بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, October 26, 2011

Fitnah Abdullah Ubay mula diterima

SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
PERISTIWA Saidatina Aishah berjalan bersama lelaki lain dijadikan sumber oleh Abdullah bin Ubay untuk menyebar fitnah di kalangan penduduk Madinah, sekali gus mencemarkan nama serta pengaruh Rasulullah.

Tidak henti-henti bapa munafik ini menghembuskan angin fitnahnya ke sana ke mari dengan menyebarkan cerita bohong mengenai isteri Rasulullah itu.

Pada mulanya, Abdullah hanya menyebarkan fitnah yang keji lagi kotor itu dengan cara berbisik-bisik kepada orang lain.

Dia menyindir dengan menuduh Ummul Mukminin dengan berkata: "Mengapa Aishah pulang lambat dan kemudian kembali bergabung dengan pasukan tentera bersama dengan Shafwan, seorang pemuda yang gagah serta dipercayai oleh Muhammad? Tidakkah kamu merasa pelik".

Antara individu yang didekati oleh Abdullah untuk menyebarkan fitnahnya itu ialah saudara perempuan kepada seorang lagi isteri Rasulullah, Zainab bin Jahsy, iaitu Hamnah binti Jahsy.

Abdullah mengetahui bahawa Siti Aishah adalah isteri yang lebih dikasihi oleh Rasulullah berbanding isteri baginda yang lain.

Dengan menaburkan fitnah kepada Hamnah akan menyebabkan kerukunan dalam rumahtangga Rasulullah akan goyah sehingga akan melibatkan kesan yang buruk kepada isteri yang paling dikasihi oleh baginda.

Hamnah pun tanpa berfikir panjang, termakan kata-kata fitnah dari Abdullah itu dan dia pun turut menyebarkan fitnah tersebut terutama kepada seorang ahli syair yang terkemuka iaitu Hassan bin Tsabit dan Ummu Misthah (perempuan suruhan dalam keluarga Saidina Abu Bakar As Siddiq).

Akhirnya, fitnah yang mengandungi pelbagai tuduhan yang jahat terhadap Siti Aishah itu tersebar luas ke seluruh Kota Madinah dan menyebabkan seluruh kaum Muslimin menjadi gempar dan terkejut.

Akibatnya seluruh keluarga Rasulullah dan keluarga Abu Bakar terpalit arang di muka sedangkan mereka terkenal sebagai keluarga-keluarga yang sangat mulia dan dipandang tinggi dan hormat oleh seluruh masyarakat.

Apa lagi Abdullah pun menjadi manusia yang paling gembira dengan kejayaannya menyebarkan fitnah itu.

Tetapi bagaimana dengan Rasulullah sendiri apabila tersebarnya fitnah yang melibatkan isteri kesayangan baginda?

Baginda sendiri berasa hairan dan sangat terkejut mendengarkan berita yang sangat mendukacitakan itu dan penyebaran fitnah yang berlaku. Tidak terlintas di fikiran baginda, isteri yang paling disayanginya itu akan melakukan perbuatan yang curang dan serong.

Namun baginda tidak terburu-buru mengambil sebarang keputusan tanpa sebarang usul periksa.

Bukan baginda tidak menyayangi atau tidak mempercayai Siti Aishah tetapi baginda hendak melakukan siasatan dan menyelidiki dengan penuh hikmah dan saksama agar keputusannya akan memuaskan hati semua pihak.

Tetapi bagaimana dengan Siti Aishah yang menjadi mangsa fitnah, bagaimana hubungannya dengan Rasulullah apabila fitnah ini melanda?

"Aku memang tidak menyedari sebarang perubahan yang berlaku kepada Rasulullah cuma layanan baginda tidak seperti biasa yang selalunya baginda akan menghiburkan terutamanya apabila aku sakit.

"Kali ini walaupun tetap mesra terhadapku tetapi dapat ku rasakan Muhammad seperti menahan perasaannya dan tidak lagi begitu menghiburkan aku. Melihatkan begitu ditambah lagi Muhammad tidak berkata apa-apa dan aku pun meminta kebenaran darinya untuk dirawat di rumah keluarga sendiri.

"Muhammad pun memberikan keizinannya kepadaku dan aku pun berpindah ke rumah keluargaku buat sementara sehinggalah aku sembuh," kata Aishah.

Berbanding berhadapan dengan musuh yang ingin menguji kekuatan dari aspek ketenteraan, namun apabila tersebarnya fitnah seperti ini ia lebih menguji kekuatan Rasulullah.

Sudahlah fitnah menjadi semakin perbualan yang hangat, Rasulullah sendiri tidak mempunyai jawapan yang tepat dalam menghadapi persoalan rumit seperti ini.

Hendak ditanya sendiri atau berbincang dengan Aishah, beliau sedang sakit dan bimbang sakitnya akan bertambah berat dan melarat. Hendak ditanya sendiri dengan Shafwan, baginda bimbang Shafwan akan salah faham dan menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan.

"Ini kerana lelaki yang cuba dikaitkan dengan Aishah ini pula sepanjang mengenali beliau adalah seorang yang baik dan dia tidak pernah masuk ke rumahku melainkan dengan aku sendiri," kata Rasulullah.

Penting diri rosakkan nilai kehidupan

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

HIDUP dan kehidupan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk teruskan hidup memang agak mudah berbanding membina kehidupan. Untuk terus hidup, kita hanya perlu makan dan minum, tetapi untuk membina kehidupan kita perlu memperbanyakkan memberi dan berkongsi agar keberadaan kita di dunia lebih bermanfaat.

Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW, diriwayatkan dari Jabir r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia". (riwayat Thabrani dan Daruquthni)

Analogi yang mudah adalah perbezaan di antara rumah dan rumahtangga. Untuk membina rumah kita hanya perlukan kayu, bata, simen dan sebagainya.

Namun, untuk membina rumahtangga memerlukan lebih daripada itu, iaitu perlu dibangunkan bersama mawaddah dan kasih sayang.

Orang yang hidup untuk hidup hanya memikirkan tentang dirinya sahaja. Persoalan yang bermain dalam fikirannya ialah apa yang akan diperolehi. Sebaliknya, orang yang mahu membina kehidupan yang diredai oleh Allah adalah mereka yang sentiasa memikirkan tentang orang lain.

Persoalan yang bermain di fikirannya adalah apa dan bagaimana untuk memberi. Setiap masa dan detik digunakan bagi memikirkan bagaimana untuk memberikan manfaat kepada manusia, semaksimum mungkin.

Justeru, tidak dinafikan 'hidup' adalah penting namun 'kehidupan' adalah lebih penting. Sebabnya, orang yang mempunyai kehidupan yang bernilai adalah mereka yang memanfaatkan setiap yang dikurniakan kepadanya, bukan sahaja untuk dirinya, tetapi dikongsi serta diberikan kepada orang lain.

Maka jadilah orang yang mempunyai sikap sebegini sebagai orang yang paling terbaik sejajar dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang bermaksud: "Seorang lelaki mendatangi Nabi SAW dan berkata, Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling diicintai oleh Allah SWT dan apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT?"

Rasulullah SAW menjawab, "Orang yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunaskan hutang atau menghilangkan kelaparan. Dan sesungguhnya aku berjalan bersama seorang saudaraku untuk menyelesaikan hajatnya lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di masjid ini (iaitu Masjid Madinah) selama satu bulan. Dan barang siapa yang menghentikan kemarahannya, maka Allah SWT akan menutupi kekurangannya dan barang siapa menahan kemarahannya padahal dirinya sanggup untuk melakukannya maka Allah SWT akan memenuhi hatinya dengan harapan pada hari kiamat. Dan barang siapa yang berjalan bersama saudaranya untuk (menunaikan) suatu keperluan sehingga tertunaikan (keperluan) itu maka Allah akan meneguhkan kakinya pada hari tidak bergemingnya kaki-kaki (hari perhitungan)". (riwayat Tabrani)

Jika kita amati hadis di atas, kita akan dapati bahawa orang yang terbaik adalah yang tidak mementingkan dirinya sendiri dan melakukan banyak kebaikan untuk orang lain.

Kebaikan itu juga dilaksanakan bukan untuk mendapat balasan daripada orang lain, tetapi semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT.

Tuesday, October 25, 2011

Lazatnya Iman .. Bagaimana?



 
Bismillahirrahmanirrahim.

Bila hati seseorang bersih maka ibadah fardhu dan sunat serta ibadah zahir dan batinnya menjadi baik. Dia memerhati sesautu kejadian penciptaan Allah SWT dengan mata hati dan semuanya ini membawanya kepada ketakwaan yang sempurna. Dia mensyukuri nikmat dan tidak jadi orang yang lupa akan nikmat Allah. Dia percaya bahawa semua yang berlaku adalah dengan qudrah dan iradah Allah. 

Kita bertanggungjawab mensyukuri nikmat, sama ada sikit atau banyak, sekejap ada atau sekejap tiada. Begitulah sikap kita seharusnya. Allah Maha mengetahui atas sesuatu. Hamba yang ingin merasai kelazatan iman itu antaranya ialah menerima sepenuhnya qadar dan qadha' Allah. Berkata imam Malik ra : "Janganlah kita terlalu suka kesenangan dan ketenangan yang Allah SWT kurnikan kepada kita kerana boleh jadi dengan terlalu suka dengan segala kesenangan dan ketenangan yang kita miliki akan membawa kita kepada lupa kepada Allah SWT".

Lupa kepada Allah akan memudaratkan kita, hati akan menjadi keras dan mati. Bila ini berlaku seseorang itu tidak akan dapat menikmati kelazatan beribadah, tak lagi dapat merasa ta'abbud kepada Allah SWT sehingga akhirnya akan meninggalkan segala perintah dan menghampiri segala larangan Allah SWT. Dia juga akan mudah lupa bahawa segala nikmat itu adalah kurniaan Allah serta mengaku bahawa segala nikmat itu hasil usaha dia seorang.

Apa yang Allah cipta tidak semuanya dapat dirasai dengan pancaindera. Yang tak dapat dirasai dengan pancaindera itu ialah pahala dan dosa. Kita dapat rasa masin dan manisnya makanan tapi dosa dan pahala kita tak dapat rasa, sebab itu ramai orang buat dosa, begitu juga pahala, tak dapat dirasa, kerana itu orang tak mahu buat perkara yang baik. Ramai orang buat benda tak baik berbanding dengan buat benda  baik. 
Manisnya iman.. bagaimana.. macam mana.. kebanyakan orang dapat bercakap saja.. rasa macam mana.. kalau madu lebah kita dapat rasanya begitu juga kurma.

Pahala dosa semuanya itu bersifat keimanan..hanya boleh dikecapi oleh orang-orang yang mempunyai keimanan seumpama hati Abu Bakar as-Siddik ra, Dzun Nun al-Misri, Syeikh al-Junid al-Baghdadi ra, dan ramai lagi orang-orang soleh yang hidupnya semata-mata ta'abbud (mengabdikan diri) kepada Allah. Jalannya mudah saja, buat yang Allah suruh tinggal yang Allah larang, apa yang Allah sediakan di atas muka bumi ini kita nikmati tetapi jangan lupa kepada Pemberi. Sangat bahaya jika kita lupa kepada Allah. Batas-batas perlu dijaga supaya berada di atas jalan yang lurus. Makan, pakai, rumah sekadar keperluan. Ilmu perlu diisi, berbanding makanan, pakaian dan harta. Ilmu yang paling penting ialah mengenal Allah dan bagaimana mendapatkan iman dan ini menjamin kemenangan dunia dan akhirat.

Selagi kita tak dapat merasa pahala itu lazat dan dosa itu pahit selama itulah kita tidak dapat kelazatan iman.

Untuk dapatkan iman yang sempurna:

Zahirnya bersih
Batin mesti bersih
Ilmupun tentang keimanan.
Ilmu itu cahaya, cahaya tak akan masuk dalam hati yang ada dalamnya walaupun setitik dosa.
Dapatkan pertolongan Allah SWT dengan usaha dan doa.

Orang-orang yang berilmu ialah orang-orang yang takut kepada Allah.. bila berilmu orang akan yakin. Bila yakin sesuatu yang tertutup akan jelas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...