بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, November 7, 2012

Menjejak berkat Nabi Ibrahim

Muhamad Abd. Latif @ Ahmad Jazree Jazran (kanan) bersama Muhammad Asyraf Mohamad Ridzuan pada majlis Pelancaran Eksplorasi Turki Timur dan Barat di Muzium Kesenian Islam Malaysia, baru-baru ini.



Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar Hafiz Johari



REPUBLIK Turki adalah sebuah destinasi wajib, khususnya bagi mereka yang memang kaki melancong, selain diakui terkenal dengan sejarah keagungan empayar Islam Uthmaniah serta kesan-kesan sejarah empayar kerajaan Byzantine, Hittite, Assyria dan juga kerajaan Troy sering menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Negara itu juga pernah menjadi sebahagian jajahan takluk Iskandar Zulkarnain. Begitu juga, kota penuh bersejarah yang diasaskan oleh kerajaan Byzantine iaitu Kota Istanbul telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1985 yang menawarkan pelbagai kesan peninggalan zaman keagungan Islam di Eropah dan masih dapat dilihat sehingga ke hari ini, secara tidak langsung menjadikan ia lokasi yang mesti dilawati dalam peta pelancongan dunia.

Malah ia juga adalah antara negara yang banyak menyimpan sejarah tamadun Mesopotamia. Sebahagian besar penemuan bersejarah tamadun ini berada di wilayah Anatolia.

Bagi dunia Islam, Turki memiliki peninggalan sejarah berharga, terutamanya yang membabitkan sejarah perjuangan beberapa nabi dan rasul.

Urfa terkenal sebagai kota para Nabi. Di sini terdapat makam Nabi Ilyasa' dan Nabi Ayob serta perkampungan baginda. Di Sanli Urfa pula, terdapatnya Masjid Khalilul Rahman (Masjid Nabi Ibrahim as) dan kolam ikannya.

Masjid yang mempunyai kolam yang merupakan tempat pembakaran Nabi Ibrahim oleh Raja Namrud. Dikatakan arang-arang daripada pembakaran tersebut telah bertukar menjadi ikan-ikan yang hidup dalam kolam tersebut.

Kolam itu terkenal dengan nama Balikli Gol yang telah dibina pada zaman Dinasti Ayyubid dan dikelilingi taman rekaan arkitek bernama, Merih Karaaslan. Bersebelahan dengan kompleks Balikli Gol pula terdapat pula gua tempat kelahiran Nabi Ibrahim as dan Masjid Jamek Rizvaniye.

Ini baru sebahagian lokasi-lokasi yang terkandung dalam pakej Eksplorasi Turki Timur dan Barat kendalian Speed Travel & Tours Sdn. Bhd., sebuah syarikat pelancongan yang telah ditubuhkan lebih 20 tahun lalu dan beribu pejabat di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Tawaran pakej hebat dan menarik ini direncanakan pada 24 November hingga 4 Disember ini pada harga RM7,250 (dewasa), RM7,150 (warga emas) dan RM5,880 (kanak-kanak antara usia 11 hingga 3 tahun).

Uniknya lagi, pengembaraan ini turut disertai juara Imam Muda musim pertama iaitu Imam Muda Muhammad Asyraf Mohamad Ridzuan, merangkap ikon bagi syarikat tersebut.

Pengarah (Penjualan dan Pemasaran) Safirgotravel.com, Muhamad Abd. Latif @ Ahmad Jazree Jazran dalam sidang media pelancaran pakej itu berkata, destinasi yang dipilih itu agak berbeza dengan yang dikendalikan oleh syarikat pengendali pelancongan yang lain.

"Jika dilihat pada harganya sahaja, ia adalah jauh lebih murah memandangkan terdapat satu penerbangan domestik dari Sanli Urfa ke Istanbul serta pakej ini merangkumi tiket penerbangan pergi dan balik Qatar Airways, cukai lapangan terbang, penginapan di hotel empat bintang, makan tengah hari dan malam, bayaran masuk ke tempat lawatan, pengangkutan, tip pemandu pelancong, beg kembara dan air mineral.

"Tempat-tempat yang terkandung dalam pakej ini juga jarang dikunjungi oleh rakyat Malaysia, terutamanya dalam menjejaki berkat Nabi Ibrahim as di Mesopatamia seperti; ke Sanli Urfa, tempat lahir Nabi Ibrahim, Empangan Antartuk yang merupakan ketiga terbesar di dunia, Harran iaitu kawasan di mana Nabi Ibrahim dibesarkan dan perkampungan Nabi Ayob dan Nabi Ilyasa' serta banyak lagi.

"Tidak sah ke Turki jika tidak dibawa ke satu-satunya kota di dunia yang terletak di benua Asia dan Eropah iaitu Istanbul. Kemudian ke Masjid Biru, menziarahi Makam Sultan Muhammad al-Fatih, Hagia Sophia, Muzium Topkapi, Cannakale, Troy, Coppadocia, Kusadasi, Pargamon, Izmir, Ephesus, Pumakkale, Konya dan melayari Bhosporus serta aktiviti wajib bagi setiap pelancong iaitu membeli-belah di kota Istanbul," terang Muhamad Abd. Latif.

Malah katanya lagi, semua tempat-tempat dilawati itu mempunyai sejarah dan keunikannya yang tersendiri serta ada lokasi-lokasi itu ialah satu-satunya yang wujud di dunia. Di samping, peserta berpeluang menaiki belon panas bagi menikmati keindahan landskap semula jadi dan unik di Cappadocia.

Bagi anda yang berminat boleh menghubungi talian 03-8920 4090, 017-259 1932 atau layari laman web di alamat www.safirgotravel.com

Sementara itu, Imam Muda Muhammad Asyraf mengakui pakej Eksplorasi Turki Timur dan Barat itui merupakan destinasi keempat beliau dengan Speed Travel & Tours Sdn. Bhd. Sebelum ini beliau ada mengikuti pakej kembara ke Uzbekistan, India dan Baitulmaqdis.

"Alhamdulillah, menerusi pakej-pakej yang sebelum ini cabaran dan keseronokannya itu sama banyak. Di samping itu juga ia merupakan satu peluang untuk kita menambah pengalaman diri. Ini kerana ada ketikanya, saya sendiri bersama-sama peserta rombongan belajar sesuatu ilmu yang baru.

"Untuk kali ini, saya rasa tempat-tempatnya itu lebih mengujakan. Ini tidaklah bermakna, destinasi yang dilawati sebelum ini tidak menarik tetapi setiap tempat itu ada keunikan dan cerita serta sejarahnya yang tersendiri.

"Saya bersyukur masih setia dengan Muhamad mungkin kerana ukhuwah yang sudah terjalin sekian lama, keserasian, saling memahami serta cara pengendalian syarikat ini yang profesional mungkin disebabkan mereka sudah berpengalaman luas, menyebabkan saya masih terus setia," ujar Muhammad Asyraf yang tidak lekang dengan senyuman pada petang itu.

ARKIB : 06/11/2012


Beriman Dengan Allah Dan Hari Akhirat



orang yang beriman akan kekal di dalam syurga selama-lamanya. - Gambar hiasan
Akidah Muslim

SEORANG Muslim hendaklah menyaksikan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hamba Allah dan utusan-Nya, yang diutuskan kepada golongan jin dan manusia dengan petunjuk dan agama yang benar.

Sesungguhnya baginda telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan kesedihan dan berjihad pada jalan Allah SWT dengan sebenar-benar jihad. Baginda juga adalah Rasul yang benar lagi amanah, yang dikuatkan dengan mukjizat-mukjizat yang mencarik adat. Maka, adalah menjadi satu kefarduan ke atas hamba-hamba agar membenarkan baginda mentaati dan mengikutinya.

Perkara yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW juga melibatkan masalah akidah umat Islam di mana tidak akan diterima iman seorang meskipun dia beriman dengan Allah sehinggalah dia beriman dengan baginda dan segala yang diwahyukan serta dikhabarkan kepadanya dari perkara-perkara dunia, akhirat dan alam barzakh.

Antara perkara yang wajib diiktikadkan ialah beriman dengan soalan Munkar dan Nankir kepada orang yang telah meninggal dunia mengenai tauhid, agama dan kenabian. Demikian juga hendaklah beriman dengan adanya nikmat alam kubur bagi orang yang taat dan azabnya bagi orang yang melakukan maksiat. Beriman dengan hari kebangkitan selepas kematian dan hari dihimpunkan segala jasad dan roh untuk berdiri di hadapan Allah SWT.

Begitu juga, hendaklah beriman dengan hisab, bahawa para hamba itu berbeza-beza pada kiraan hisabnya; ada yang diringankan kiraannya dan ada pula yang dipanjang lebarkan. Hendaklah seseorang itu beriman bahawa ada di kalangan mereka yang akan masuk syurga tanpa dihisab terlebih dahulu dan beriman dengan Mizan (neraca timbangan) yang menimbang segala kebaikan dan kejahatan, kewujudan Sirat iaitu titian yang melintang di atas neraka Jahanam, dan kewujudan Telaga Nabi Muhammad SAW yang akan diminum oleh orang-orang beriman sebelum memasuki syurga dan airnya berpunca dari syurga.

Wajib ke atas seseorang itu beriman dengan syafaat para Nabi, kemudian para siddiqin, syuhada, ulama, orang-orang soleh dan orang-orang beriman. Sesungguhnya syafaat agung (al Syafa'ah al 'Uzma) hanya dikhususkan bagi Nabi Muhammad SAW iaitu mempercepatkan Hari Pengadilan di samping baginda memiliki syafaat-syafaat yang lain.

Berkaitan keimanan kita kepada kewujudan neraka pula ialah akan dikeluarkan ahli tauhid yang telah memasuki neraka sehinggalah tidak kekal di dalam neraka orang yang terdapat di dalam hatinya iman walau sebesar zarah.

Sedangkan, orang yang kufur dan syirik pula akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Manakala orang yang beriman akan kekal di dalam syurga selama-lamanya di mana mereka akan melihat Allah di dalam syurga dengan mata kasar mereka yang layak dengan kebesaran dan kesucian sifat kesempurnaan-Nya.

Wajib seseorang hamba mempercayai kelebihan sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan mereka semua adalah golongan yang adil, generasi pilihan dan amanah. Tidak boleh mencaci mereka dan merendahkan kedudukan salah seorang daripada mereka. Khalifah yang benar selepas Rasulullah SAW ialah Abu Bakar al-Siddiq, kemudian Umar al-Faruq, kemudian Uthman al-Syahid, kemudian Ali al-Murtadha. Bagi mereka kebaikan sehingga Hari Kiamat.


ARKIB : 06/11/2012

Doa Penawar





Doa-Doa Yang Dipetik Daripada Hadis-Hadis Nabi Muhammad s.a.w

Dr. Wahbah Al-Zuhaili menyebut dalam kitab tafsirnya Tafsir Al-Munir (Jilid 30, ms 478) :

“Kebanyakan para ulama mengharuskan minta pertolongan dengan membaca ayat-ayat ruqyah (pendinding/penawar) kerana baginda nabi S.A.W telah mengadu kepada malaikat Jibril tentang peristiwa baginda di sihir oleh orang yahudi lalu malaikat Jibril membacakan ayat-ayat ruqyah kepada nabi…”

Antara doa-doa penawar :

1. Doa Malaikat Jibril ke atas Rasulullah S.A.W setelah baginda mengadu kerana disihirkan oleh Labid bin Al-A’shom (yahudi) :

بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

Maksudnya : “Dengan nama Allah aku mendinding kamu daripada setiap sesuatu yang menyakiti kamu yang datang daripada setiap kejahatan jiwa atau mata orang yang hasad (dengki), semoga Allah menyembuhkan kamu dengan nama Allah aku mendinding kamu.”   (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya)

2. Doa ketika menghadapi sakit atau demam :

بِسْمِ اللَّهِ الْكَبِيرِ أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ مِنْ شَرِّ كُلِّ عِرْقٍ نَعَّارٍ وَمِنْ شَرِّ حَرِّ النَّارِ

Maksudnya : “Dengan nama Allah Yang Maha Besar, Aku berrlindung daripada kejahatan setiap peluh yang meruap-ruap dan daripada kejahatan setiap kepanasan api.”  (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Sunannya)

3. Doa ketika menziarahi orang yang sakit :

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

Maksudnya : “Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Yang Memiliki ‘Arasy yang Agung, agar menyembuhkan kamu (dibaca sebanyak 7 kali).”   (Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunannya)

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ مُذْهِبَ الْبَاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya : “Ya Allah, tuhan sekalian manusia, penghilang segala kesusahan, sembuhkanlah kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada sesiapa yang dapat menyembuhkan (penyakit) melainkan Engkau sahaja yang dapat mengubati dan menghilangkan sakit.”   (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya)

4. Doa mohon berlindung daripada gangguan syaitan dan sekutunya :

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya : “Aku mohon berlindung dengan kalimah-kalimah Allah (Al-Quran atau asma’ Allah dan sifatNya) yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa yang boleh membunuh serta berlindung daripada setiap pandangan mata yang boleh mendatangkan kejahatan.”   (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Rujukan : Tafsir Al-Munir – Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Al-Tirmizi, Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Sunan Al-Tirmizi.
Disusun oleh : Al-Faqir ilallahi Al-Ghaniy 18 Safar 1431 H, Mohd Juzaili Juhan Al-Azhariy
Khadim Al-‘Ilm wa Al-Sunnah, Dar Al-Hikmah, Kg. Guru Fasa 3, Kangar, Perlis.

Wallahu’alam….


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...