بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, August 7, 2012

Tujuan tadarus



ARKIB : 01/08/2012


Sebahagian ahli Jemaah Masjid Al -Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan bertadarus al-Quran bagi meraikan kedatangan bulan Ramadan.
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD


TADARUS al-Quran di bulan Ramadan tidak boleh ditafsir sebagai aktiviti 'perlumbaan' mengkhatam al-Quran 30 juzuk semata-mata, sebaliknya bertujuan mengajak masyarakat Islam menghayati proses 'ajar dan belajar' al-Quran bersama rakan atau dalam kumpulan.

Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan,Sabri Abdullah berkata, amalan tadarus dimulakan Nabi Muhammad bersama malaikat Jibril di mana baginda khatam sekali membaca al-Quran dengan Jibril pada setiap Ramadan kecuali pada tahun kematiannya di mana baginda telah khatam dua kali.

Sabri berkata, tadarus adalah peluang terbaik di mana pembaca al-Quran dapat saling menegur kesalahan masing-masing dan bukan sekadar membaca untuk khatam.

"Tadarus pada asalnya adalah program Nabi Muhammad belajar al-Quran bersama Jibril setiap kali tibanya bulan Ramadan.

"Malaikat Jibril akan membaca ayat-ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad yang kemudiannya akan memperdengarkan bacaan baginda kepada Jibril pula.

"Proses ini dicontohi oleh para sahabat nabi yang saling membetulkan bacaan masing-masing sehingga khatam al-Quran," katanya ketika ditemui di Kubang Kerian, Kota Bharu baru-baru ini.

Jelasnya, umat Islam boleh mengikuti program tadarus yang dianjurkan di masjid-masjid ataupun membuat kumpulan sendiri dan memilih seorang guru al-Quran yang boleh menegur bacaan mereka.

Katanya, ahli dalam kumpulan boleh membaca al-Quran secara bergilir-gilir dengan pemantauan guru dan rakan-rakan lain yang lebih berkeupayaan.

Tegasnya lagi, membaca al-Quran secara berkumpulan adalah perkara yang sangat digalakkan dan ada hadis menyatakan bahawa mana-mana orang yang berkumpul untuk membaca al-Quran maka Allah akan datangkan kepada mereka 'sakinah'.

Kalangan ulama mentafsirkan maksud sakinah ini kepada dua perkara, iaitu pertamanya mereka akan mendapat ketenangan dan maksud kedua adalah para malaikat akan datang berduyun-duyun menyertai kumpulan yang sedang membaca al-Quran," katanya.

Klinik al-Quran

Dalam masa sama, beliau berkata, khatam al-Quran pada bulan Ramadan dituntut kerana ulama menyebut bahawa hak al-Quran

adalah untuk ia dikhatam sekurang-kurangnya dua kali setahun oleh pembacanya dan salah satunya dilakukan pada bulan Ramadan.

Jelasnya, selain program tadarus, masjid itu juga mengadakan klinik al-Quran pada pukul 10 pagi setiap hari kecuali hari minggu dan bengkel al-Quran dengan Imam Muda masjid, Abdul Bari Abdullah pula diadakan pada hari Jumaat.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Wanita masjid tersebut, Nik Salma Hassan, 65, berkata, pihaknya memanggil seorang guru al-Quran, Mek Yah Che Muhamad, 56, bagi mengendalikan program tadarus bagi jemaah wanita di masjid itu dari pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi setiap hari.

Katanya, mereka membaca antara satu hingga satu setengah juzuk al-Quran setiap hari bergantung kepada kemampuan ahli tadarus dengan sasaran agar dapat khatam di hujung Ramadan.

Nikmat kegembiraan


TERDAPAT dua kegembiraan yang jelas bagi umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan. Kegembiraan ini tidak dapat dirasakan oleh mereka yang tidak berpuasa. Ia adalah suatu kenikmatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Mencari kegembiraan dalam kehidupan adalah sesuatu yang sukar ditemui. Kegembiraan bagi orang yang berpuasa akan dinikmati oleh semua orang sama ada mereka itu golongan kaya atau miskin. Nikmat kegembiraan ini sama dirasakan oleh hati dan perasaan.

Bagi menjelaskan kegembiraan ini, daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya kegembiraan dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad di tangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kesturi. (riwayat Imam Ahmad, Muslim dan al Nasai).

Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripada-Nya. Kegembiraan apabila seseorang itu berbuka puasa dapat dibayangkan betapa nikmatnya setelah sehari suntuk berlapar dan dahaga, waktu berbuka dapat menikmati hidangan dan makanan yang disediakan.

Orang yang berpuasa juga akan merasa gembira sewaktu berbuka. Ini disebabkan waktu itulah mereka dapat berkumpul bersama keluarga dan makan bersama-sama semasa berbuka. Pelbagai juadah yang disediakan mengikut kemampuan dapat dinikmati setelah sehari suntuk berpuasa.

Seterusnya orang yang berpuasa genap sebulan Ramadan akan mendapat kegembiraan berhari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada hari raya mereka dapat menikmati pelbagai juadah dan makanan kuih muih yang disediakan.

Mereka juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga pada hari raya. Kegembiraan ini adalah manifestasi daripada berbuka puasa yang konsepnya lebih besar dan luas.

Ibnu Jauzi menyatakan, hari raya mempunyai persamaan dengan hari akhirat. Ketika mereka telah terbangun daripada tidur panjang mereka dan berduyun-duyun menuju perayaan, seperti orang-orang yang telah mati keluar dari kuburnya masing-masing menuju tempat mereka berkumpul. Ada di antara mereka yang mengenakan perhiasan dan menaiki kenderaan serba mewah. Ada juga yang kelasnya menengah dan ada pula kelas rendah untuk menemui Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Mereka itulah orang-orang yang didekatkan (kepada Allah). (al Waaqi'ah: 11)

Kegembiraan seterusnya adalah orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan takwa akan dapat bertemu dengan Allah SWT pada hari akhirat nanti. Kegembiraan ini telah dijanjikan oleh Allah SWT sebagai balasan atas amalan puasanya.

Oleh AMINUDIN MANSOR

utusanARKIB : 02/08/2012

Hidup tenang bila diri dihiasi takwa


07:00:53 AM Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Pemimpin tawaduk tak khianati amanah, kuasa

Ketika Abu Dzar Al-Ghifari meminta nasihat Rasulullah SAW, kata Rasulullah SAW kepadanya: “Saya wasiatkan kepadamu, bertakwalah engkau kepada Allah kerana takwa itu adalah pokok dari segala perkara.”


Umumnya, ulama mendefinisikan takwa sebagai menjaga diri daripada perbuatan maksiat, meninggalkan dosa syirik, perbuatan keji dan dosa besar, serta berperi laku dengan adab syariah. Takwa adalah melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. 



"Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan ketakwaan kepada Allah, maka dia akan hidup dengan penuh keyakinan dan kekuatan. Dia pun akan berjalan di muka bumi ini dengan penuh ketenangan dan kedamaian" - Riwayat Abu Nu’aim

Firman Allah SWT: 
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Firman-Nya lagi: 
“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah Al-A’raf, ayat 26)

Tiada niat lakukan kejahatan

Orang yang bertakwa selalu memikirkan apa yang akan diucapkan dan berhati-hati ketika melakukan sesuatu perkara. Tidak ada niat di hati Muslim sama sekali untuk melakukan kejahatan yang boleh merugikan dan memudaratkan orang lain, apatah lagi merugikan masyarakat serta negara. 

Orang yang menjadikan takwa sebagai hiasan hidupnya tidak mungkin mengkhianati amanah dan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga atau kroninya. Kuasa kepemimpinan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan kepada masyarakat, bangsa dan terutama kepada Allah SWT.

Islam lahir ramai pemimpin bertakwa

Islam melahirkan ramai pemimpin bertakwa yang memimpin umat Islam dengan penuh keadilan. Contohnya, Saidina Ali bin Abi Talib yang bersifat tawaduk dan patuh terhadap keputusan Kadi, meskipun tuntutannya terhadap baju besi dimiliki seorang Yahudi, dibatalkan di sidang pengadilan.

Saidina Ali membawa saksi iaitu Saidina Hasan, puteranya sendiri dan Qanbar, pembantunya. Namun Kadi Syuraih sebagai seorang kadi yang jujur dan tegas telah menolak saksi dari kaum kerabat kerana dianggap boleh menimbulkan berat sebelah kepada Saidina Ali.

Akhirnya, Kadi telah memberikan keputusan yang adil dengan memberikan kemenangan kepada Yahudi dan Khalifah Ali menerimanya dengan ikhlas.

Sikap tawaduk yang lahir dari takwa ini telah membuka pintu hati Yahudi itu untuk menerima Islam sebagai pegangan hidupnya. 

Yahudi berkata: “Wahai Amirul Mukminin, Tuan telah membuat aduan mengenai saya kepada Kadi yang juga orang bawahan tuan, tapi dia telah memberikan kemenangan kepada saya. Maka dengan ini, saya bersaksi bahawa ini adalah kebenaran dan saya bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.” 

Peroleh ketenangan di dunia, akhirat

Akhirnya, apabila takwa menjadi perhiasan hidup dalam setiap gerak gerinya, dia akan memperoleh ketenangan dan kedamaian yang hakiki di dunia serta akhirat nanti. 

Maka benarlah Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan ketakwaan kepada Allah, maka dia akan hidup dengan penuh keyakinan dan kekuatan. Dia pun akan berjalan di muka bumi ini dengan penuh ketenangan dan kedamaian.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim) 

Takwa adalah bekalan hidup paling berharga dalam diri seorang Muslim. Tanpanya hidup menjadi tidak bermakna dan penuh kegelisahan. Sebaliknya, seseorang akan merasai hakikat kebahagiaan hidup, baik di dunia mahu pun akhirat apabila dia berhasil menjadi seorang yang bertakwa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...