بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, March 31, 2013

Culas solat Subuh



Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

SOLAT Subuh merupakan tuntutan yang amat berat ditunaikan memandangkan pada saat itu manusia sedang enak dibuai mimpi berlapikkan bantai dan katil yang empuk.

Lebih-lebih lagi ketika musim hujan, sejuk menyelubungi diri lalu kita menarik selimut meneruskan tidur walaupun azan telah berkumandang. Adakah kita mengetahui bahawa tindakan itu sebenarnya telah melekakan tuntutan syariat?

Bayangkan para sahabat Rasulullah SAW sanggup bangun awal datang ke masjid demi untuk berjemaah bersama baginda. Malah, mereka terlebih dahulu menunaikan ibadat qiamullail (bangun malam) sebelum fajar terbit.

Oleh demikian, untuk mengajak umat Islam supaya bermotivasi menunaikan solat Subuh, Must Read Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah buku bertajuk, 21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh yang dipetik daripada buku karangan dua ulama Arab Saudi iaitu Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid dan Syaikh Murid al-Khullab.
Bahagian pertama daripada buku ini merupakan terjemahan bab An-Nauman Shalati Fajr dalam buku Syakawa Wa Hulul karangan Syeikh Muhammad Shalih al-Munajjid. Bahagian kedua pula merupakan terjemahan daripada buku Maharat Amaliyyah lil Istaiqazh li Shalati Fajar tulisan Syaikh Murid al-Khullab.

Buku 21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh ini menampilkan beberapa petua bagi mereka yang culas menunaikan ibadat itu antaranya seperti posisi tidur dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW dan jangan tidur selepas waktu Asar dan Maghrib.

Buku ini dilihat mengajak umat Islam untuk produktif dengan tidur awal yang daripada sudut lain memberi tempoh rehat mencukupi kepada seseorang individu. Selain itu, bangun awal untuk menunaikan solat Subuh juga dilihat mendidik manusia produktiviti untuk melakukan persiapan sebelum keluar mencari rezeki.

Ibu bapa merupakan golongan sesuai dan digalakkan memilikinya jika berhadapan dengan anak-anak yang sukar untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Para pembaca yang ingin mendapatkan buku berhalaman 119 muka surat dan berharga RM14.90 (Malaysia) dan RM17.90 (Sabah dan Sarawak) itu boleh mendapatkannya di pasaran berhampiran anda.



Tafsir Surah al-Kahfi - Nabi Musa mencari ilmu




Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH, setelah selesai kita membincangkan berkenaan dengan Ashab al-Kahfi penulis ingin meneruskan lagi perbincangan daripada surah yang sama tetapi berkenaan dengan kisah Nabi Musa AS. 

Penulis memulakan dengan ayat 60 hingga 64.

Pada ayat 60 ini Ibnu Kathir berkata: Sebab perkataan Musa kepada pemuda yang bersamanya, yakni Yusya' bin Nun tersebut adalah bahawa ia memberitahu kepadanya bahawa (ada) seorang hamba Allah SWT di tempat pertemuan dua laut, dia mempunyai ilmu pengetahuan yang tidak dikuasai oleh Musa. Maka Musa pun tertarik untuk pergi ke tempat itu. Dan ia berkata kepada pemuda tersebut: "Aku tidak akan berhenti berjalan," maksudnya aku akan terus berjalan, "Sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan." Maksudnya, tempat itulah yang merupakan tempat pertemuan dua buah lautan. Qatadah dan beberapa ulama lainnya mengatakan: "Kedua laut itu adalah laut Persia yang dekat dengan Masyriq dan laut Romawi yang berdekatan dengan Maghrib." Muhammad bin Kaab al-Qurazhi mengatakan: "Pertemuan dua laut itu terletak di Thanjah, iaitu di Ijung negeri Maroko."

Dan diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr, bahawasanya dia pernah berkata: "Huqub itu bererti 80 tahun."

Sayid Qutub berkata: Yang lebih rajih - Allahu a'lam - maksud tempat pertemuan dua lautan itu ialah laut Rum dan laut Qulzum iaitu Laut Mediterranean dan Laut Merah. Tempat pertemuan dua laut ini ialah di kawasan tasik-tasik al-Murrah (al-Buhayrat al-Murrah) dan tasik Buaya (Buhayrah al-Timsah) atau tempat pertemuan dua Teluk Aqabah dan Teluk Suez di Laut Merah. Kawasan ini merupakan pentas sejarah Bani Israel selepas mereka keluar dari negeri Mesir. Walau bagaimanapun al-Quran al-Karim hanya menyebutnya secara umum sahaja. Oleh itu, kami hanya berpandu dengan isyarat ini.

Sementara itu pada ayat 61 pula Ibnu Kathir berkata: Ibn Juraij menceritakan, Ibnu Abbas RA mengatakan: "Bekas jejaknya seolah-olah menjadi batu." Al-'Aufi menceritakan daripada Ibnu Abbas: "Ikan itu tidak menyentuh sesuatu yang ada di laut melainkan akan menjadi kering dan kemudian menjadi batu. Muhammad bin Ishaq menceritakan juga daripada Ibnu Abbas, daripada Ubay bin Kaab, dia bercerita, Rasulullah SAW pernah bersabda ketika disebutkan peristiwa tersebut: "Air tidak pernah terlubangi sejak manusia ada selain tempat berjalannya ikan yang berada di dalamnya. Air itu terbelah seperti lubang sehingga Musa kembali kepadanya, ia melihat jalan ikan tersebut. Qatadah berkata: 'Bayangan air itu dari laut sehingga menyebar ke laut.' Kemudian Musa berjalan di sana sehingga ia tidak berjalan di jalan itu melainkan air berubah menjadi keras membeku."

Al-Maraghi berkata: Menurut suatu riwayat, Nabi Musa AS disuruh supaya membawa seekor ikan masin, lalu dikatakanlah kepadanya: Sebaik saja kamu kehilangan ikan itu, maka di sanalah tempat tinggal Habibullah. Kemudian, Nabi Musa mengambil seekor ikan dan diletakkan di dalam sebuah bakul. Lalu, Musa pun berangkat, ditemani oleh muridnya sehingga kedua-duanya sampai pada sebuah batu besar yang terletak di sisi pertemuan di antara dua laut. Kedua-duanya pun tertidur. Pada waktu yang sama ikan yang dibawa bergerak-gerak dibakulnya, lalu menggelongsor jatuh ke dalam laut.

Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim pula, bahawa Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa AS: Ambillah Nun (ikan yang mati) itu, iaitu ikan yang akan ditiupkan padanya roh.

Nabi Musa AS mengambil ikan seperti itu, lalu baginda letakkan dalam sebuah keranjang dan baginda bersabda kepada muridnya, "Aku tidak menugaskan kamu kecuali memberitahu kepadaku tempat ikan ini akan meninggalkan kamu". Murid berkata, "Aku tidak diberi tugas yang banyak."

Ketika kedua-duanya berada di bawah bayang-bayang sebuah batu besar, tiba-tiba ikan itu menggelongsor sehingga masuk ke laut, sedangkan ketika itu Musa sedang tidur. Maka berkata, "Aku tidak akan membangunkannya."

Namun, ketika Nabi Musa terjaga, ternyata muridnya itu lupa untuk memberitahu tentang ikan tersebut.

Ibnu Jarir dan Ibnu Hatim meriwayatkan sebuah riwayat daripada Ibnu Abbas RA, bahawa setiap kali ikan itu menyentuh sesuatu dari laut, maka sesuatu itu akan menjadi kering dan akhirnya menjadi batu.

Manakala pada ayat ke-62, Ibnu Kathir berkata: Iaitu tempat di mana keduanya lupa akan ikan tersebut. Menurut salah satu daripada dua pendapat sebenarnya dia keluar daripada air masin. Ketika mereka berdua berangkat meninggalkan tempat di mana kedua-duanya melupakan ikan itu, maka Nabi Musa AS berkata kepada pemuda itu: Bawalah makan tengah hari kita, sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini, iaitu suatu perjalanan yang terlalu jauh.

Al-Maraghi berkata: Ada hikmah berlakunya lapar dan letih pada Nabi Musa AS ketika Baginda AS telah melampaui tempat tersebut, lalu baginda meminta makanan. Pada saat inilah Musa teringat akan ikan tersebut yang menyebabkan baginda berusaha mencari ikan tersebut, sehingga akhirnya baginda kembali semula ke tempat orang yang baginda cari itu.



Tuesday, March 26, 2013

Berselawat setiap nama Rasulullah disebut



Daripada Jubair bin Muth’in, katanya: “Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).” (Riwayat Bukhari) 


Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu ditujukan kepada seorang Muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya. 


Seperti disebutkan dalam hadis, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada Rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad SAW atau ganti namanya, pangkat kenabian juga pangkat kerasulannya. 

Sebakhil-bakhil manusia 

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat sesiapa yang tidak berselawat pada masa itu telah melakukan dosa besar. 

Banyak hadis menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda SAW pada masa disebutkan nama atau ganti nama baginda, maka dialah sebakhil-bakhil manusia. 

Dialah mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka jika tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu.

(Hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami) 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...