بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, April 21, 2012

Zakat ke atas hutang

Soalan
BENARKAH apabila saya memberikan hutang kepada seseorang, maka saya masih wajib mengeluarkan zakat ke atas hutang berkenaan? Bolehkah saya memberikan terus hutang itu dan saya niatkan ia sebagai zakat?

Jawapan
Islam adalah agama ta'awun, yakni saling tolong-menolong. Memberi hutang dianggap mulia, kerana ia memberikan jalan keluar kepada saudara seagama dalam kemelut kehidupan. Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Pinjaman dua dinar yang aku pinjamkan (beri hutang) kemudian dikembalikan lagi, seterusnya aku pinjamkan lagi adalah lebih aku cintai daripada aku bersedekah dengannya." (disebut oleh al-Manawi dalam Faydh al-Qadir Syarh al-Jami' al-Saghir, rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 100).

Oleh itu, dalam menanggapi isu zakat hutang, maka para fuqaha mempunyai pandangan yang pelbagai terhadapnya. Umumnya, jumhur fuqaha menyatakan, bahawa hutang yang diberikan kepada orang lain, maka adalah wajib zakat ke atasnya apabila harta yang dihutangkan itu diperoleh kembali dan wajib dibayar atas zakatnya bagi masa-masa yang berlalu.

Namun, ada juga yang berpandangan bahawa hutang itu tidak wajib dizakatkan, justeru ia adalah harta yang hakikatnya tidak berada dalam kekuasaan si penghutang (orang yang memberikan hutang). Maka, kewajipannya hanya datang setelah harta itu diperoleh kembali dan disyaratkan cukup nisabnya dan dimiliki selama setahun.

Dalam hal ini, amalan di Lembaga Zakat Selangor (LZS) khususnya, pengiraan zakat ke atas hutang adalah diambil kira sebagai sempurna milik seandainya orang yang berhutang menjelaskannya kembali pada tahun semasa sebagaimana yang dijanjikan. Misalnya, si A berjanji menjelaskan hutang kepada saudara dalam tempoh tiga bulan, dan dia menepati janjinya, maka saudara hendaklah mencampurkan hutang yang diperoleh dengan wang saudara yang lain dan dikirakan zakat ke atasnya.

Manakala, bagi orang yang berhutang dengan saudara, fuqaha turut berselisih pendapat di sini sama ada ia boleh diberikan terus sebagai zakat atau tidak. Ini kerana, ada yang mensyaratkan wajib menyerahkan zat harta kepada asnaf zakat.

Namun, merujuk kitab, Abhas Fiqhiyah Fiqadaya az-Zakah al-Mua'ssarah oleh Dr. Muhammad Sulaiman al-Asykar dan teman-temannya, iaitu dalam bab memberikan zakat, sama ada dalam bentuk zat dan manfaat, maka adalah dibolehkan bagi menyerahkan harta zakat walaupun dalam bentuk manfaat semata-mata.

Jadi, apabila saudara menyerahkan terus hutang yang membebani si pemiutang, maka walaupun tiada perpindahan harta zakat (yakni wang) di sini namun sudah berpindah manfaat harta zakat. Orang yang berhutang sudah dibebaskan daripada belenggu hutang dan menurut sebahagian fuqaha ia dibolehkan.

Kesimpulannya, zakat ke atas hutang masih perlu dikira apabila hutang itu dibayar oleh pemiutang dan dimasukkan dalam kiraan tahun semasa. Boleh menyerahkan hutang kepada pemiutang sebagai zakat, demi kemaslahatan mereka dan tidak pula dengan tujuan melarikan diri daripada membayar zakat kepada pihak yang berkuasa. 

Wallahua'lam.

Nabi Ibrahim tidak pernah makan kecuali bersama tetamu

Gambar Hiasan Sahaja



Oleh Ustaz Zaman

2012/04/21


MENGHORMATI dan memuliakan orang lain sesuatu yang dituntut Islam. Ini merangkumi pandangan atau pendapat, cita rasa dan hobi. Semua perlu dihormati kerana manusia adalah ciptaan Allah SWT yang penuh dengan keunikan. 

Mereka diciptakan daripada sumber yang sama tetapi mempunyai pandangan, hobi dan cita rasa serta sikap yang berbeza.


Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentu dijadikan manusia sehaluan, tetapi mereka sentiasa berselisih. Kecuali mereka yang dirahmati dan itulah sebabnya mereka diciptakan.” (Surah Hud, ayat 118-119)
Adapun orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya (al-Quran) yang diturunkan kepadanya. Merekalah orang yang beruntung. - Surah Al-A’raf, Ayat 157

Penghormatan juga diberikan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah seperti dilakukan Nabi Ibrahim AS terhadap mereka yang datang dengan khabar gembira daripada kalangan malaikat. Diriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah makan kecuali bersama tetamu. 

Firman Allah SWT bermaksud yang bermaksud: 
“Dan para utusan kami datang kepada Ibrahim lalu masing-masing mengucapkan salam dan Ibrahim menghidangkan kambing yang dibakar.” (Surah Hud, ayat 69).
Baginda SAW juga pernah bersabda dengan maksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah SWT hendaklah memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Begitu juga penghormatan dan kemuliaan yang diberikan kepada nabi, wali dan ulama kerana Al-Quran sendiri meraikan Nabi Zakaria dan Yahya dalam firman-Nya bermaksud: 
“Sesungguhnya mereka selalu bersegera dalam melakukan kebajikan dan memohon doa dengan penuh pengharapan. Merekalah orang yang khusyuk kepada Kami.” (Surah al-Anbiya’, ayat 90) 
Jika demikian, persoalannya adakah semua penghormatan yang diberikan kepada Baginda SAW serta keluarganya adalah dikira menyembah mereka sehingga ada yang mengharamkan sesiapa berbuat demikian?

Apa yang diketahui, segala penghormatan itu kerana mulianya kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Ulama terdahulu juga pernah berbuat demikian, malah ada yang menjadikan ia sebagai satu ibadah Pengarang kitab Fathul Majid, Syekh Muhd Hamid Al-Faqy meletakkan maksud ibadah dan penghormatan dalam maksud yang sama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Adapun orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya (al-Quran) yang diturunkan kepadanya. Merekalah orang yang beruntung.” (Surah Al-A’raf, ayat 157) 
Begitu juga mengunjungi pusara anbiya’ serta orang salih atas tujuan memberi penghormatan dengan membaca al-Quran serta berdoa untuk kesejahteraan semua. 

Allah SWT mengangkat martabat serta kedudukan Baginda SAW di sisinya dan diraikan kedudukan ini bagi mereka yang datang selepas kewafatan Baginda SAW. Anugerah inilah yang menjadikan sesiapa yang mentaati Muhammad seolah-olah mentaati Allah SWT. 

Firman Allah SWT: “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya.” (Surah An-Nisa’, ayat 59) Dimasukkan nama Baginda SAW di sisi Allah SWT seolah-olah menyatakan bahawa Baginda berhak mendapat penghormatan. 

Kesimpulannya, ketaatan kepada Allah SWT dapat dikembangkan dengan memberi perhatian kepada utusan-Nya serta mereka yang hampir kedudukan dengan Allah SWT. 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Akulah penghulu sekalian manusia pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)


Daya tahan diri perisai hadapi dugaan kesenangan


Oleh Sharifah Hayaati
2012/04/21 


Solat peneguh amali, sederhana perkasa naluri


TIADA manusia yang tidak inginkan kesenangan dalam hidupnya malah, kedatangan Islam membawa rahmat yang antaranya adalah kesenangan supaya manusia dapat memenuhi keperluan hidup, membantu sesama manusia, beribadat dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan.


Namun, dalam mencari kesenangan, kita juga perlu memperkuatkan diri dengan daya tahan dalaman. Jika sebelum ini kita membincangkan cara ketahanan diri menghadapi dugaan, kali ini saya ingin ketengahkan bagaimana usaha memperkasakan diri apabila berada dalam kesenangan dan peluang mencapai kesenangan.


Diingatkan, kesenangan juga adalah dugaan untuk melihat sejauh mana kita mensyukurinya. Malah dugaan kesenangan itu lebih berat daripada dugaan kesengsaraan kerana semasa dalam kesenangan kita lebih mudah alpa, leka, lalai dan lupa diri.



Begitu juga kerana ingin mendapatkan kesenangan, kita sering kalah dengan tarikannya yang menyalahi syara' seperti sogokan dalam pelbagai bentuk ganjaran dan habuan kesenangan serta penipuan.

Penjawat awam, dikawal dan dipandu pelbagai sistem pengawasan serta pencegahan seperti Akta Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam dan Panduan Tatakelakuan Penjawat Awam. 



Namun, semua sistem ini hanya sebagai sokongan luaran saja. Apa yang lebih utama ialah sistem daya tahan dalaman diri seseorang membina kekuatan untuk tidak memberikan walaupun pertimbangan kepada tarikan itu. 

Ketahanan diri penting apabila kita sudah berada dalam kesenangan untuk menahan daripada menyalahgunakan harta kesenangan dengan bersifat boros, tamak, monopoli dan lokek.

Kesenangan menyebabkan kita leka, lupa diri, malas, sombong dan lalai melaksanakan tanggungjawab sesama manusia dan kepada Allah serta menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. 

Semua adalah kesan daripada kelemahan daya tahan diri. Justeru, ketika berada dalam kesenangan dan berhadapan peluang kesenangan, daya tahan diri mampu menjadi perisainya untuk mengelak manusia hilang nilai insani dan mengelak kesenangan itu nilainya bersifat zahiriah saja. 

Hakikatnya, kesenangan dan peluang mendapat kesenangan boleh menjadi musuh di hari akhirat sekali gus menyebabkan sumber rezeki tidak diberkati.

Peringatan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kelak pada hari kiamat, ada yang datang dengan tubuh perkasa tetapi nilai dirinya di sisi Allah lebih kecil dari seekor nyamuk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya kita tidaklah dianggap berkuasa kerana jawatan, dianggap kaya kerana harta yang melimpah ruah dan dianggap perkasa hanya kerana fizikal yang kuat. Hakikat kaya, kuasa dan kuat ialah apabila kita berjaya menahan semua daripada disalah guna.

Allah SWT memerintahkan dalam firman yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu mengambil peringatan.” – (Surah al-Nahl, ayat 90) 

Ketahanan diri boleh diperkasa melalui pelbagai cara antaranya solat dan bersederhana. Solat menjadi perisai daripada pelbagai kemungkaran dan kesederhanaan sebagai perisai mengawal naluri keinginan kesenangan yang berlebih-lebihan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), dan janganlah begitu (kelak kamu akan mengetahui). Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan yakin, nescaya kamu akan melihat neraka jahim. Dan sesungguhnya kamu akan benar-benar melihat dengan ainul yaqin, kemudian kamu akan pasti ditanya pada hari itu kenikmatan (yang kamu negah-megahkan di dunia).” (Surah al-Takatsur, ayat 1-8) 

Bagi penjawat awam khasnya marilah kita memperkasakan solat sebagai peneguh amali dan menjadikan sederhana peneguh naluri dalam memperoleh kesenangan yang halal lagi diberkati. 

Implikasinya disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan dirinya daripada mengemis, menjaga harga diri keluarga dan berbelas kasihan sesama tetangga, nescaya ia akan bertemu Allah dan wajahnya bersinar seperti bulan purnama.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) 

Marilah bersama kita berusaha mencari dan memelihara nikmat kesenangan dengan memperkasakan ketahanan dalaman supaya ia tidak menghilangkan kebaikan di akhirat nanti.

Maksud doa Rasulullah yang sangat indah: “Ya Allah jauhilah daku dari dunia yang menghalang kebaikan akhirat.” Mudah-mudahan doa ini boleh kita jadikan ingatan dan munajat setiap hari dalam membina daya tahan mencari kesenangan dunia.



Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...