lagi: "Bahawasanya Allah SWT bermegah-megah kepada para malaikat tentang usaha dakwah ulama, seperti bermegah-megah ia dengan darah orang yang mati syahid."
Lihatlah darjat dan kemuliaan yang Allah berikan kepada ilmuan islam atas usaha keras mereka menyebarkan agama Allah yang indah.

Jika kita mengkaji kemuliaan bangsa kita, mengapa orang Melayu dihormati dan disegani, menjadi bangsa yang bermaruah, mestilah juga kerana agama Islam yang menjadi anutan dan pegangan.

Namun siapa yang membawa kemuliaan agama itu kepada kita suatu ketika dahulu? Siapa yang mengislamkan Parameswara dan menukar kerajaan Melaka menjadi kerajaan Islam yang sangat berpegang teguh dengan prinsip agama. Bila ditanya siapa mereka, tentu sekali jawapannya adalah ulama.

Kemuliaan dalam menuntut ilmu

Di era kehidupan kita sekarang, masih banyak bahkan terus berkembang institusi-institusi yang mendidik umat menjadi golongan yang berilmu.

Ini sangat perlu agar ada keseimbangan antara golongan professional dan ulama.

Oleh itu, tidak benar dakwaan mengatakan andai seseorang belajar agama maka kehidupan di usia tua tidak berfungsi kepada masyarakat.

Tegas dikatakan di sini, semua itu adalah dakyah-dakyah musuh Islam yang menanamkan ideologi dalam pemikiran umat bahawa ilmu agama itu jumud.

Apabila adanya pemikiran seperti ini maka tentu sekali timbul pandangan-pandangan negatif dan sinis terhadap anak-anak muda yang menuntut di bidang agama. Pelbagai kata-kata nakal seperti kononnya nanti tidak ada kerja, masa depan yang tidak cerah dan sebagainya yang sangat menyedihkan.

Oleh itu, perlulah saya betulkan di sini bahawa rezeki diperolehi dengan cara dan tahap usaha seseorang. Bukan kepada bidang pengajian yang dipelajarinya.

Perbezaan seseorang itu adalah dengan ilmu dan keimanan, bukan pangkat atau keturunan. Seorang tokoh bukan Islam, Aristotle berkata: "Yang meninggikan darjat seseorang itu ialah akal dan adabnya bukan asal keturunannya."

Namun apa yang penting adalah kemuliaan bagi sesiapa yang menuntut ilmu itu sudah dijamin oleh Allah SWT.
Seperti kata Saidina Ali bin Abi Talib r.a: "Barang siapa yang berada di jalan menuntut ilmu, maka adalah syurga itu di dalam tuntutannya. Dan barang siapa yang ada ia dalam menuntut (mengerjakan) maksiat, maka adalah neraka itu di dalam tuntutannya."

Kita menyaksikan bagaimana kehebatan bangsa Jepun dihormati dan disegani kerana penguasaan mereka terhadap ilmu teknologi.

Umat Islam telah memiliki kegemilangan ilmuwannya kerana ramai tokoh ulama yang bukan sahaja mahir di bidang syariah bahkan mereka mempelopori teknologi, falsafah, perubatan dan sebagainya.

Ini menunjukkan agama tidak memisahkan sama sekali antara ilmu syariat dan kemajuan teknologi. Bahkan seorang yang berjaya itu adalah mereka yang sangat takut kepada Allah dan bersungguh-sungguh dalam mencapai kemajuan hidup di dunia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ilmu itu adalah bendaharaan (khazanah ternilai), anak kuncinya adalah bertanya, maka bertanya olehmu. Maka diberi pahala kepada empat orang. Pertama: Orang yang bertanya. Kedua: Orang alim. Ketiga: Orang yang mendengar. Keempat: Orang kasih kepada mereka."

Dalam riwayat yang lain menceritakan kelebihan orang menuntut ilmu itu sehinggakan bila mana berjalan pada setiap langkahnya gugur segala dosa dan dihitung setiap langkahnya dengan kebajikan lalu digandakan amalan.

Maka wajarlah bagi ibu bapa sentiasa memotivasikan anak-anak agar memahami konsep sebenar dalam menuntut ilmu agama. Ia adalah sesuatu yang besar, bukan sekadar untuk pengetahuan biasa.

Kata seorang ulama dalam kitabnya Al-Hikam Ibnu Ataillah: "Barang siapa yang mencintai sesuatu maka ia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya itu."

Maka alangkah hebatnya remaja kita di Malaysia ini andai mereka mendalami ilmu agama, mengenal penciptanya dengan sebenar-benar kenal lalu bercinta Allah.

Sejarah mata wang Islam


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA



Dirham Dinasti Abbasiyah (Pemerintah : Abdullah Al-Saffah) Kufah 132 Hijrah
Diameter: 23.91 mm.


Duit adalah medium yang penting dalam perniagaan pada hari ini. Sebelum duit diperkenalkan, pelbagai barangan digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan sesuatu jenis barangan dan perkhidmatan seperti makanan, buah-buahan dan haiwan dalam sistem yang dikenali sebagai sistem barter.

Sistem ini membolehkan manusia memperolehi pelbagai barangan dan perkhidmatan yang mereka perlukan dalam kehidupan mereka daripada ahli masyarakat yang lain tanpa menggunakan medium yang dipanggil duit.

Sebelum tahun 696 Masihi, masyarakat Arab menghasilkan duit yang mempunyai pengaruh salah satu daripada dua kuasa besar pada abad ketujuh Masihi iaitu Kerajaan Sasanid atau Kerajaan Byzantium.

Mata wang itu digunakan oleh masyarakat Arab sebagai medium mendapatkan barangan dan perkhidmatan dalam urusan harian mereka selama 31 tahun selepas peristiwa hijrah. Kedua-dua pengaruh ini mempunyai gambar pemerintah di atas duit yang dikeluarkan.

Dinasti Umayyah di bawah pemerintahan Khalifah Abd. al-Malik ibn Marwan (685 - 705 Masihi) telah mengambil inisiatif mengeluarkan duit kerajaan Islam bagi menyatukan seluruh umat Islam ketika itu dengan menggunakan ciri-ciri duit Empayar Byzantium.

Maharaja Rom ketika itu merasa tercabar dan tidak mengiktiraf duit yang dikeluarkan oleh Khalifah Abd al-Malik. Khalifah Abd al-Malik menggunakan hiasan figura salah satu maharaja Byzantium pada satu permukaan syilingnya dan motif kaligrafi mengenai tahun ia dibuat pada satu permukaan yang lain.

Dalam sejarah Islam, penghasilan duit syiling dengan menggunakan seni hiasan Islam sepenuhnya bermula pada tahun 696 - 698 Masihi.

Duit ini menggunakan motif kaligrafi kufik di kedua-dua belah permukaan duit syiling yang dihasilkan. Gaya hiasan ini kemudiannya telah digunapakai selama beberapa ratus tahun oleh dinasti Islam yang lain di seluruh dunia Islam.

Pertukaran rekaan duit ini adalah sebagai tindak balas Khalifah Abd al-Malik selepas Maharaja Byzantium mengeluarkan rekaan duit yang sama dengan yang dikeluarkan oleh baginda.

Khalifah Abd al-Malik juga mengeluarkan dekri supaya duit yang dikeluarkan baginda digunakan di dalam wilayah pemerintahan Dinasti Umayyah sepenuhnya. Manakala duit yang dikeluarkan oleh Empayar Byzantium yang terdapat dalam wilayah Dinasti Umayyah telah dikumpulkan dan dileburkan semula bagi pengeluaran duit Dinasti Umayyah. Sesiapa yang ingkar akan dijatuhkan hukuman berat.
Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...