بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, March 31, 2013

Culas solat Subuh



Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

SOLAT Subuh merupakan tuntutan yang amat berat ditunaikan memandangkan pada saat itu manusia sedang enak dibuai mimpi berlapikkan bantai dan katil yang empuk.

Lebih-lebih lagi ketika musim hujan, sejuk menyelubungi diri lalu kita menarik selimut meneruskan tidur walaupun azan telah berkumandang. Adakah kita mengetahui bahawa tindakan itu sebenarnya telah melekakan tuntutan syariat?

Bayangkan para sahabat Rasulullah SAW sanggup bangun awal datang ke masjid demi untuk berjemaah bersama baginda. Malah, mereka terlebih dahulu menunaikan ibadat qiamullail (bangun malam) sebelum fajar terbit.

Oleh demikian, untuk mengajak umat Islam supaya bermotivasi menunaikan solat Subuh, Must Read Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah buku bertajuk, 21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh yang dipetik daripada buku karangan dua ulama Arab Saudi iaitu Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid dan Syaikh Murid al-Khullab.
Bahagian pertama daripada buku ini merupakan terjemahan bab An-Nauman Shalati Fajr dalam buku Syakawa Wa Hulul karangan Syeikh Muhammad Shalih al-Munajjid. Bahagian kedua pula merupakan terjemahan daripada buku Maharat Amaliyyah lil Istaiqazh li Shalati Fajar tulisan Syaikh Murid al-Khullab.

Buku 21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh ini menampilkan beberapa petua bagi mereka yang culas menunaikan ibadat itu antaranya seperti posisi tidur dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW dan jangan tidur selepas waktu Asar dan Maghrib.

Buku ini dilihat mengajak umat Islam untuk produktif dengan tidur awal yang daripada sudut lain memberi tempoh rehat mencukupi kepada seseorang individu. Selain itu, bangun awal untuk menunaikan solat Subuh juga dilihat mendidik manusia produktiviti untuk melakukan persiapan sebelum keluar mencari rezeki.

Ibu bapa merupakan golongan sesuai dan digalakkan memilikinya jika berhadapan dengan anak-anak yang sukar untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Para pembaca yang ingin mendapatkan buku berhalaman 119 muka surat dan berharga RM14.90 (Malaysia) dan RM17.90 (Sabah dan Sarawak) itu boleh mendapatkannya di pasaran berhampiran anda.



Tafsir Surah al-Kahfi - Nabi Musa mencari ilmu




Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH, setelah selesai kita membincangkan berkenaan dengan Ashab al-Kahfi penulis ingin meneruskan lagi perbincangan daripada surah yang sama tetapi berkenaan dengan kisah Nabi Musa AS. 

Penulis memulakan dengan ayat 60 hingga 64.

Pada ayat 60 ini Ibnu Kathir berkata: Sebab perkataan Musa kepada pemuda yang bersamanya, yakni Yusya' bin Nun tersebut adalah bahawa ia memberitahu kepadanya bahawa (ada) seorang hamba Allah SWT di tempat pertemuan dua laut, dia mempunyai ilmu pengetahuan yang tidak dikuasai oleh Musa. Maka Musa pun tertarik untuk pergi ke tempat itu. Dan ia berkata kepada pemuda tersebut: "Aku tidak akan berhenti berjalan," maksudnya aku akan terus berjalan, "Sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan." Maksudnya, tempat itulah yang merupakan tempat pertemuan dua buah lautan. Qatadah dan beberapa ulama lainnya mengatakan: "Kedua laut itu adalah laut Persia yang dekat dengan Masyriq dan laut Romawi yang berdekatan dengan Maghrib." Muhammad bin Kaab al-Qurazhi mengatakan: "Pertemuan dua laut itu terletak di Thanjah, iaitu di Ijung negeri Maroko."

Dan diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr, bahawasanya dia pernah berkata: "Huqub itu bererti 80 tahun."

Sayid Qutub berkata: Yang lebih rajih - Allahu a'lam - maksud tempat pertemuan dua lautan itu ialah laut Rum dan laut Qulzum iaitu Laut Mediterranean dan Laut Merah. Tempat pertemuan dua laut ini ialah di kawasan tasik-tasik al-Murrah (al-Buhayrat al-Murrah) dan tasik Buaya (Buhayrah al-Timsah) atau tempat pertemuan dua Teluk Aqabah dan Teluk Suez di Laut Merah. Kawasan ini merupakan pentas sejarah Bani Israel selepas mereka keluar dari negeri Mesir. Walau bagaimanapun al-Quran al-Karim hanya menyebutnya secara umum sahaja. Oleh itu, kami hanya berpandu dengan isyarat ini.

Sementara itu pada ayat 61 pula Ibnu Kathir berkata: Ibn Juraij menceritakan, Ibnu Abbas RA mengatakan: "Bekas jejaknya seolah-olah menjadi batu." Al-'Aufi menceritakan daripada Ibnu Abbas: "Ikan itu tidak menyentuh sesuatu yang ada di laut melainkan akan menjadi kering dan kemudian menjadi batu. Muhammad bin Ishaq menceritakan juga daripada Ibnu Abbas, daripada Ubay bin Kaab, dia bercerita, Rasulullah SAW pernah bersabda ketika disebutkan peristiwa tersebut: "Air tidak pernah terlubangi sejak manusia ada selain tempat berjalannya ikan yang berada di dalamnya. Air itu terbelah seperti lubang sehingga Musa kembali kepadanya, ia melihat jalan ikan tersebut. Qatadah berkata: 'Bayangan air itu dari laut sehingga menyebar ke laut.' Kemudian Musa berjalan di sana sehingga ia tidak berjalan di jalan itu melainkan air berubah menjadi keras membeku."

Al-Maraghi berkata: Menurut suatu riwayat, Nabi Musa AS disuruh supaya membawa seekor ikan masin, lalu dikatakanlah kepadanya: Sebaik saja kamu kehilangan ikan itu, maka di sanalah tempat tinggal Habibullah. Kemudian, Nabi Musa mengambil seekor ikan dan diletakkan di dalam sebuah bakul. Lalu, Musa pun berangkat, ditemani oleh muridnya sehingga kedua-duanya sampai pada sebuah batu besar yang terletak di sisi pertemuan di antara dua laut. Kedua-duanya pun tertidur. Pada waktu yang sama ikan yang dibawa bergerak-gerak dibakulnya, lalu menggelongsor jatuh ke dalam laut.

Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim pula, bahawa Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa AS: Ambillah Nun (ikan yang mati) itu, iaitu ikan yang akan ditiupkan padanya roh.

Nabi Musa AS mengambil ikan seperti itu, lalu baginda letakkan dalam sebuah keranjang dan baginda bersabda kepada muridnya, "Aku tidak menugaskan kamu kecuali memberitahu kepadaku tempat ikan ini akan meninggalkan kamu". Murid berkata, "Aku tidak diberi tugas yang banyak."

Ketika kedua-duanya berada di bawah bayang-bayang sebuah batu besar, tiba-tiba ikan itu menggelongsor sehingga masuk ke laut, sedangkan ketika itu Musa sedang tidur. Maka berkata, "Aku tidak akan membangunkannya."

Namun, ketika Nabi Musa terjaga, ternyata muridnya itu lupa untuk memberitahu tentang ikan tersebut.

Ibnu Jarir dan Ibnu Hatim meriwayatkan sebuah riwayat daripada Ibnu Abbas RA, bahawa setiap kali ikan itu menyentuh sesuatu dari laut, maka sesuatu itu akan menjadi kering dan akhirnya menjadi batu.

Manakala pada ayat ke-62, Ibnu Kathir berkata: Iaitu tempat di mana keduanya lupa akan ikan tersebut. Menurut salah satu daripada dua pendapat sebenarnya dia keluar daripada air masin. Ketika mereka berdua berangkat meninggalkan tempat di mana kedua-duanya melupakan ikan itu, maka Nabi Musa AS berkata kepada pemuda itu: Bawalah makan tengah hari kita, sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini, iaitu suatu perjalanan yang terlalu jauh.

Al-Maraghi berkata: Ada hikmah berlakunya lapar dan letih pada Nabi Musa AS ketika Baginda AS telah melampaui tempat tersebut, lalu baginda meminta makanan. Pada saat inilah Musa teringat akan ikan tersebut yang menyebabkan baginda berusaha mencari ikan tersebut, sehingga akhirnya baginda kembali semula ke tempat orang yang baginda cari itu.



Tuesday, March 26, 2013

Berselawat setiap nama Rasulullah disebut



Daripada Jubair bin Muth’in, katanya: “Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).” (Riwayat Bukhari) 


Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu ditujukan kepada seorang Muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya. 


Seperti disebutkan dalam hadis, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada Rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad SAW atau ganti namanya, pangkat kenabian juga pangkat kerasulannya. 

Sebakhil-bakhil manusia 

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat sesiapa yang tidak berselawat pada masa itu telah melakukan dosa besar. 

Banyak hadis menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda SAW pada masa disebutkan nama atau ganti nama baginda, maka dialah sebakhil-bakhil manusia. 

Dialah mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka jika tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu.

(Hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami) 


Tujuan penciptaan akal




Allah SWT telah mengurniakan akal kepada setiap manusia untuk menggunakan nikmat pemberian itu dengan sebaik-baiknya dalam meniti kehidupan. Akal manusia mampu mentadbir alam ini dengan sempurna supaya kehidupan dilalui dalam keadaan yang harmoni dan teratur. 

Namun, ada kala pemberian Allah SWT ini disalahgunakan tanpa rasa berdosa kepada penciptanya. Sesungguhnya akal pemberian Allah kepada manusia perlu digunakan dengan sebaik-baiknya. Allah menceritakan mengenai hamba-Nya yang digelar ‘Ulul al-Bab’ yang beriman dan menggunakan akal pemikiran dengan sebaik-baiknya dalam mentaati segala perintah-Nya. 


Firman Allah SWT: 
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, maha suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Surah Ali-Imran, ayat 190-191) 
Tujuan utama penciptaan akal 

Ayat ini jelas menunjukkan tujuan utama penciptaan akal adalah untuk melihat kebesaran Allah SWT melalui penciptaan alam, seterusnya tunduk dan patuh kepada segala perintah-Nya. Antara kegunaan akal adalah untuk memahami syariat Islam yang diturunkan Allah SWT melalui kalam-Nya al-Quran. 

Malah akal yang diberikan Allah SWT adalah penentu dalam meletakkan hukum bagi setiap manusia yang mukalaf. 

Sabda Nabi SAW: “Diangkatkan penulisan (dosa) daripada tiga golongan: orang yang tidur sehinggalah dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi (baligh) dan orang gila sehinggalah dia waras.” (Direkodkan oleh Imam Abu Daud) Tujuan dikecualikan dosa bagi tiga golongan ini disebabkan keterbatasan dalam penggunaan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka. 

Selain itu akal adalah kurniaan Allah yang cukup besar untuk manusia mengenalpasti dan menganalisis hukum dalam syariat Islam. 

Dibenarkan berijtihad 

Buktinya kita dibenarkan berijtihad bagi sesuatu hukum yang baru apabila terdapat nas jelas bagi permasalahan itu. Oleh itu, akal digunakan untuk berijtihad dalam permasalahan berkenaan melalui dalil berbentuk umum. 

Namun ijtihad tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tetapi mestilah melalui individu yang diiktiraf ketinggian ilmu mereka dalam selok-belok agama. 

Akal digunakan dalam permasalahan qiyas iaitu meletakkan hukum bagi permasalahan baru berdasarkan hukum sedia ada melalui persamaan illah (sebab). Contohnya, pengharaman menagih dadah yang diqiyaskan kepada pengharaman arak melalui sebabnya iaitu menghilangkan kewarasan akal manusia. 

Walaupun dibenarkan untuk kita menggunakan akal dalam perbahasan berkaitan syariat Islam namun perlu diketahui bahawa akal manusia tidak boleh melangkau serta melepasi batasan nas al-Quran dan al-Sunnah. 

Sebaliknya akal manusia perlulah mengikut sesuatu yang telah diterangkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman: 
“Wahai orang yang beriman janganlah kamu mendahului urusan Allah dan Rasul-Nya; dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Hujurat, ayat 1). 
Akal yang waras perlu mengikut ketetapan hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sesungguhnya setiap yang dinyatakan oleh Allah SWT adalah perkara terbaik bagi sekalian manusia dalam segala aspek kehidupan mereka. 

Maka sesiapa yang meminggirkan al-Quran dan al-Sunnah secara sengaja bermakna mereka telah mendahului urusan Allah SWT dan Rasul-Nya. 

Akal yang diberikan Allah SWT perlu diselarikan dengan pemahaman dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Islam, akal digunakan untuk menghuraikan ayat al-Quran dan sunnah Nabi SAW mengikut disiplin yang tertentu. 

Akal bukan sumber hukum 

Kita dilarang sama sekali untuk meletakkan akal sebagai sumber hukum dan menjadikan nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai penghurainya. Ini adalah kaedah yang salah kerana mendahulukan akal daripada dalilal-Quran dan al-Sunnah. 

Memahami ayat al-Quran memerlukan kita melihat huraian ulama tafsir yang muktabar kerana ulama menggunakan dua kaedah utama iaitu al-Tafsir bi al-Ma’thur dan al-Tafsir bi al-Ra’y. 

Maksud al-Tafsir bi al-Ma’thur adalah menghuraikan ayat al-Quran berpandukan ayat al-Quran yang lain. Di samping itu kaedah tafsir ini juga menghuraikan ayat al-Quran menggunakan hadis Nabi SAW dan athar sahabat. 

Kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y ialah huraian ayat al-Quran dengan mengetengahkan pendapat peribadi mahupun pandangan sarjana Islam lain. Daripada huraian itu maka terserlah hikmah daripada ayat al-Quran yang kadangkala tidak mampu dilihat oleh mata-mata manusia. 

Antara karya tafsir yang menggunakan pendekatan ini ialah kitab Fi Zilal al-Quran karangan Ustaz Sayyid Qutb. 

Walaupun begitu, kaedah al-Tafsir bi al-Ma’thur perlulah diutamakan dalam perbahasan ayat al-Quran dan seterusnya diselitkan hikmah serta pandangan yang mampu memberi manfaat kepada pembaca dengan menggunakan kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y. 

Untuk memahami hadis Nabi SAW, akal memainkan peranan utama. Terdapat dua kajian utama iaitu kajian sanad (jalur periwayatan) dan kajian matan (teks hadis). Kajian terhadap sanad sebelum ia sampai kepada Nabi SAW manakala kajian matan meliputi pemahaman dan pengeluaran hukum daripada hadis. 

Akal memainkan peranan penting dalam memahami syariat Islam. Adanya akal yang waras segala hukum mampu difahami oleh umat Islam. Namun, akal yang dikurniakan itu perlulah selari dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah tanpa sebarang pertikaian

2013/03/26 - 19:46:05 PM Imam Muda Asyraf

Malaikat Mendengar Usaid Bin Hudhair Membaca al-Quran




Usaid bin Hudhair adalah salah seorang sahabat Rasulullah sallallaahu 'alayhi wasallam (saw) yang sangat mahir tentang  ilmu Al-Quran. Beliau merupakan seorang yang hafal al-Quran. Suaranya sangat merdu ketika  mengalunkan bacaan Al-Quran.

Pada suatu malam yang tenang dan hening, permukaan langit jernih tanpa mendung, ketika sedang duduk berehat di luar rumahnya Usaid tergerak untuk mengalunkan bacaan Al-Quran. 

“Alif lam miim, Inilah Kitab (al-Quran) yang tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib yang menegakkan solat, dan yang menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yang yakin akan adanya (kehidupan) akhirat." (al-Baqarah [2] : 1 - 4).

Tiba-tiba kudanya yang kebetulan ditambat tidak jauh dari tempat beliau duduk itu lari berpusing-pusing. Beliau terkejut melihat keadaan kudanya yang ketakutan itu. Usaid pun menghentikan bacaannya dan kudanya pun turut diam.

Usaid menyambung kembali  alunan bacaan Al-Quran.

“Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Rabb-nya, dan merekalah orang yang beruntung.” (al-Baqarah [2] : 5).

Secara tiba-tiba juga kuda Usaid berpusing-pusing tidak menentu dan lebih hebat daripada sebelumnya. Usaid pun menghentikan bacaannya dan kudanya pun turut berhenti. Usaid kehairanan melihat perlakuan kudanya. Setiap kali diulang mengalunkan bacaan al-Quran  begitulah perlakuan kudanya dan apabila Usaid menghentikan bacaannya kudanya pun turut diam. Usaid memandang ke langit, beliau mendapati pemandangan bagai payung yang mengagumkan. Usaid belum pernah melihat pemandangan serupa itu sebelumnya.

Awan itu indah berkilau, bergantung seperti lampu memenuhi ufuk, bergerak naik dengan sinarnya yang terang. Kemudian perlahan-lahan menghilang daripada pandangan.



Esoknya Usaid pergi menemui Rasulullah saw lalu menceritakan apa yang dialaminya kepada baginda dan baginda bersabda:
  
"Itu adalah para malaikat yang mendengar alunan bacaan Al Quran kamu wahai Usaid disebabkan elok dan indahnya bacaanmu. Andai kamu terus membaca sehingga ke pagi, orang ramai juga akan dapat melihat  kehadiran para malaikat itu."






Pahlawan Syurga: Usaid akhiri pertelingkahan Ansar, Muhajirin




Selepas Rasulullah SAW (baca - sallallaahu 'alayhi wasallam) wafat, terdapat segolongan kaum Ansar yang diketuai Sa’ad bin Ubadah, mengumumkan mereka lebih berhak memegang tampuk khalifah daripada Muhajirin kerana kaum Ansar yang membantu Rasulullah SAW pada awal kehadiran baginda di Madinah dulu. 

Oleh itu, mereka merasa lebih layak. Ungkapan itu tentu saja mengundang reaksi daripada kaum Muhajirin. Apa lagi kaum Muslimin ketika itu sedang berkabung tetapi perdebatan tetap tidak dapat dielakkan. 


Ketika keadaan semakin panas, salah seorang pemimpin kalangan Ansar, Usaid bin Hudhair tampil meredakan suasana. Katanya, “Bukankah tuan-tuan mengetahui Rasulullah SAW adalah daripada golongan Muhajirin? Oleh sebab itu jawatan khalifah sewajarnya daripada golongan Muhajirin. Dan kita ialah pembela Rasulullah maka kewajipan kita sekarang ialah membela khalifahnya!” 

Kata-kata Usaid mengakhiri pertelingkahan yang hampir memecah-belahkan persaudaraan itu. Usaid ialah pemimpin suku Aus, kabilah dari Yaman yang berpindah ke Madinah bersama saudaranya suku Khazraj. 

Sebelum kehadiran Islam, walaupun bersaudara, kedua-dua suku itu selalu terbabit dalam pertelingkahan. Namun pada masa lain mereka tetap bersama menghadapi musuh. 

Ketika Mush’ab bin Umair diutus Rasulullah ke Madinah untuk membina kumpulan Ansar yang telah berbaiah kepada nabi di Baitul 'Aqabah yang pertama, khabar kedatangannya sampai ke telinga Usaid. 

Sahabatnya, Sa’ad bin Mu’az menemui Usaid untuk menyatakan kegusarannya mengenai perkembangan agama Islam yang dibawa Mush’ab itu. Lalu dia datang menemui Mush’ab untuk memarahinya. 

Tetapi apabila terpandang wajah Mush’ab dan mendengar apa yang diperkatakan, beliau bertanya bagaimana hendak memeluk Islam lalu Mush’ab menjawab, “Mandilah dan bersihkan pakaianmu, kemudian ucapkan dua kalimah syahdah, bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad ialah Rasulullah, sesudah itu solat dua rakaat.” 

Usaid sangat mencintai al-Quran. Dia bagaikan orang kehausan di padang yang panas, kemudian mendapatkan jalan menuju mata air yang sejuk. Satu malam, Usaid tergerak untuk membaca al-Quran dan mendengar bacaan beliau, tiba-tiba kuda yang ditambat berlari berpusing. 

Keesokan harinya beliau berjumpa Rasulullah menceritakan perkara itu dan baginda bersabda, “Itu ialah malaikat yang ingin mendengarkan engkau membaca al-Quran.” 

Usaid bin Hudhair hidup sebagai seorang ahli ibadah. Harta benda dan jiwa raga dimilikinya diserahkan sepenuhnya untuk perjuangan Islam. Baginya, puncak keindahan hidupnya apabila cahaya Islam terus bersinar.


BH2013/03/25 - 08:18:06 AM

Saturday, March 23, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Kebenaran janji Allah



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKARI

Telah dibincangkan pada siri yang lalu berkenaan dengan Ashab al-Kahfi yang tidur begitu lama dan tidak menyangka dalam tempoh yang panjang. Maka Allah SWT langsungkan lagi kisah mereka dengan persoalan sesama sendiri perihal jangka masa mereka tidur. Seterusnya, saranan supaya mencari rezeki dengan membeli makanan di pekan.

Ayat ke-19: 

18:19
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.


Ibnu Kathir berkata: Sebagaimana Kami telah menidurkan mereka dan Kami bangkitkan mereka daripada tidur dalam keadaan badan, rambut dan kulit mereka tetap segar. Tiada kehilangan sedikit pun fizikal setelah tidur selama 309 tahun. Atas asas itulah mereka saling bertanya jangka masa sama ada sehari atau setengah hari. Hakikatnya Allah SWT mengetahui tempoh tersebut.

Al-Maraghi berkata: Kami menjadikan pemuda-pemuda itu tidur di dalam gua dengan memelihara jasad mereka daripada kerosakan. Pakaian mereka juga dipelihara daripada kehancuran meskipun bertahun-tahun lamanya dengan kekuasaan Kami. Lalu mereka dibangkitkan daripada tidur, supaya Kami memperkenalkan keagungan kekuasaan Kami dan keajaiban terhadap makhluk Kami supaya mereka semakin mengerti setiap urusan yang mereka alami. Iaitu berlepas dirinya mereka daripada menyembah berhala dan keikhlasan mereka beribadat kepada Allah Yang Maha Esa dan Berkuasa kerana mereka mengetahui secara nyata sekian lama apa yang mereka alami, namun mereka masih tetap dalam keadaan seperti awal mereka tidur.

Akhirnya sebahagian daripada mereka bertanya kepada sebahagian yang lain. Ini disebabkan mereka tertanya-tanya kepada diri sendiri, sudah berapa lama mereka tidur.

Menurut Fakharudin al-Razi: Salah seorang daripada mereka menyuruh salah seorang antara mereka membawa wang dirham pergi ke kota Tursus.

Mereka berpendapat: Hadhihi, merupakan isyarat yang menunjukkan bahawa orang yang berkata tadi benar-benar membawa wang dirham supaya diterima oleh sebahagian sahabatnya, untuk menyempurnakan kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, orang yang keluar dari rumahnya dengan membawa dirham, bukan bererti dia tidak bertawakal kepada Allah SWT.

Hamka berkata: Perasaan mereka juga seperti baru tersedar daripada tidur, iaitu bahawa mereka dalam bahaya, sedang dikejar-kejar oleh kaki tangan raja. Oleh kerana mereka sudah terlalu lapar dan perlu mencari makanan, namun pada masa sama harus berwaspada kerana jika mereka diketahui, mungkin sesuatu buruk yang akan berlaku.

Ayat ke-20: 

18:20

"Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya".

Ibnu Kathir berkata: Yang mereka maksudkan ialah para pengikut Daqyanus. Mereka bimbang para pengikut Daqyanus menemui tempat persembunyian mereka. Kerana mereka akan terus diseksa dengan pelbagai seksaan sampai mereka kembali kepada agama asal ataupun mati. Dan jika mereka setuju untuk kembali kepada agama mereka semula, maka tidak ada keuntungan bagi mereka di dunia dan di akhirat.

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya orang kafir itu apabila mengetahui tempat kamu, sudah pasti mereka akan membunuh kamu dengan melempar batu-batu lantaran kamu tidak berganjak daripada keimanan kepada-Nya. Hukuman seperti itu merupakan hukuman yang dilakukan pada zaman dahulu terhadap orang yang menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan anutan kebanyakan orang sama ada dalam masalah agama mahupun politik yang mempengaruhi keadaan negara.

Mungkin juga mereka akan memaksa kamu untuk kembali kepada agama bapa-bapa mereka. Apabila kamu menganut agama kerana paksaan atau dipaksa sudah pasti kamu tidak akan memperoleh kebaikan di dunia dan di akhirat.

Ayat ke-21: 

18:21
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka".©
Ibnu Kathir berkata: Kami perlihatkan mereka yakni Ashab al-Kahfi kepada umat manusia.
Sayid Qutub berkata: Titik pengajaran daripada penghabisan kisah anak-anak muda itu ialah ia mengemukakan dalil bagi kebangkitan selepas mati dengan satu contoh yang berlaku di alam nyata yang dapat dilihat dan difaham secara dekat.

Kisah ini dapat memudahkan manusia memahami persoalan kebangkitan selepas mati dan meyakinkan mereka bahawa janji Allah SWT itu benar dan hari kiamat itu tidak diselubungi sebarang keraguan.
Beginilah Allah SWT membangkitkan pemuda-pemuda itu daripada tidur mereka dan mendedahkan hakikat mereka kepada kaum mereka.

Manakala maksud masjid di sini ialah tempat ibadat mengikut adat orang Yahudi dan orang Kristian yang mendirikan rumah-rumah ibadat di atas kubur para nabi dan wali.

Ibnu Jarir menukilkan dua pendapat berkenaan orang yang mengungkapkan hal tersebut:
  • Mereka adalah orang Islam di kalangan mereka.
  • Mereka adalah orang musyrik di antara mereka.

Ayat ke-22: 

18:22
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT merakamkan berkenaan dengan pendapat yang pelbagai isu bilangan Ashab al-Kahfi. Dinyatakan tiga pendapat kemudian Dia melemahkan dua pendapat pertama dengan firman-Nya: Mereka secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui.

Mengikut pendapat yang paling kuat jumlah mereka seramai tujuh orang. Inilah riwayat Ibnu Jarir daripada Ata' al-Khurasani dan Ikrimah daripada Ibnu Abbas RA.

Penulis terpanggil dengan ulasan yang menarik yang dikemukakan oleh Sayid Qutub antara lain berkata: Titik pengajaran daripada kisah mereka adalah tercapai sama ada dengan bilangan yang sedikit atau dengan bilangan yang banyak.

Oleh sebab itulah al-Quran al-Karim mengarahkan Rasulullah SAW supaya meninggalkan perdebatan mengenai perkara ini dan supaya jangan bertanya kepada sesiapapun daripada para pendebat itu mengenai kedudukan penghuni-penghuni gua itu.

Arahan ini sesuai dengan metodologi Islam yang mahu memelihara daya tenaga akal daripada dibuang percuma di dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah. Ia juga supaya seseorang itu tidak mengikuti sesuatu yang tidak diketahuinya dengan penuh keyakinan.

Peristiwa Ashab al-Kahfi yang telah digolongkan di zaman itu adalah daripada perkara-perkara ghaib yang terserah kepada ilmu Allah SWT. Oleh itu hendaklah beliau tinggalkan sahaja perkara ini kepada ilmu Allah SWT.

Friday, March 22, 2013

Tujuh cara cuci hati



Bismillahirrahmanirrahim

SUATU ketika seorang sufi (ahli ibadah) bernama Hatim al-Asham diminta penjelasan oleh Ashim bin Yusuf selepas tamat pengajian majlis ilmu yang diikutinya. Ashim ialah seorang ahli fiqih yang melihat segalanya daripada kaca mata syariah.

Ashim bertanya kepada Hatim: "Ya Syaikh, bagaimanakah cara kamu melaksanakan solat?"

Hatim sebagai ahli tarekat dan syariat menjawab: "Ketika masuk waktu solat aku berwuduk dengan dua wuduk iaitu wuduk lahir dan wuduk batin. Wuduk lahir itu syariat dan wuduk batin pula adalah hakikat."

Ashim sebagai orang yang banyak memberi tumpuan pada fiqih agak terkejut. Melihat keadaan itu, lantas Hatim segera menerangkan bahawa: "Wuduk lahir dilakukan dengan membersihkan anggota badan menggunakan air. Manakala wuduk batin pula, kita haruslah mencuci hati dengan tujuh hal iaitu:

PERTAMA:

Hati dicuci dengan rasa penyesalan (an-nadamah) - menyesal daripada pelbagai kesalahan dan kerana meninggalkan kebaikan. Sayyidina Umar bin Khattab r.a memiliki kebun kurma di Madinah. Pohon-pohon kurmanya berbuah dengan kualiti yang baik sekali. Alangkah bahagiannya hati Umar memiliki kebun tersebut. Beliau seringkali berjalan mengelilingi dan memeriksa hasil perkebunannya. Di dalam kebun itu juga terdapat satu sumber air.

Suatu hari, ketika Umar pulang dari kebunnya, beliau berjumpa dengan para sahabat lalu berjalan bersamanya. Umar bertanya: "Dari manakah kalian?" Jawab para sahabat: "Kami baru pulang daripada berjemaah Asar."

Dengan segera Umar berucap "Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi kalian tadi habis jemaah Asar? Masya-Allah, saksikanlah para sahabat. Aku ketinggalan berjemaah kerana kebun kurma ini. Maka kebun ini aku wakafkan kepada fakir miskin."

Inilah contoh yang harus kita teladani dalam hal penyesalan meninggalkan satu ibadah kebaikan. Bacaan taroji': Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun merupakan ungkapan ketika seseorang yang berhadapan dengan cubaan dan musibah. Jadi suburnya kebun dan sumber air bagi Umar tidak lain hanyalah cubaan yang menimpa dirinya. Dan kalimat ini juga menunjukkan betapa penyesalan luar biasa daripada beliau akibat ketinggalan solat Asar berjemaah.

KEDUA:

Hati harus dicuci dengan taubat (taubat nasuha) - iaitu dengan bersungguh-sungguh dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jika perlu taubat itu disertai dengan puasa tiga hari sebagai bukti kesungguhan, selain membiasakan solat malam.

KETIGA:

Hati harus dicuci dengan meninggalkan cinta dunia - Cinta dunia mengakibatkan perbuatan yang salah seperti menipu, curang, rasuah dan sebagainya.

KEEMPAT:

Hati dicuci dengan menjauhkan diri daripada sukakan kekuasaan (hubbur riyasah). Sesungguhnya kekuasaan sering menyibukkan manusia dan memalingkannya daripada Allah Yang Maha Kuasa.

KELIMA:

Hati harus dicuci dengan meninggalkan perasaan suka dipuji (hubbul mahmadah). Pujian seringkali menenggelamkan manusia dalam sifat keAkuan yang mengakibatkan kesombongan yang luar biasa.

KEENAM:

Baiknya hati dicuci daripada dendam. Meninggalkan dan melupakan dendam kesumat secara automatik akan memberikan kepada seseorang itu ketabahan dan kesabaran menghadapi cubaan dan rasa sakit daripada orang lain.

KETUJUH:

Baiknya hati dicuci dengan meninggalkan hasad dengki yang sudah pastinya sangat berbahaya. Bahaya hasad adalah seperti bahayanya api yang dengan cepat membakar kayu.

Kemudian Hatim menceritakan pula bagaimana cara beliau melaksanakan solat dengan kata-katanya: "Ketika memulakan solat, aku merasa Kaabah di depanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, siratal mustaqim di telapak kakiku, dan Izrail telah menunggu di belakangku yang siap sedia mencabut nyawa."

Inilah yang dikatakan Qashrul amal (pendek angan-angan) iaitu semangat yang mampu mendorong untuk meningkatkan kualiti beribadat.

Oleh HASHIM AHMAD - Pesara guru Yayasan Islam Kelantan.

utusanARKIB : 21/03/2013

Wednesday, March 20, 2013

Doa harapkan bantuan Ilahi




Nasib boleh berubah jika ada usaha perbaiki diri

Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku terhadap insan sama ada kecil atau besar, mudah atau susah, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Jika takdir ini telah ditetapkan maka timbul persoalan adakah ketetapan itu boleh berubah menerusi doa. 



Hendaklah ditegaskan bahawa perintah untuk berdoa bersumberkan daripada Allah SWT seperti mana firman-Nya: 
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghaafir, ayat 60) 


“Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan." Surah al-Nahl, (ayat 61)

Jika amalan berdoa ini tidak mampu mengubah nasib seseorang insan, mana mungkin Allah SWT menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu perbuatan sia-sia. Firman yang lain, Allah SWT turut memerintahkan hamba-Nya berusaha memperbaiki diri dan tidak hanya menyerah urusan hidup kepada takdir-Nya. 

Firman-Nya: 
“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11) 

Takdir boleh berubah ikut usaha

Oleh itu dapat kita fahami takdir dapat berubah mengikut usaha yang dilakukan insan jika diizinkan Allah SWT bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi) 

Abu Hurairah juga menerangkan: “Bahawasanya Nabi SAW pernah berdoa untuk berlindung daripada takdir buruk, kesialan, cacian musuh dan ujian yang menyusahkan.” (Riwayat Imam Muslim) 

Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dalam Majmu’ Fatawa Arkanil Islam: “Tidak diragukan lagi bahawa doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis (takdir). Akan tetapi perubahan menerusi doa ini juga telah ditulis (ditakdirkan). Janganlah anda beranggapan apabila anda berdoa bermakna anda meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa anda telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga tertulis (termasuk dalam takdir).” 

Ini bermakna segala perbuatan manusia itu telah sedia diketahui Allah SWT. Dia tahu pada sekian masa individu itu akan berdoa dan sama ada doanya dimakbulkan serta bila dimakbulkan, tidaklah terlindung daripada ilmu pengetahuan Allah SWT.

Dalam erti kata lain, sebab yang kita usahakan, semua itu termasuk dalam takdir Allah SWT. Dia telah sedia mengetahui sejak azali lagi bahawa seseorang itu akan melakukan usaha berkenaan termasuklah amalan seperti berdoa yang dibincangkan ini. 

Kematian tidak akan tertunda

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu mengenai jampi-jampi yang sering kami gunakan, ubat yang sering kami gunakan untuk berubat serta pelindung yang sering kami pakai untuk berlindung, apakah hal itu dapat menolak takdir Allah? Rasulullah menjawab: Bahkan hal itu termasuk takdir Allah. (Riwayat Imam al-Tirmidzi) 

Menurut Syaikh al-‘Utsaimin: “Segala sesuatu terjadi kerana takdir Allah, begitu juga segala sebab mempunyai pengaruh terhadap musababnya dengan izin Allah. Maka semua sebab telah tertulis dan semua musabab juga telah tertulis.” 

Kematian pasti akan tiba tanpa mengenal bangsa, kedudukan, kekayaan atau kekuatan. Tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat. 

Firman-Nya: 
“Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.” (Surah al-Nahl, ayat 61) 

Timbul pula persoalan kedua, jika waktu ketibaan ajal telah ditetapkan maka adakah perlu untuk berdoa supaya dipanjangkan umur? Takdir boleh berubah dengan doa termasuk doa dipanjangkan umur serta kadar umur seseorang itu walaupun telah termaktub dalam ilmu pengetahuan Allah SWT.

Doa panjang umur

Oleh itu, dibolehkan berdoa untuk dipanjangkan umur bahkan Rasulullah SAW pernah mendoakan supaya Anas bin Malik dipanjangkan umurnya. Doa Baginda: “Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan berilah keampunan kepadanya.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad) 

Ternyata dengan izin Allah SWT Anas bin Malik dipanjangkan umurnya dan diriwayatkan beliau meninggal dunia pada umur 99 tahun. Dalam riwayat lain pula disebut beliau meninggal dunia pada umur 107 tahun.

Bukan berdoa saja dapat memanjangkan umur bahkan amalan seperti membuat amal kebajikan dan menyambungkan silaturahim turut berupaya melanjutkan usia seseorang. Diriwayatkan: “Tidak ada yang dapat merubah takdir melainkan doa dan tidak ada yang menambah umur melainkan amal kebaikan.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi) 

Oleh itu, jangan putus asa berdoa kerana selain satu usaha berkesan untuk mendapat bantuan Allah SWT, doa juga adalah ibadah yang amat mulia di sisi Allah SWT dan akan diberi ganjaran pahala bagi mereka yang melakukannya.



Tuesday, March 19, 2013

Solat sumber kekuatan jiwa




Oleh Asri bin Md Saman @ Osman

Cuai, meremehkan ibadat wajib setaraf orang kafir dalam neraka


Solat adalah tiang agama. Solat juga ibadat pertama yang akan dinilai dan dihitung pada hari kiamat. Malah ia satu-satunya kewajipan ibadat yang disyariatkan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW ketika menghadap Allah SWT dalam perjalanan Mikraj baginda. 


Malangnya dewasa ini, dapat diperhatikan masyarakat Islam terlalu cuai dalam urusan solat dan meremehkannya. Solat sering dilakukan pada akhir waktu dan kadangkala meninggalkannya. Lebih parah apabila sudah ada yang meninggalkan solat sepenuhnya, seolah-olah ia tidak diwajibkan dan masih menggelar diri mereka Muslim. 

Hukum tinggalkan solat 

Dalam ilmu fekah, fuqaha berbeza pendapat menetapkan kedudukan orang yang meninggalkan solat dan hukuman yang layak ke atas mereka. Namun begitu mereka sepakat menyatakan bahawa meninggalkan solat adalah dosa sangat berat. 

Firman Allah SWT: 

74:40
74:41
74:42
74:43
“(Setelah melihat orang yang bersalah itu, mereka berkata); (Mereka ditempatkan) dalam syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya mengenai (tempat tinggal) orang yang bersalah. Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan solat.” (Surah al-Muddaththir [74], ayat 40-43) 

Rasulullah SAW bersabda: “Asas segala amalan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Ibadah tiada erti tanpa kalimah syahadah 

Al-Mubarakfuri dalam bukunya Tuhfah al-Ahwazi menjelaskan, segala amalan yang dilaksanakan hanya dianggap berpahala di sisi Allah selepas seseorang itu memeluk Islam. Ini bererti sebesar mana pun kebaktian dan sumbangan diberikan tidak mendapat faedah tanpa didahului kalimah syahadah. 

Mengenai solat sebagai tiang agama pula, beliau menjelaskan walaupun Islam adalah asal agama tetapi tanpa tiangnya sudah tentu agama ini tidak kuat dan mudah runtuh seperti rumah yang tidak bertiang. 

Oleh itu, melaksanakan kewajipan solat fardhu diibaratkan membina tiang untuk memperkukuhkan agama ini. Orang Islam yang mengabaikan tuntutan solat tidak mungkin dapat meningkatkan keimanannya untuk mematuhi arahan dan larangan Allah SWT. 

Di sisi lain pula, ibadat solat yang telah disyariatkan oleh Allah SWT mengandungi banyak keistimewaan yang terkadang tidak kita ketahui melainkan selepas kita membongkarnya sendiri. Ibadat solat juga memberi banyak pengaruh dalam kehidupan seharian seorang Muslim. 

Berdasarkan Tafsir al-Azhar, Imam Abu al-Aliyah pernah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali.” 

Tiga keistimewaan solat 

Tiga keistimewaan itu adalah ikhlas yang akan membawa seseorang kepada makruf, khusyuk akan mencegahnya daripada perbuatan mungkar dan zikrullah membantunya melakukan makruf serta mencegah daripada yang mungkar. 

Solat yang dilakukan mampu menjadi sumber kekuatan jiwa. Solat dapat menguatkan jiwa seseorang sehingga mampu meninggalkan kekejian dan kemungkaran. 

Firman Allah SWT: 

29:45
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-‘Ankabut [24], ayat 45) 

Ibadat solat yang dilakukan secara sempurna dapat mendisiplinkan individu yang bergelar Muslim. Rukun tertib yang diwajibkan dalam solat adalah latihan sangat berjaya membentuk insan yang patuh dan berdisiplin tinggi. 

Mampu lahir insan berdisiplin 

Latihan dalam solat mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya cekap. Maka, untuk melahirkan pekerja yang produktif, seorang pengurus seharusnya menggalakkan mereka memelihara solat dengan sempurna. 

Malah tidak menjadi kesalahan jika kecenderungan seseorang kepada solat dijadikan faktor penting dalam memilih pekerja, pemimpin mahupun pasangan hidup. Solat mendidik umat Islam menepati masa. 

Firman Allah SWT: 

4:103
“Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang Mukmin.” (Surah an-Nisa’ [4], ayat 103) 

Abdullah bin Amru melaporkan kisah ini daripada Rasulullah yang sabdanya: “Sesiapa yang memeliharanya (solat) dia akan mendapat cahaya dan bukti serta pertolongan pada hari Kiamat. Sesiapa yang tidak memelihara solat, dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk), tiada bukti dan tidak akan mendapat pertolongan. Malah, pada hari kiamat nanti, dia akan ditempatkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad) 

Sesiapa yang memelihara solatnya dengan mengerjakan semua solat fardu pada waktunya dengan tertib dan sempurna, mereka dijamin selamat daripada api neraka. Sebaliknya, bagi mereka yang mengaku Islam, tetapi mengabaikan tuntutan solat ini akan diletakkan setaraf dengan orang kafir di dalam neraka.


Rawat kanser cara Islam



DAN kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (al-Israa: 82)

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail secara berperingkat selama 23 tahun. Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai kebenaran kitab suci tersebut dan beriman segala isi kandungannya.

Tidak dinafikan al-Quran mempunyai pelbagai syariat yang mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi larangan seperti mana difirman oleh Allah dalam panduan utama umat Islam.

Bukan hanya tuntutan syariat, kitab suci al-Quran turut mengandungi mukjizat dan keistimewaan termasuklah daripada segi syifa (perubatan). Cuma kita tidak mengetahui sebab masyarakat kini melihat al-Quran sekadar berfungsi untuk bacaan solat, tadarus bulan Ramadan, majlis khatam al-Quran sedangkan ia mengandungi pelbagai manfaat.

Namun, atas kesedaran orang ramai, masyarakat umat Islam negara ini telah yakin dengan kemampuan ayat-ayat suci al-Quran untuk menjadi penawar termasuk dalaman dan luaran di samping mendapatkan rawatan moden.

Kanser merupakan antara penyakit utama rakyat negara ini. Penyakit itu boleh menyerang sesiapa sahaja dengan pelbagai cara. Bahkan kanser bukan seperti demam yang boleh diubati dalam tempoh singkat tetapi memerlukan penjagaan dan rawatan rapi.

Sehubungan itu, bagi merungkai rahsia al-Quran termasuk penyembuhan pelbagai penyakit, Must Read Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah buku bertajuk Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser yang ditulis oleh tokoh perubatan Islam terkenal, Lokman Abdul Hamid.

Lokman yang berpengalaman 12 tahun merawat pelbagai penyakit termasuk kanser, menggunakan perubatan Islam sebagai penyembuhan penyakit tetapi dengan izin Allah.

Buku setebal 258 muka surat itu mengupas definisi kanser, apakah faktor yang menyebabkan kanser dan rawatan moden yang digunakan untuk merawat kanser. Menariknya dalam buku itu, Lokman menyelitkan ayat-ayat suci al-Quran antaranya seperti surah al-Anbiya, al-Nahl, al-Zumar dan lain-lain lagi.

Selain bacaan ayat-ayat al-Quran, berdoa, tahajud, solat taubat, solat hajat dan zikir merupakan antara penawar yang disentuh oleh Lokman dalam buku tersebut.

Buku ini juga dilihat mengajak penghidap kanser selain mendapatkan perubatan moden, ikhtiar dengan memohon kepada Allah SWT untuk menyembuhkan penyakit berkenaan merupakan usaha paling tepat sekali.

Orang ramai perlu mendapatkan buku ini di pasaran berhampiran apa lagi kaedah penyampaiannya dilakukan melalui ilustrasi gambar.

Monday, March 18, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Bukti kebesaran, kekuasaan Allah

Para mufassir mempunyai banyak pendapat tentang kedudukan gua Ashab al-Kahfi.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYID Qutub berkata, kemudian tirai dilabuhkan menutupi pemandangan ini dan disingkapkan kembali untuk menayangkan satu senario yang lain, di mana anak-anak muda itu telah ditidurkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: 

18:17
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah daripada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka Dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepada-Nya. (al-Kahfi [18] : 17)

Ibnu Kathir berkata, dalam hal ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa pintu gua ini menghadap ke utara, kerana Allah menceritakan bahawa ketika matahari terbit, maka akan condong dari gua tersebut: "Ke sebelah kanan."

Yakni, bayang-bayang daripada sinar matahari itu berada di sebelah kanan. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Sa'id bin Jubair, dan Qatadah: Tazaawaru bererti condong. Yang demikian itu, kerana setiap kali matahari semakin meninggi, maka bayang-bayang itu pun berpindah sehingga tidak ada yang tersisa daripadanya pada saat zawal(tergelincir).

Al-Maraghi berkata: "Wahai orang yang diajak berbicara, jika kamu dapat melihat gua itu, pasti kamu dapat melihat matahari ketika terbit condong di sebelah kanan. Begitu juga apabila kamu melihat matahari terbenam meninggalkan mereka, ia berpaling daripada mereka sebelah kiri. Sedangkan para pemuda itu berada di tengah gua dengan ruangannya yang luas sehingga mereka dapat menikmati udara yang nyaman dan sejuk."

Para mufassir mempunyai banyak pendapat tentang kedudukan gua tersebut. Ada yang mengatakan, terletak dekat Iliya' (Baitu al-Maqdis) di Syam.

Menurut Ibnu Ishaq ia terletak di Ninive iaitu negeri Mawsil dan ada yang mengatakan pula di Romawi. Namun, sampai sekarang belum ada petunjuk yang membuktikan kebenaran pendapat tersebut.

Barang siapa yang mendapat taufik daripada Allah SWT sehingga mengetahui ayat dan hujah yang menunjukkan kepada kebenaran sebagaimana yang dialami oleh penghuni gua tersebut, maka orang seperti itu akan mendapat petunjuk jalan kebenaran sehingga memperoleh rahmat yang besar sama ada dunia dan akhirat.

Ini menunjukkan gambaran bahawa Ashab al-Kahfi telah menempuh jalan kebenaran dan mendapat taufik dan rahmat sehingga mencapai apa yang mereka cita-citakan.

Hamka berkata: "Allah memperingatkan kita agar selalu memerhatikan ayat-ayat Allah di antaranya ialah dengan menambah ilmu pengetahuan, termasuk pengetahuan alam."

Dengan itu akan membawa kita kepada jalan iman, keteguhan kepercayaan kepada Ilahi dan keselamatan.
Lantaran itu, janganlah berani berjalan bersendirian dalam menempuhi kehidupan. Selalu bermohon kepada Allah agar kita selamat ke akhir destinasi.

Kisah Ashab al-Kahfi ini menunjukkan kekuasaan Allah. Kebenaran akan dizahirkan juga sekalipun pada episod awalan menunjukkan seolah-olah kebatilan menguasai medan pertempuran.


ARKIB : 15/03/2013

Persoalan alam ghaib urusan Allah



SETIAP makhluk yang dijadikan Allah tidak sesekali akan terlepas daripada kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau orang mukmin. Setiap daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir seperti mana disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.

3:185
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Kehadiran kematian amat menggerunkan dan menakutkan jika mendapat khabar berita bahawa salah seorang rakan paling hampir dengan kita dipanggil menyahut seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan individu berkenaan.

Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat Izrail.

Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.

Bagaimanapun di sebalik kegerunan tersebut, wujud persoalan dalam kalangan umat Islam berhubung saat menjelangnya kematian. Terdapat kalangan mereka bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum menjelangnya kematian. Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa berpisah dari badan.

Maka wujud pelbagai pandangan, antaranya menyatakan roh berlegar-legar di kediamannya selama 44 hari selepas si mati meninggal dunia.

Malah ada mengatakan roh pulang pada bulan Ramadan. Selain itu, berlakunya amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara tersebut dibimbangi menyebabkan akidah umat Islam terpesong kerana kepercayaan samiyat (alam ghaib) sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran manusia.

Bagaimanapun persoalan roh tidak wajar diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai umat Islam kita perlu menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum menuju alam abadi bahkan perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.

Hujah demikian berpandukan ayat 85 surah al-Isra': 

17:85

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit.(Surah al-Isra' [17] : 85)

Pun begitu, bagi menjernihkan persoalan alam kematian agar umat Islam tidak terkeliru, para ulama telah mengarang tulisan berdasarkan nas sahih agar ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi berlandaskan akidah Islam.

Saat nazak

Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.

Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia sendiri.

Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya kematian atau juga dikenali sebagai nazak.

Menurut Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademi, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya.

Jelas Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut berdasarkan ayat 83 sehingga 85 surah al-Waqi'ah:

56:83
56:84
56:85

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.(Surah al-Waqi'ah [56] : 83 - 85)
Mohammad Nidzam berkata, menerusi ayat tersebut, selain para ulama menafsirkan taubat manusia diterima selagi mana roh tidak sampai di bahagian halkum dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya dapat menyaksikan kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai kesakitan berkenaan.

Ketika menjelaskan dakwaan berlaku tanda-tanda menjelangnya kematian seperti dahi berdenyut, mata berkelip-kelip atau keluar peluh berwarna emas hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat seseorang sedang nazak, beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak diketahui hakikatnya). Lihat ayat di bawah:

31:34
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.(Surah Luqman [31] : 34)
"Berdasarkan ayat berkenaan, jelas menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh kematian. Kita tidak boleh meneka waktu kematian akan kunjung tiba kerana perkara berkenaan adalah urusan Allah, hatta Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila baginda akan wafat.

"Jangan cuba berteka-teki alamat kematian. Paling utama kita mesti melakukan persiapan daripada segi bekalan pahala pada bila-bila sahaja," kata Mohammad Nidzam.

Mengenai dakwaan bahawa orang sedang nazak mengetahui destinasi seterusnya sama ada diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke neraka, Mohammad Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: "Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum akhir hayat akan masuk syurga."

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.

Ujar Mohammad Nidzam, seseorang sedang nazak menyedari dan yakin ganjaran seperti mana dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah kepada orang beriman. (rujuk An-Naĥl [16] : 31-32)

16:31
16:32
(Untuk mereka) Syurga-syurga " Adn ", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa, (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan".(Surat An-Naĥl [16] : 31-32)
Lain pula nasib menimpa orang yang ingkar, nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah dalam ayat 28 surah al-Nahlu 

16:28

Iaitu mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya). Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.(Surat An-Naĥl [16] : 28)

"Terdapat pula dakwaan yang mengatakan ibu bapa datang menjemput orang sedang nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang datang itu bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan datang untuk menggoda keimanan manusia.

"Bagi menggelakkan perkara itu terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang nazak dengan kalimah Lailallahillah agar ditetapkan keimanan dengan Allah," jelas beliau.

Mohammad Nidzam antara lain turut menyarankan adalah lebih baik mengajarkan kalimah di atas kepada mereka yang sedang nazak itu daripada sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri meraung kerana tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.


Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
utusanARKIB : 15/03/2013

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...