بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, May 21, 2011

Siti Aminah didik Nabi Muhammad berjiwa kental

2011/05/21
SITI Aminah adalah wanita yang tabah mengharungi cabaran hidup biarpun kehilangan suami pada saat sarat mengandung. Ketabahannya sebagai ibu tunggal dapat dilihat apabila beliau tidak berkahwin lain selepas pemergian suaminya, Abdullah bin Abdul Mutalib. 

Beliau begitu mementingkan kesejahteraan anaknya, Muhammad dengan memberikan yang terbaik buatnya. Sebagai ibu, Aminah begitu mementingkan cara didikan demi memastikan anaknya memiliki sahsiah terpuji.


Ibu yang melahirkan Nabi Muhammad, nabi junjungan kita bukan calang-calang orangnya. Beliau mempunyai kekuatan jiwa hebat kerana mampu mengawal kesedihan emosi walaupun kehilangan orang tersayang.

Dalam perjalanan pulang dari Syam, ketika sampai di kota Yathrib (Madinah), Abdullah tiba-tiba jatuh sakit dan beliau terpaksa ditinggalkan rakan perniagaannya yang pulang ke Makkah. 

Ketika sakit, Abdullah menumpang di rumah orang Quraisy daripada keturunan Ady di Yathrib. Berita keadaannya yang jatuh sakit sampai ke pengetahuan ayahandanya, Abdul Mutalib. 

Abdul Mutalib mengamanahkan anak sulungnya, Harith, supaya memastikan keadaan Abdullah baik di sana. Sebaik menjejakkan kaki di kota Yathrib, Harith dimaklumkan adiknya Abdullah sudah meninggal dunia dan dikebumikan beberapa hari sebelumnya. 

Berita pemergian Abdullah akhirnya sampai ke pengetahuan Aminah yang menerima hakikat kematian suaminya sebagai qada dan qadar-Nya. 
Di sebalik kerinduan kerana sudah lama tidak bertemu suami tercinta, khabar kematian suaminya, berita mendukacitakan. Pada saat cinta kepada suami mula bersemi, Allah menjemput suaminya kembali ke pangkuan-Nya. 

Pada saat Abdullah menghadap Ilahi buat selama-lamanya, Aminah disahkan mengandung tiga bulan. Aminah mengharungi saat mengandung tanpa suami di sisi dengan penuh kesabaran. 

Tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah, bersamaan 20 April 571 Masihi, lahirlah Nabi Muhammad dengan penuh rahmat dan keberkatan daripada-Nya. Insan paling gembira mendengar perkhabaran itu adalah Abdul Mutalib. 

Anak yang baru dilahirkan itu dipeluk dan didukung serta dibawa bertawaf mengelilingi kaabah sebagai tanda syukur kepada-Nya. 

Rasulullah dikembalikan semula ke pangkuan Aminah, umur beliau mencecah empat tahun. Biarpun tidak mempunyai bapa, beliau masih lagi mempunyai ibu yang penyayang. 

Apabila Nabi Muhammad berusia enam tahun, sudah tiba masanya Aminah membawa anaknya itu menziarahi keluarganya dan pada masa yang sama peluang itu diambil bagi menziarahi makam suaminya. 

Selama sebulan Aminah dan Nabi Muhammad serta Ummu Aiman iaitu pengasuhnya berada di Madinah, akhirnya mereka kembali ke Makkah. Dalam perjalanan pulang, Aminah tiba-tiba jatuh sakit di tempat bernama Abwaa. 

Beberapa hari kemudian beliau meninggal dunia dan dikebumikan di tempat itu. Perginya ibu tercinta, menjadikan Muhammad anak yatim piatu. Beliau dibawa kembali ke Makkah oleh Ummu Aiman dalam keadaan berdukacita. 

Hidup sebatang kara tanpa kasih daripada insan yang bergelar ibu dan bapa menjadikan Nabi Muhammad berjiwa kuat dan tabah menghadapi suratan takdir. Benarkan ungkapan yang berbunyi kekuatan jiwa seorang anak lahir daripada kekuatan jiwa seorang ibu. 

Buku 10 Tokoh Idola Muslimah


Utamakan kerja berfaedah dalam kehidupan harian


Bersama Sharifah Hayaati

2011/05/21

Kejayaan sebenar boleh dinilai berdasarkan sejauh mana sumbangan dimanfaatkan

HARI demi hari, masa berlalu begitu pantas sekali. Sedar tidak sedar, kini kita sudah berada di penghujung Mei. Ertinya hampir lima bulan dalam tahun 2011 ini sudah kita lalui. Eloklah jika kita mula menyenaraikan usaha yang sudah berjaya dilaksanakan. 

Sementara bagi yang masih belum dapat dilaksanakan, sebaiknya dibuat perancangan rapi dan strategi menghadapinya sebagai muhasabah diri yang sangat dituntut dalam Islam. Memikirkan atau menyenaraikan usaha itu mampu mencorak niat kita dan hala tuju kehidupan akan dilalui.


Niat adalah tapak membentuk hala tuju, cita-cita, hasrat, tekad dan azam dalam apa juga yang kita rencana serta laksanakan. Ia termasuklah matlamat, objektif, misi dan visi sebagai arah tuju dan dicapai dengan maksud keikhlasan kerana Allah.

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).” (Surah al-Syarh, ayat 5-7) 

Kesanggupan berfikir dan kemampuan menggunakan kudrat untuk mencapai ketinggian antaranya sanggup berkorban menghidupkan nikmat alam-Nya dengan kebaikan serta menghindarkan kemudaratan. 

Dalam kamus perundangan Islam, tumpuan memberi kebaikan ini dinamakan maslahah bererti sesuatu yang baik dan bermanfaat meliputi kebajikan manusia dalam urusan di dunia dan akhirat. Sesetengah fuqaha’, menjadikan aspek hujah penting dalam penentuan pelaksanaan hukum. 

Kesungguhan niat dan usaha berterusan walaupun sedikit amat digalakkan supaya menjadi darah daging atau kebiasaan. 
Daripada ‘Aishah, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Apakah perbuatan yang disukai Allah? Baginda menjawab: Perbuatan yang berkekalan meskipun sedikit.” 
Kebaikan boleh bermula dengan apa saja bentuk tindakan dan jumlah nilaiannya asal saja ia dicapai dengan cara halal termasuklah membuat keputusan yang betul atau memberi manfaat. 

Setiap kebaikan walau sebesar zarah, tetap menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan niat atau hala tuju menambah kebaikan dan mengurangkan kepayahan dalam bekerja di kalangan umat Islam. 

Daripada Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiap-tiap perkara makruf itu menjadi sedekah. Antara perkara makruf itu hendaklah semasa bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan wajah manis dan di kala (ada yang meminta air) hendaklah engkau menuangkan ke dalam bekasnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) 

Dalam konteks bekerja, menambah baik kebajikan dan mengurangkan kepayahan orang lain melalui Amalan 8S ketika berurusan dengan pelanggan adalah amalan murni berasaskan maslahah ke arah penyempurnaan perkhidmatan berkualiti. 

Amalan yang dilancarkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), meliputi salam, sayang, segak, segera, sempurna, sensitif, senyum dan sopan. Amalan ini boleh diaplikasi dalam seluruh kehidupan dan di mana saja. 

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fi Fiqh al-Awlawiyyat menggariskan beberapa kaedah pertimbangan pelaksanaan iaitu memberi keutamaan kepada keperluan asasi melebihi perkara diperlukan, menjadi keinginan dan bersifat pelengkap kepada masyarakat. 

Mengutamakan kemaslahatan diyakini akan mendatangkan hasil daripada yang kurang diyakini, mengutamakan kemaslahatan lebih besar manfaatnya daripada kemaslahatan kecil, mengutamakan kemaslahatan masyarakat daripada individu. 

Mengutamakan kemaslahatan bersifat kekal dan jangka panjang daripada yang bersifat sementara dan jangka masa pendek. Kesemua pertimbangan ini memerlukan kepada perhatian dan kajian berasaskan kesesuaian semasa. 

Justeru, menurut Abu Zuhrah dalam Tarikh al-Madhahib al-Fiqhiyyah, sesuatu tindakan itu boleh dibezakan kualitinya bergantung kepada sejauh mana kebajikan masyarakat terjamin. 

Oleh itu, marilah bersama suburkan niat menambah kebaikan dan mengurangkan kepayahan dalam kehidupan sama ada kepada pekerja, pelanggan, majikan, pelajar, jiran tetangga, ibu bapa mahupun masyarakat. 

Hakikat kejayaan sebenar bukan apa yang berjaya dicapai untuk diri sendiri semata-mata tetapi kejayaan menyumbang kebaikan untuk orang lain. Firman Allah bermaksud: “Tidak ada bagi tiap-tiap seseorang manusia melainkan menurut apa yang diusahakannya.” (Surah al-Najm, ayat 39) 

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Muslim mesti hormati maruah individu lain

2011/05/21
DARIPADA Abi Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara se-Islamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” 

Mengharungi kehidupan pada zaman serba moden ini memperlihatkan kepada kita struktur hidup bermasyarakat Islam hari ini menjadi semakin terlalu individualistik. Sesungguhnya sebagai agama keamanan, Islam menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia.


Antara perkara yang harus diberi perhatian ialah menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku pembunuhan sesa ma sendiri, menjaga maruah dalam masyarakat daripada segala fitnah, tuduh-menuduh dan hasad dengki, menjaga keselamatan harta benda daripada kecurian, rompakan dan pencerobohan.

Sebagai Muslim kita mestilah menghormati maruah individu Muslim lain kerana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak dihormati orang lain dan tanggungjawab menghormati orang lain. 

Sebab puak Yahudi suka melakukan kezaliman terhadap umat Islam kerana sikap tidak ambil peduli sesama umat Islam hari ini. Justeru, musuh Islam berani bertindak sesuka hati menindas rakyat Palestin serta merampas tanah mereka. 

Israel pada hakikatnya dikelilingi negara Arab yang jumlah rakyatnya jauh lebih ramai daripada mereka. Malangnya mereka hanya mampu melihat kezaliman rejim Zionis tanpa mampu untuk berbuat apa-apa. 

Sebetulnya umat Islam harus hidup seperti disebut dalam pepatah Melayu, cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya. Dengan perkataan lain, jika kita inginkan kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain menikmati kebaikan itu. 
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...