Tuesday, March 26, 2013

Malaikat Mendengar Usaid Bin Hudhair Membaca al-Quran




Usaid bin Hudhair adalah salah seorang sahabat Rasulullah sallallaahu 'alayhi wasallam (saw) yang sangat mahir tentang  ilmu Al-Quran. Beliau merupakan seorang yang hafal al-Quran. Suaranya sangat merdu ketika  mengalunkan bacaan Al-Quran.

Pada suatu malam yang tenang dan hening, permukaan langit jernih tanpa mendung, ketika sedang duduk berehat di luar rumahnya Usaid tergerak untuk mengalunkan bacaan Al-Quran. 

“Alif lam miim, Inilah Kitab (al-Quran) yang tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib yang menegakkan solat, dan yang menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yang yakin akan adanya (kehidupan) akhirat." (al-Baqarah [2] : 1 - 4).

Tiba-tiba kudanya yang kebetulan ditambat tidak jauh dari tempat beliau duduk itu lari berpusing-pusing. Beliau terkejut melihat keadaan kudanya yang ketakutan itu. Usaid pun menghentikan bacaannya dan kudanya pun turut diam.

Usaid menyambung kembali  alunan bacaan Al-Quran.

“Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Rabb-nya, dan merekalah orang yang beruntung.” (al-Baqarah [2] : 5).

Secara tiba-tiba juga kuda Usaid berpusing-pusing tidak menentu dan lebih hebat daripada sebelumnya. Usaid pun menghentikan bacaannya dan kudanya pun turut berhenti. Usaid kehairanan melihat perlakuan kudanya. Setiap kali diulang mengalunkan bacaan al-Quran  begitulah perlakuan kudanya dan apabila Usaid menghentikan bacaannya kudanya pun turut diam. Usaid memandang ke langit, beliau mendapati pemandangan bagai payung yang mengagumkan. Usaid belum pernah melihat pemandangan serupa itu sebelumnya.

Awan itu indah berkilau, bergantung seperti lampu memenuhi ufuk, bergerak naik dengan sinarnya yang terang. Kemudian perlahan-lahan menghilang daripada pandangan.



Esoknya Usaid pergi menemui Rasulullah saw lalu menceritakan apa yang dialaminya kepada baginda dan baginda bersabda:
  
"Itu adalah para malaikat yang mendengar alunan bacaan Al Quran kamu wahai Usaid disebabkan elok dan indahnya bacaanmu. Andai kamu terus membaca sehingga ke pagi, orang ramai juga akan dapat melihat  kehadiran para malaikat itu."






2 comments:

  1. Subhanallah...Bagaimanalah bacaannya, teringin juga ingin mendengarnya

    ReplyDelete
  2. Salam Bin Muhammad

    Tentu terpesona bacaannya kan. Maha Suci Allah yang menjadikan suara Usaid begitu merdu.

    ReplyDelete