بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, October 26, 2013

Rahsia penduduk Mekah berumur panjang?


FIRMAN Allah SWT :

"Allah telah menjadikan Kaabah, rumah suci itu sebagai pusat bagi manusia....." (al-Ma'idah [5] : 97)
Angkasawan pertama yang menjejakkan kaki di bulan, Neil Armstrong telah membuktikan bahawa kota suci Mekah yang terletaknya Kaabah adalah merupakan pusat kepada planet bumi.

Sebenarnya dalam al-Quran telah lebih dahulu membicarakan perkara ini. Oleh itu sebagai hamba Allah yang diberikan akal fikiran, kita perlulah meneliti dan berfikir di sebalik rahsia-rahsia yang terkandung di dalam ayat-ayat suci al-Quran al-Karim itu.

Antara kalam-kalam Allah SWT tentang Mekah sebagai pusat bumi adalah firman:

"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada Ummul Qura (penduduk Mekah) dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya (negeri-negeri di sekelilingnya). (asy-Syuraa [42] : 7)
Perkataan Ummul Qura bererti induk bagi kota-kota lain di sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah pusat bagi kota-kota lain dan yang lain hanyalah berada di sekelilingnya. Lebih daripada itu kata ummul (ibu) mempunyai erti yang cukup penting dan luas di dalam peradaban Islam.

Sebagaimana seorang ibu adalah sumber daripada keturunan, maka Mekah juga merupakan sumber dari semua negeri lain serta keunggulan di atas semua kota.

Firman Allah lagi:

"Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan)". (ar-Rahman [55] : 33)
Perkataan aqthar adalah bentuk jamak daripada perkataan qutr yang bererti diameter dan ia mengacu pada langit dan bumi yang mempunyai banyak diameter.

Berdasarkan ayat ini dapat difahami bahawa diameter lapisan-lapisan langit itu di atas diameter bumi (tujuh lapisan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi, dengan itu bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan-lapisan langit.

Ada hadis yang menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah, tempat Kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai orang Mekah, wahai orang Quraisy, sesungguhnya kamu berada di bawah pertengahan langit."

Berdasarkan penelitian di atas, bahawa Mekah berada pada tengah-tengah bumi (pusat dunia), maka benar-benar diyakini bahawa Kota Suci Mekah seharunya dijadikan rujukan waktu dunia. Bukannya Greenwich yang sekian lama menjadi rujukan umum. (Mekah sebagai pusat bumi, Dr. Mohamad Daudah).

Suka ditegaskan akan pengakuan yang dibuat oleh Neil Armstrong bahawa kota Mekah yang terletaknya Kaabah adalah pusat kepada planet bumi. Sedangkan al-Quran sejak 1,400 tahun lalu telah membicarakan mengenai kota Mekah dan Kaabah adalah sebagai pusat bumi ini.

Ketika kali pertama Neil Armstrong melakukan perjalanan ke luar angkasa dan mengambil gambar planet bumi, dia berkata: "Planet bumi ternyata bertumpu di kawasan yang sangat gelap, dan di manakah ia berpusat?"

Fakta ini telah diteliti melalui suatu penelitian ilmiah.

Para angkasawan telah menemui bahawa planet bumi mengeluarkan satu radiasi, secara rasmi mereka mengumumkan di Internet tetapi sayangnya 21 hari kemudian, laman sesawang tersebut hilang dan seperti ada alasan tersembunyi di sebalik penghapusan tersebut.

Setelah melakukan penelitian lebih lanjut, ternyatalah radiasi tersebut berpusat di kota Mekah dan tepatnya berasal dari Kaabah. Yang mengejutkan adalah radiasi tersebut bersifat infiniti (tidak berakhir).

Perkara ini terbukti ketika mereka mengambil gambar planet Marikh, radiasi tersebut masih berterusan. Para peneliti Muslim mempercayai bahawa radiasi ini memiliki karakteristik dan menghubungkan antara Kaabah di planet bumi dengan Kaabah di alam akhirat.

Di tengah-tengah antara kutub Utara dan kutub Selatan, terdapat suatu kawasan yang bernama Zero Magnetism Area, di mana apabila kita mengeluarkan kompas di kawasan tersebut, maka jarum kompas tersebut tidak akan bergerak sama sekali kerana daya tarikan yang sama besar antara kedua-dua kutub.

"Itulah sebabnya jika seseorang tinggal di Mekah, maka dia akan hidup lebih lama, lebih sihat dan tidak banyak dipengaruhi oleh kekuatan graviti. Oleh sebab itulah ketika kita mengelilingi Kaabah, maka seakan-akan diri kita dicas oleh suatu tenaga misteri yang menyebabkan kita bertenaga ketika mengelilingi (tawaf) di Kaabah dan ini adalah fakta yang telah dibuktikan secara ilmiah."

Penelitian lainnya ialah Hajarul Aswad merupakan batu tertua di dunia dan juga boleh terapung di air. Di sebuah muzium di England, terdapat tiga buah potongan batu tersebut (dari Kaabah) dan pihak muzium juga mengatakan bahawa bongkahan batu-batu tersebut bukan berasal dari sistem suria kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hajar Aswad itu diturunkan dari syurga, warnanya lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam (rujuk Jami' at-Tirmizi al-Hajj).
Begitu juga hadis yang bermaksud: "Hajar Aswad dari batu-batuan syurga dan tidak ada suatu benda di bumi yang turunnya dari syurga selain batu itu." (riwayat Tabarani)


Keagungan ayat Kursi



"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)." (al-Baqarah [2] : 255)

Ayat Kursi mempunyai keagungannya sehingga jika dibaca untuk melawan syaitan dan iblis, nescaya makhluk yang dilaknati oleh Allah SWT itu akan terbakar. Ayat Kursi sangat ditakuti oleh syaitan dan iblis, malah ketika ayat ini diwahyukan kepada Rasulullah SAW seluruh syaitan dan iblis menjadi resah gelisah.

Ada riwayat mengatakan bahawa ketika membawa wahyu ayat Kursi kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril as. diiringi oleh 40,000 malaikat, manakala ada riwayat lain pula mengatakan Jibril diiringi oleh 80,000 malaikat. Dengan diiringi oleh sedemikian ramai malaikat, maka sudah tentulah ayat Kursi bukan sebarangan ayat, pastinya ada keistimewaan dan kehebatan di sebaliknya.

Sebaik sahaja menerima wahyu ayat Kursi, Rasulullah SAW segera memanggil Zaid bin Thabit untuk menuliskannya.

Pada saat ayat Kursi diwahyukan kepada baginda junjungan besar Nabi Muhammad SAW, syaitan dan iblis menjadi kelam-kabut dan keluh-kesah, malah tidak keruan tanpa diketahui punca yang menyebabkan kejadian begitu.

Lantas ketuanya memerintahkan kepada sekalian syaitan dan iblis menjelajah ke setiap pelosok langit dan bumi bagi mencari punca dan sebab yang menjadikan mereka dilanda kegelisahan dan kepanasan.

Dalam penjelajahan dan penyiasatan yang dibuat, syaitan dan iblis mendapati punca kegelisahan mereka adalah disebabkan daripada bahang panas ekoran turunnya ayat Kursi di Madinah, ayat yang jika umat Islam yang mantap iman dan takwa menjadikannya sebagai senjata melawan syaitan dan iblis, pasti syaitan dan iblis akan tumpas, malah akan terbakar.

Demikianlah betapa agung dan hebatnya ayat Kursi yang patut dijadikan ayat yang semestinya dibaca dalam semua keadaan, kecuali ketika berada di tempat-tempat yang tidak suci.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa membaca ayat Kursi selepas tiap-tiap sembahyang fardhu, nescaya Allah mengurniakan mereka hati orang-orang yang bersyukur, amalan orang siddiqin, pahala para nabi dan menghampirkan ke atasnya rahmat dengan limpah kurnia Allah yang mana tiadalah yang menegahnya daripada memasuki syurga selepas mati."

Baginda juga bersabda yang bermaksud: "Tiadalah yang menetap atas amalan membaca ayat Kursi selepas tiap-tiap sembahyang fardhu itu melainkan orang-orang siddiqin atau ahli-ahli ibadah" (daripada Ali bin Abi Talib)

Sesungguhnya ada hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa ayat Kursi adalah penghulu kepada ayat-ayat al-Quran. Justeru kenapa kita tidak mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan keagungan dan kehebatan ayat Kursi itu.


Monday, October 21, 2013

Melazimi sifat benar

Sumber
ARKIB : 18/10/2013

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH, pada ruangan kali ini, penulis cuba membincangkan isu sifat benar yang semestinya dilazimi oleh umat Islam.

Sesungguhnya Allah telah merakamkan pujian kepada golongan siddiqin kerana teguhnya janji dengan Allah, di dalam firman-Nya: 

Di antara orang-orang yang beriman itu ada orang-orang yang bersikap benar, menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (untuk berjuang membela Islam), maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu mati syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (al-Ahzab [33] : 23)

Syeikh al-Maghari berkata: Dalam kalangan orang yang beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya mereka sentiasa menepati janji mereka dengan sabar ketika menghadapi mala petaka dan bahaya walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang gugur syahid dalam peperangan Badar, Perang Uhud dan peperangan yang lain.

Terdapat dalam kalangan mereka yang menanti-nanti terlaksananya janji Allah SWT walaupun di kalangan mereka ramai yang gugur mendahului mereka, namun mereka tetap setia terhadap janji-Nya.

Benar merupakan sifat yang mulia dan menjadi sifat wajib bagi rasul-rasul. Begitu juga dikurniakan balasan yang baik bagi siapa yang melazimi kebenaran. Mereka digelar sebagai al-Siddiqin.

Sejarah membuktikan Rasulullah SAW telah melahirkan generasi atau sahabat yang bersifat dengan benar. Hal ini dijelaskan dalam banyak nas daripada al-Quran. Mereka sanggup melakukan apa sahaja berdasarkan keyakinan dan kebenaran yang mereka imani dan yakin.

Benar yang pertama iaitu benar hati dan iktikad adalah yang paling sukar diikuti dengan yang kedua, benar perbuatannya. Ini kerana hati yang merupakan raja kepada badan begitu mudah terpengaruh dan menerima sebarang anasir, sama ada daripada pengaruh syaitan atau nafsu. Justeru, hendaklah kita melazimi sifat benar supaya kehidupan menjadi lebih harmoni.

Para sufi menganggap sifat siddiq adalah pintu masuk pertama untuk melangkah ke alam ketuhanan. Dengan melalui pintu siddiq ini telah ramai murid sampai kepada hakikat makrifah. Ini bukanlah sesuatu yang ganjil, ini kerana pada sifat al-Siddiq terhimpun segala kemuliaan dan kelebihan, antaranya di sinilah lahirnya segala akhlak-akhlak yang terpuji.

Benar dalam percakapan, janji, perbuatan atau tindakan dalam perkhidmatan atau tugas amat diperlukan. Ini kerana benar boleh merungkai banyak kemelut kehidupan. Bukan itu sahaja tetapi dapat menenangkan hati-hati manusia.

Dengan itu juga, masyarakat akan dapat hidup aman damai, keadilan dapat ditegakkan dan hak dapat dipertahankan. Benar juga menjadikan manusia mempunyai maruah dan jati diri.

Dalam realiti kehidupan, kadang-kadang kebenaran cukup pahit untuk dikemukakan apatah lagi boleh membawa kecaman dan pelbagai celaan, tetapi sebaliknya ia berkesudahan dengan kejayaan dan kemenangan.

Justeru, sewajarnya kita hiasi sifat benar dalam semua acara kehidupan kita, sama ada sebagai suami, isteri, anak, pekerja, majikan dan lain-lain.

Sifat benar jika dapat diamalkan dan diaplikasikan dalam kehidupan ini sudah pasti akan menatijahkan suasana yang baik dan mendapat keredaan Allah SWT.

Semoga kita semua memperoleh kehidupan yang bahagia dengan hiasan sifat benar. Aamiin.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...