بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, February 25, 2013

Dua jenis orang miskin



SOALAN:

SAYA merasa pelik, ada orang miskin yang begitu mudah meminta-minta. Mereka merasa gembira menjadi penerima, malah seolah-olah bersyukur pula dengan kemiskinan yang menimpa. Namun, saya juga melihat ada kelompok fakir dan miskin yang cuba menyembunyikan kemiskinan dan mereka malu menerima bantuan. Apakah penjelasan ustaz terhadap kewujudan dua fenomena ini?

JAWAPAN:

Memang benar kenyataan saudara, bahawa wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta. Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Ma'arij, ayat 24 dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang. Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin. Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah SWT menukilkan di dalam al-Quran dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah RA: Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini. (Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar. Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mi'raj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita. (Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.


ARKIB : 22/02/2013

Jaminan keberkatan hidup

Rezeki yang halal juga akan menjana keluarga bahagia. - Gambar hiasan


Oleh HASHIM AHMAD

SETIAP manusia berkewajipan mencari rezeki bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian. Keperluan hidup yang paling utama adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal, sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang yang berada di bawah tanggungannya.

Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal merupakan satu tuntutan agama. Dan rezeki yang diperoleh daripada sumber yang halal mampu menjana kehidupan manusia yang berkat di dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW pernah berkongsi perniagaan bersama seorang pemuda Quraisy bernama As Saib Abi As Saib. Ketika berusia 25 tahun, baginda Rasulullah telah berniaga barangan dagangan kepunyaan Siti Khadijah binti Khuwailid ke Syam.

Dari situ, jelas kepada kita bahawa mencari rezeki yang halal merupakan tuntutan agama dan sunnah Rasulullah SAW. Malah mencari rezeki yang halal adalah satu ibadah sekiranya pencarian tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. 

Firman Allah SWT bermaksud: 
Makanlah rezeki yang halal dan lakukanlah amalan soleh. (al-Mukminun: 51)
Setiap amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba banyak bergantung kepada makanan yang halal. Makanan, minuman dan pakaian yang haram menjadi asbab kepada doa seseorang tidak dimakbulkan dan diri mudah terjerumus ke lembah maksiat.

Selain itu, mencari rezeki yang halal pula dapat menjaga maruah agama. Firman Allah SWT bermaksud: Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi k bukit untuk mencari kayu api, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain.

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang semestinya dipertahankan.

Jelas di sini bahawa bekerja mencari rezeki yang halal akan menyebabkan bertambah martabat serta kemuliaan seseorang. Sebaliknya, mereka yang berat tulang akan memberi imej buruk dan negatif pada pandangan masyarakat dan keji pada kacamata Islam itu sendiri.

Rezeki yang halal juga dapat menjamin keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada rezeki yang haram, neraka adalah paling utama baginya." (riwayat at-Thabarani)

Kehidupan bagi umat Islam bukan setakat di dunia, malah ia akan berterusan ke kehidupan yang hakiki di akhirat kelak. Sebab itu, rezeki yang haram akan menjerumuskan seseorang ke neraka di akhirat kelak.

Oleh itu, sama-samalah kita mengambil berat dan prihatin dengan sumber pendapatan yang diperoleh agar ia dapat menjamin kebahagiaan yang hakiki di akhirat nanti.

Rezeki yang halal juga akan menjana keluarga bahagia. Apa yang kita makan akan menentukan segala tindakan dan amalan seharian. Rezeki yang halal melorong seseorang individu ke arah ketaatan kepada Allah, amal soleh dan akhlak mahmudah.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (ber-tauhid), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sejarah telah membuktikan, generasi di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat beramal soleh, berakhlak mulia dan tidak terlibat dengan kemungkaran kerana ibu bapa masing-masing mementingkan sumber rezeki yang halal.

Perlu diingat juga bahawa rezeki yang halal dapat menjana ekonomi umat Islam. Islam telah menggariskan pelbagai cara untuk mendapatkan rezeki. Perniagaan adalah satu cara untuk meningkatkan ekonomi.

Malaysia yang terkenal dengan produk hub halal telah berjaya menjana ekonomi umat Islam dengan menembusi pasaran dunia. Jelas di sini bahawa ekonomi umat Islam menjadi lebih kukuh kerana perolehan keberkatan daripada Allah SWT

Menyedari hakikat ini, sama-samalah kita mengamalkan cara hidup Islam dalam mencari rezeki yang halal kerana rezeki yang halal itu satu tuntutan agama yang mulia. Sesungguhnya rezeki yang halal menjamin keberkatan hidup.


Saturday, February 23, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Kisah Penghuni Gua


pintu masuk ke gua Ashabul Kahfi

Oleh DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 


SEGALA puji bagi Allah SWT, atas segala kurniaan dan nikmatnya yang tidak terhingga. Dalam surah al-Kahfi ini penulis hanya membincangkan ayat-ayat yang berkaitan dengan kisah yang dipaparkan dalam surah tersebut. Antara kisah tersebut ialah Ashab al-Kahfi atau Penduduk Gua. Selepas tamat kisah tersebut akan berpindah pula pada kisah yang lain dan begitulah seterusnya.

Firman Allah SWT: 

18:9
Adakah engkau menyangka (hai Muhammad), bahawa kisah 'Ashabul Kahfi' dan 'Al-Raqim' itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (al-Kahfi [18] : 9)

Ibnu Kathir berkata: Yang demikian itu merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT mengenai kisah Ashab al-Kahfi secara global dan ringkas.

Ibnu Juraij menceritakan daripada Mujahid mengatakan: "Di antara tanda-tanda Kami (Allah SWT) terdapat apa yang lebih aneh daripada hal tersebut."

Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam berpendapat: "Al-Raqim bererti Kitab."

Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu menyangka kisah penghuni gua dan pemilik batu bertulis seperti yang disebut dalam kitab lama, ketika mereka hidup dalam waktu yang lama, adalah suatu keajaiban jika hendak dibandingkan dengan perhiasan yang Kami jadikan di muka bumi.

Ini disebabkan kisah tersebut bukan sahaja mengagumkan antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang lain, malah kejadian perhiasan bumi dengan segala keajaibannya adalah indah daripada kisah penghuni gua itu.

Oleh itu, para ketua agama lain pun termangu-mangu kehairanan melihat kisah serupa itu, justeru Aku mengajakmu dan umatmu untuk memandang yang lebih besar lagi daripada peristiwa itu iaitu memandang alam semesta dan segala keajaiban yang berupa penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, peredaran matahari, bulan dan bintang.

Begitu juga dengan ayat-ayat lain seumpamanya yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT menurut kehendak-Nya tanpa ada yang menghalangnya.

Namun, kisah yang berisi keanehan itu tidak cukup untuk menarik perhatian mereka melakukan kebaikan dan kebahagiaan seperti yang diingini oleh manusia untuk dijadikan sebagai cita-citanya yang luhur supaya memperoleh kebaikan dunia atau akhirat.

Oleh yang demikian, selidikilah apa yang ditulis dalam lembaran alam semesta ini, tetapi bukan hanya menyelidik apa yang tertulis di lembaran gua tersebut.

Menurut pendapat al-Zujaj, Allah SWT menerangkan kisah Ashab al-Kahfi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Ini disebabkan penciptaan langit dan bumi serta segala yang ada lebih mengagumkan lagi daripada kisah mereka.

Hamka berkata: Maksud ayat ini adalah apakah engkau menyangka atau manusia menyangka bahawa manusia yang dicipta Allah tertidur beratus tahun di dalam gua yang sunyi terpencil itu sudah sebahagian daripada kuasa Allah SWT? Padahal banyak lagi takdir Allah SWT di dalam alam ini yang lebih menakjubkan dan lebih ganjil.

Sungguhpun kisah penghuni gua ini belumlah suatu yang ganjil di sisi Allah SWT, Yang Maha Kuasa mengatur alam menurut kehendak-Nya, demi untuk memuaskan kehendak orang yang bertanya, pertanyaan tentang penghuni gua yang diterangkan Allah SWT sebagai wahyu.

Firman Allah SWT: 

18:10

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (al-Kahfi: 10)

Al-Maraghi berkata: Para pemuda itu berlindung di dalam gua untuk melindungi agama mereka supaya tidak mendapat bencana daripada penyembah patung dan berhala dengan berdoa: Tuhan kami, dengan keredaan-Mu yang kami harapkan dan ketaatan kepada-Mu, berikanlah kepada kami petunjuk dalam setiap urusan untuk menuju ke jalan kebenaran bagi melakukan apa yang kami sukai kemudian anugerahkan kepada kami keampunan dan keamanan daripada musuh.

Hamka berkata: Allah SWT mewahyukan bahawa ada beberapa pemuda yang sedang ditimpa kesusahan, lalu meninggalkan kampung halaman mereka dan bersembunyi ke dalam sebuah gua. Dan ketika dalam perjalanan itu, mereka tidak pernah lupa memohon rahmat perlindungan daripada Allah SWT, disertai pula dengan tuntutan dan pimpinan agar mereka tidak tersesat dari jalan yang benar.

Firman Allah SWT: 

18:11

Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (al-Kahfi: 11)

Al-Maraghi berkata: Kami tutup telinga mereka dengan penghalang yang mereka tidak mendengar dan Kami juga menjadikan mereka tidur lelap tidak bangun-bangun lagi walaupun di dalam gua itu bising dengan pelbagai suara sehingga bertahun-tahun lamanya yang tidak dapat dihitung.

Hamka berkata: Ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa mereka tertidur, sehingga tidak suatu pun yang didengar mereka dalam tempoh bertahun-tahun. Dan tiada pula orang lain yang tahu kerana gua tersebut terletak jauh dari tempat kediaman manusia.


Friday, February 22, 2013

Beratnya sekeping roti

Amalan bersedekah amat dituntut kerana umat Islam umpama satu tubuh. - Gambar hiasan


Olahan kisah daripada buku Bertanya TentangTuhan terbitan Mustread Sdn. Bhd.

PADA suatu masa dahulu ada seorang ahli ibadah yang tekun mengerjakan ibadatnya selama 70 tahun. Namun, pada suatu hari, dia didatangi seorang wanita yang cuba menggoda si lelaki itu. Akhirnya, lelaki itu tewas dan telah melakukan maksiat bersama wanita tersebut selama tujuh hari.

Namun, lelaki itu sedar akan kesilapan diri dan kemudiannya bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Malah si lelaki itu telah sanggup keluar mengembara dengan harapan untuk melupakan kenangan dosa-dosa maksiat yang lalu itu.

Akhirnya, beliau tiba di sebuah rumah tumpangan yang dihuni oleh 12 orang miskin. Dia ingin tumpang bermalam dan kebetulan, ada seorang kaya yang selalu menderma 12 keping roti ke rumah itu setiap hari.

Pemberian orang kaya itu sebenarnya tidak dikhaskan kepada 12 penghuni tetap di situ tetapi diberikan kepada mana-mana insan yang berjaya mendapatkannya terlebih dahulu.

Kedatangan lelaki itu tadi telah menyebabkan salah seorang daripada 12 orang miskin itu tadi tidak mendapat roti seperti hari-hari lain.

Lantas, si lelaki tadi terdengar salah seorang daripada orang miskin itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana tidak mendapat bahagian daripada pemberian orang kaya itu.

Oleh kerana terasa dirinya bersalah kerana telah mengambil hak orang lain, maka lelaki itu telah memberi roti yang di tangannya kepada si miskin tadi. Dek kerana terlalu lapar, tidak lama selepas itu lelaki pengembara tadi meninggal dunia.

Lalu turunlah malaikat untuk menimbang amalannya bagi menentukan nasibnya di alam yang kekal kelak. Allah SWT menyuruh malaikat menimbang antara amalan soleh lelaki itu tadi selama 70 tahun dan maksiat yang dilakukannya selama tujuh hari.

Malangnya, amalan soleh 70 tahun lelaki itu lebih ringan berbanding dosa maksiat yang dilakukan sesingkat tujuh hari.

Ini menandakan lelaki itu bakal diazab, maka malaikat mencari-cari mana-mana amalan lain yang dapat menyelamatkan lelaki tadi daripada diazab Allah SWT.

Lalu tertulis di dalam kitab amalannya bahawa dia pernah bersedekah sekeping roti kepada seorang miskin di saat dia juga di dalam kelaparan. Maka Allah menyuruh malaikat menimbang ganjaran memberi roti kecil itu dengan dosa berbuat maksiat selama tujuh hari oleh lelaki tersebut.

Subhanallah, rupa-rupanya perbuatan yang dikira kecil iaitu memberi sekeping roti, sebenarnya lebih besar ganjarannya hingga mampu menewaskan dosa maksiat selama seminggu! Lalu lelaki itu tadi mendapat pengampunan daripada Allah SWT dan beroleh syurga-Nya.

Jelaslah di sini bukti kasih sayang Allah tanpa batasan kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kalau direnung semula kisah ini, pengajarannya bahawa amalan yang dilakukan demi kesenangan orang lain lebih besar ganjarannya berbanding amalan yang tekun didirikan hanya untuk kesenangan diri sendiri.

Hakikatnya, kasih sayang Allah cukup tinggi kepada kita, walaupun seorang hamba itu kembali kepada-Nya dengan membawa dosa sebesar gunung sekalipun, selagi kita tidak menyekutukan Allah SWT, ada ruangan pengampunan.

Ayuh! berdoalah kepada-Nya dan luahkan kecintaan kepada-Nya kerana Dia iaitu Allah SWT sentiasa menanti dan mendengar doa hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku... (al-Baqarah: 186)


utusan

Ikhtiar melalui ibadah Umrah - Pusat Rawatan Islam Al Hidayah



IBADAH umrah khusus dilakukan di Mekah dan boleh dilakukan bila-bila masa. Antara rukun yang terkandung dalam ibadah umrah adalah niat, tawaf, saie dan bertahallul.

Alhamdulillah, hari ini ramai mampu menjalani ibadah umrah di Mekah. Saban tahun, Kota Mekah dibanjiri jutaan manusia dari seluruh dunia untuk mengerjakan umrah.

Saya baru pulang dari membawa jemaah termasuk pesakit mengerjakan umrah dan menjalani rawatan. Insya-Allah, kita berikhtiar, Allah memberi kesembuhan.

Rawatan pesakit di tanah suci dimulakan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah beberapa tahun lalu. Alhamdulillah, ramai pesakit puas hati dan sembuh dengan izin Allah.

Mengapa perlu berubat hingga ke tanah suci? Apa rasionalnya? Persoalan ini sering diajukan kepada saya. Ingin saya nyatakan, tanah suci adalah tempat istimewa kerana di sana terletaknya Kaabah kiblat seluruh dunia.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Demi Allah! Sesungguhnya Mekah ialah sebaik-baik negeri dan tempat paling disayangi Allah." (Hadith dari Abdullah bin Adi bin Hamra).

Malah, tanah suci adalah tempat dijamin Allah sebagai tempat mustajab berdoa. Sememangnya dalam hidup setiap pesakit, doa merupakan 'penawar' terpenting dalam berjuang untuk sembuh.

Rasulullah saw bersabda. "Al-Multazam itu tempat dikabulkan doa. Apa saja doa dan permohonan hamba di tempat ini InsyaAllah dikabulkan". (Hadith daripada Ibnu Abbas).

Tanah suci telah dibuka oleh Nabi Ibrahim a.s., merupakan tempat para rasul serta tempat lahir Rasulullah s.a.w, justeru ia mempunyai barakah tersendiri melebihi tempat lain di dunia.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 125, "Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah (Kaabah) tempat berkumpul dan tempat yang aman bagi manusia. Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail, "Bersihkan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, orang yang iktikaf, orang yang rukuk dan orang yang sujud!".

Pengalaman merawat dan dirawat di Mekah berbeza berbanding di klinik Setiawangsa atau seluruh tanah air. Sepanjang 12 hari, pesakit dapat menunaikan umrah dan saya merawat serta memantau perkembangan mereka.

Di tanah suci, rawatan melibatkan elemen tawaf, berdoa di hadapan Multazam, solat dan berdoa di dalam Hijr Ismail dan solat sunat di belakang Makam Ibrahim, di mana ibadah tersebut tidak dapat dilakukan di tempat lain selain di Masjidil Haram.

Proses rawatan di Mekah termasuk ;

Rawatan pertama di tempat penginapan

Dalam rawatan pertama, saya cuba mengenali latar belakang pesakit. Saya ingin memahami tujuan dan matlamat pesakit mengerjakan umrah. Selepas mengenalpasti penyakit dialami, saya beri setiap pesakit dua ayat Al Quran untuk diamalkan, khusus mengikut kesesuaian penyakit. Ayat ini hendaklah dibaca dan diamalkan pada siang dan malam selama berada di tanah suci. Selepas membacanya, pesakit dikehendaki berdoa kepada Allah apa yang dihajati.

Rawatan Kedua di Dataran Kaabah

Pesakit dirawat secara individu, seorang demi seorang di Dataran Kaabah oleh saya dan menantu saya, Ashraf Muslim. Dalam sesi ini, kami merawat pesakit dan fokus kepada anggota yang sakit, disertai doa kepada Allah mohon penyembuhan.

Tawaf Sunat

Selesai rawatan, pesakit dibawa untuk tawaf sunat yang diketuai oleh saya dan Ashraf Muslim dibantu petugas Al Hidayah bagi memastikan pesakit tidak berpecah. Ibadah tawaf sangat penting dalam sesi penyembuhan. Semasa tawaf, pesakit diminta fokus dan berdoa seikhlasnya kepada Allah apa yang dihajati.

Doa di Multazam

Selesai Tawaf Sunat, saya serta petugas memastikan pesakit masuk ke ruangan betul-betul di depan Multazam untuk berdoa kepada Allah apa yang dihajati. Sukar untuk jemaah berhimpun di depan Multazam memandangkan keadaan penuh sesak dengan jemaah bertawaf dan hendak mencium Hajaratul Aswad tetapi perkara ini dipermudahkan dengan izin Allah.

Solat Sunat dan Doa dalam Hijr Ismail

Selesai berdoa di Multazam, saya dan petugas mengiringi pesakit masuk ke Hijr Ismail untuk solat dan berdoa sekali lagi. Keadaan amat sukar untuk jemaah masuk kerana sesak dan keluasan Hijr Ismail yang terhad. Alhamdulillah, dengan izin Allah kami berjaya menolong semua pesakit termasuk yang berkerusi roda untuk solat dan berdoa di dalamnya.

Solat Sunat Tawaf, Sunat Taubat, Sunat Hajat belakang Makam Ibrahim

Seterusnya, pesakit diiringi untuk solat sunat tawaf, sunat taubat dan sunat hajat di belakang Makam Ibrahim. Di sini pesakit solat hajat memohon Allah menyembuhkan penyakit. Sebagai pesakit, kebergantungan kepada Allah sangat penting.

Semua ini dilakukan dalam kumpulan 10 hingga 15 orang dengan empat petugas. Biasanya terapi tawaf dilakukan pada tengah malam dan mengambil masa dua hingga tiga jam. Rata-rata pesakit yang pernah menerima rawatan sangat puas hati kerana dapat menyempurnakan ibadah tawaf dengan fokus, malah dapat memasuki tempat mustajab berdoa, yang mana bukan semua orang berpeluang terutama golongan berumur dan wanita.

Selain menunaikan ibadah umrah, pesakit berkesempatan berubat di tempat paling barakah, itu yang sangat membuatkan para pesakit berpuas hati. Saya sempat berbual dengan pesakit mengenai pengalaman mereka berubat dengan saya, Alhamdulillah jawapan mereka positif.

Testimoni pesakit

Satu pengalaman luar biasa, saya rasa sangat dekat dengan Allah dan objektif berubat tercapai kini sakit saya makin ringan.."

- Puan Asiah

Saya mengidap kronik ekzema sejak 2005, terasa sangat pedih di seluruh belakang tubuh. Alhamdulillah rawatan kali ini, sakit saya berkurang dan paling bermakna, saya dipimpin oleh petugas untuk berdoa di hadapan Multazam. Sebelum ini ketika ke Mekah tidak pernah saya mengalaminya kerana orang terlalu ramai."

- Puan Ezakiyah

Saya mengalami penyakit Anxiety Disorder. Saya kurang keyakinan diri, cepat gemuruh dan takut berhadapan dengan orang ramai. Setelah mengambil keputusan menyertai rombongan umrah, saya membuat persiapan cukup rapi. Alhamdulillah, semasa tawaf, saya merayu betul-betul kepada Allah agar sakit saya sembuh dan ibadah dipermudahkan. Allah maha mendengar. Saya amat bersyukur kerana dapat melakukan ibadah tawaf sendiri walau sesak dengan jemaah"

- En. Azuad

Saya mengalami masalah tulang belakang dan berubat di Al Hidayah selama setahun, belum pernah berkesempatan berubat dengan Hj Lokman. Di sini kita dirawat sendiri oleh Hj Lokman dan diberi perhatian penuh oleh petugas. Dalam keadaan lemah, saya dipimpin ke Hijr Ismail dan Multazam, ia satu pengalaman sangat berharga."

- Puan Shima


Bagi pihak saya dan Al Hidayah, program ini adalah salah satu kerja amal membantu pesakit sembuh sebab tanah suci sungguh istimewa untuk beribadah dan berdoa.

Apa yang penting adalah niat menolong pesakit. Perlu diketahui, Pusat Rawatan Islam Al Hidayah bukan menguruskan pakej umrah, kami berkerjasama dengan agen umrah dan haji berdaftar - Wira Saujana Sdn Bhd. Pihak Al Hidayah bertanggungjawab untuk proses rawatan dan segala perkhidmatan pakej umrah dikelola oleh Wira Saujana dengan bantuan Al Hidayah.

Saya memilih Wira Saujana Sdn Bhd kerana pakej mereka 'mesra pesakit'. Hotel di Madinah terletak 20 meter dari pagar Masjid Nabawi dan di Mekah, hanya 180 meter dari Masjidil Haram. Bagi saya, keselesaan pesakit menjadi keutamaan.

Kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis, pihak kami sedia membantu mendapatkan rawatan dialisis percuma di hospital kerajaan di Mekah dan Madinah.

Sebagai kesimpulan, Mekah adalah tempat sangat berkat dan mustajab berdoa. Tiap apa yang dihajatkan, asal dengan hati ikhlas akan dikabulkan. Sepanjang pengalaman saya berubat di tanah suci, saya dapat menyaksikan perkembangan baik pesakit.

Niat kami adalah untuk menolong dan bukan tujuan komersial dan promosi. InsyaAllah dengan amalan serta bimbingan serta rawatan di tanah suci, pesakit akan merasakan pengalaman berbeza, kepuasan dan kesembuhan dalam ibadah. Insya Allah.

Untuk keterangan lanjut mengenai pakej Umrah Al Hidayah bulan April 2013 sila layari laman web www.alhidayah-medic.com


Thursday, February 21, 2013

Pilih gaya hidup berpandukan al-Quran




Corak kehidupan harmoni bersandarkan al-Quran

Memilih gaya hidup berpandukan al-Quran adalah jalan yang sesuai untuk mengembalikan corak kehidupan harmonis. Kesempurnaan yang dicari untuk pengisian sebuah jiwa bukan bergantung kepada insan lain atau kecenderungan minat.

Kesempurnaan jiwa bermula daripada kebergantungan kita kepada Allah SWT melalui bacaan al-Quran dengan lidah. Hayatilah maksud ayat suci al-Quran melalui maksud dan tafsirnya. Mencari ketenteraman jiwa dengan menyebut dan berzikir nama Allah adalah permulaan kepada kebahagiaan. 


Firman Allah SWT: 
“Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Al-Ra‘ad, ayat 28) 

Membaca al-Quran setiap kali solat yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan khususnya kepada pelajar. Otak yang segar akan terpancar daripada kemuliaan lidah yang dibasahkan dengan kalam Allah setiap fajar terbit dan terbenam. 


Hati yang berkarat kerana terlalu biasa melakukan dosa juga boleh dipulihkan dengan bacaan ayat al-Quran. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya hati ini berkarat seperti berkaratnya besi apabila terkena air. Seorang sahabat bertanya: Bagaimana menghapuskan karat itu? Jawab Nabi SAW: Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.” (Riwayat Ibnu Umar) 

Ganjaran membaca ayat suci al-Quran dijelaskan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala. Aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat ad Darimi Tarmizi) 


Dewasa ini, banyak remaja atau belia memilih untuk menghadiri pusat hiburan sebagai tempat mencari kepuasan hidup. Kepuasan hidup yang dicari dalam bentuk hiburan adalah satu pilihan yang boleh menenggelamkan akidah, maruah diri, kemuliaan peribadi dan agama.

Kehidupan yang tidak berasaskan al-Quran dalam rutin harian mampu menolak jauh manusia ke arah kehancuran. Kita semakin khuatir bagaimana generasi akan datang melihat Islam kerana agama yang diwarisi daripada ibu bapa lebih bersandarkan kepada nama saja.

Ibu bapa pada hari ini perlu menitikberatkan kecenderungan ke arah memberi kefahaman anak-anak mengenai al-Quran. Tanggungjawab ini bukan sekadar menghantar anak belajar mengaji al-Quran tetapi bagaimana mendorong mereka memahami maksud al-Quran dan boleh menerapkannya sebagai asas pemikiran serta perlakuan.

Jiwa umat Islam yang membiasakan diri dengan bacaan ayat suci al-Quran begitu hebat sehinggakan Rasulullah SAW membuat perumpamaan dalam hadisnya.

Daripada Abu Musa Al Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda: “Umpama orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (limau besar), baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar yang tidak ada bau tapi rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


2013/02/21 - 04:07:48 AM Berita Harian

Sunday, February 17, 2013

Buku Bertanya Tentang Tuhan



Kupas persoalan mengenal Allah

PERNAHKAH terlintas di hati anda menanyakan persoalan di mana tuhan?
Atau pernah timbul persoalan di dalam hati anda bagaimana ingin menikmati rasa hidup bertuhan yang sejati? Pernahkah tiba-tiba di dalam keadaan sunyi, terdetik di hati anda ke mana arah hidup anda selepas ini?
Selain itu pernah juga tertanya apakah dicari dalam dunia? 

Jika sedang mencari jawapannya, anda wajar memiliki sebuah buku terbitan Must Read Sdn. Bhd. yang bertajuk, Bertanya Tentang Tuhan yang boleh kini telah berada pasaran.

Bertanya Tentang Tuhan adalah sebuah buku berkenaan sebuah kembara, iaitu perjalanan seorang hamba yang mencari cinta tuhan. Sebenarnya dalam hati setiap insan itu, ada satu kelopak permata yang sentiasa menyala-nyala ingin jawapan. Kadang-kadang berkelip, kadang-kala suram.

Buat pencari tuhan, jangan biarkan kelopak permata berkelip lagi, biarlah ia terus berjaya dengan jawapan pengetahuan. Sebanyak 10 bab mengupas pelbagai tajuk dengan dimulakan persoalan mengenal Allah dan diakhiri perbincang berhubung soal pintu taubat.

Yang menariknya dalam buku ini adalah plot kembara yang disusun seolah-olah buku ini sedang bercerita dengan pembaca. Ia adalah buku ilmiah, bukannya sebuah novel atau sebagainya. Kebijaksanaan penulis, Muhammad Nazri Rijal yang bertindak menjemput hati pembaca agar mengembara bersamanya, menerokai keindahan hakikat cinta tuhan.

Sulaman daripada kisah-kisah pencari tuhan terdahulu, pengalaman-pengalaman manusia seharian dan analogi mudah serta ditambah bait puisi madah telah mewarnakan lagi kembara dalam buku ini. Harapannya agar para pembaca dapat merasa manisnya saat-saat di sisi tuhan serta indahnya nikmat menyembah tuhan yang esa.

Buku ini juga cuba mengajak pembaca agar bersama terjun ke dalam aura penulis yang membawa mereka mengembara dari satu dimensi ke satu destinasi untuk lebih memahami hakikat cinta tuhan.

Buku setebal 164 muka surat yang berharga RM19.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM22.90 (Sabah/Sarawak) terbitan Must Read Sdn. Bhd. itu boleh didapati pasaran berhampiran. Anda wajar memilikinya khususnya untuk generasi muda.

Thursday, February 7, 2013

Jangan terburu-buru menghukum



Keras hati satu celaan

DALAM kitab Sahih Al-Bukhari, terdapat satu kisah yang pengajarannya sangat penting untuk kita renungkan bersama.

Seorang laki-laki dari Mesir datang kepada Ibnu Umar untuk bertanya tentang Khalifah Usman bin Affan. Rakyat Mesir pada saat itu kebanyakannya sangat membenci khalifah dan merencana untuk memberontak kepada kerajaan.

Orang itu berkata: "Benarkah bahawa Usman melarikan diri pada perang Uhud?"

Ibnu Umar menjawab: "Ya."

Orang itu bertanya lagi: "Benarkah ia juga tidak hadir pada perang Badar?"

Ibnu Umar menjawab: "Ya."

Berkata lagi orang itu: "Benarkah bahawa dia juga tidak hadir pada peristiwa Bai'atul-Ridwan?" Sekali lagi Ibn Umar menjawab: "Ya."

Orang itu segera bangkit sambil bertakbir: "Allahu Akbar."

Dia menyimpulkan bahawa kebenciannya kepada Khalifah Usman memang beralasan dan menjadi semakin yakin Khalifah Usman adalah seseorang yang tercela kerana maklumat yang telah disahkan oleh Ibnu Umar tadi.

Melihat gelagat tidak kena ini, Ibnu Umar berniat meluruskan kefahaman. Beliau memanggil kembali orang itu dan berkata: "Ke sinilah kamu agar aku jelaskan perkara sebenarnya. Usman memang melarikan diri daripada perang Uhud, namun aku bersaksi bahawa Allah telah memaafkannya (sebagaimana firman Allah di surah Ali Imran: 155).

3:155
Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
"Ia memang tidak hadir pada perang Badar, namun itu kerana isterinya Ruqayyah puteri Rasulullah SAW tengah sakit. Baginda memerintahkan Usman merawat isterinya dan bersabda: "Kamu berhak mendapat pahala dan rampasan perang seperti orang yang menghadiri perang Badar."

"Ia memang tidak hadir pada Bai'atul-Ridwan, namun itu kerana Rasulullah telah mengutus beliau ke Mekah. Andai ada orang lain yang lebih dihormati di Mekah daripada Usman, nescaya baginda akan mengutus orang itu."

Selepas penjelasan ini, persepsi tentang Khalifah Usman berbalik 180 darjat. Beliau sama sekali bukan orang yang buruk, malah tokoh yang sangat mulia di sisi Rasulullah SAW.

Ibnu Umar lalu berkata: "Sekarang, pergilah engkau membawa maklumat ini."

Jangan cepat menghukum

Saya menyimpulkan pengajaran yang sangat berharga daripada kisah ini, iaitu jangan mudah menghukum atau menilai sebelum difikirkan seluruh aspeknya.

Seringkali kita bersikap seperti laki-laki dari Mesir ini. Kita cepat menilai dan menghukum seseorang dengan maklumat yang tidak sempurna. Kita hanya mendengar daripada satu sudut, lalu tergesa-gesa menarik kesimpulan. Tergesa-gesa menyimpulkan hanya akan melahirkan kesimpulan tergesa-gesa.

Berkata 'Amr bin Al-'As (seorang sahabat Nabi SAW): "Seseorang hanya akan memetik buah penyesalan daripada sikap tergesa-gesa."

Islam sangat membenci sikap terburu-buru (al-'ajalah). Sebaliknya, Islam sangat menganjurkan bertenang (al-anah) dalam setiap perkara. Itu sebabnya, Islam memberi kesempatan cerai (talak) hingga tiga kali.

Islam juga memberi kesempatan bagi pasangan yang bercerai untuk memikirkan kembali keputusannya dengan meletakkan hukum 'iddah. Begitu juga berbagai hukum-hukum Islam lainnya yang terlalu banyak untuk disebutkan di sini.

Semua ini mengajarkan kita agar kita tidak berucap atau bertindak sebelum memikirkan semua masak-masak semua aspek dan kesannya.




Tak kenal maka tak cinta

Mukjizat yang masih kekal sehingga hari ini ialah al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan


TAK kenal maka tak cinta. Begitulah ungkapan yang selalu kita dengar yang menggambarkan bahawa cinta itu biasanya bermula dengan pengenalan. Keimanan yang sejati bukan sahaja dapat dilihat kepada keyakinan dan kepercayaan yang lahir daripada hati. Namun, dapat menghasilkan cinta yang hakiki sehingga sanggup berkorban untuknya.

Demikian juga keimanan kepada Rasulullah SAW. Ia bukan sahaja akan melahirkan keyakinan terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda tetapi akan melahirkan kecintaan terhadap peribadi dan sahsiah, lantas akan membentuk ummah yang sentiasa mengikuti sunnah.

Apatah lagi kecintaan kepada Rasulullah SAW merupakan antara bukti kesempurnaan iman.

Daripada Anas ra katanya: "Rasulullah SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya." (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Golongan yang sering melemparkan tuduhan serta cacian kepada Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak mengenali atau tidak berhasrat untuk mengenali baginda.

Sebaliknya, bagi mereka yang mengkaji lebih mendalam, akan terpikat dan kagum dengan keperibadian baginda sehingga tidak tergamak untuk mencaci Baginda walaupun dengan sepatah perkataan sekalipun. (rujuk al-Taubah: 128)

9:128
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah manusia biasa yang diutuskan dalam kalangan kita. Baginda bukannya malaikat yang melangkaui batasan kemampuan manusia biasa sehingga tidak mampu dicontohi dan diteladani.

Walaupun baginda adalah manusia biasa, tetapi dikurniakan dengan keistimewaan tertentu yang membezakan baginda daripada manusia biasa seperti kita.

Antara keistimewaan Rasulullah SAW yang perlu kita hayati agar dapat meningkatkan lagi rasa cinta kepadanya ialah baginda ialah pilihan dan lantikan Allah SWT.

Sebagai peringatan kita bersama, Nabi Muhammad SAW bukan dipilih oleh manusia, sama ada melalui proses syura atau pilihan raya. Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman: 

20:13

Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. (Thaha: 13)

Oleh itu, wajib kita yakin dan percaya bahawa baginda adalah manusia yang terbaik kerana menjadi pembawa dan penyampai kalam Allah SWT yang dipilih sendiri olehNya.

Mempertikaikan kerasulan baginda seolah-olah mempertikaikan pilihan yang telah dibuat oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW juga dibangkitkan sebagai penghulu bagi nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Telah menjadi syarat kepada keimanan kepada rasul iaitu dengan beriman dengan semua rasul yang diutuskan termasuklah Nabi Muhammad SAW.

Terdapat di kalangan ahli kitab yang beriman kepada nabi-nabi terdahulu, namun enggan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW.

Maka, keimanan tersebut tidak diiktiraf oleh Allah SWT kerana tidak lengkap. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai penutup kepada nabi dan rasul.

Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata. Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka kagum terhadapnya seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi. (riwayat Muslim)

Mukjizat adalah sesuatu yang berlaku kepada para Nabi di luar adat dan kebiasaan manusia biasa.

Ia dikurniakan oleh Allah SWT untuk membuktikan kebenaran risalah yang dibawa dan untuk memeliharanya dari halangan musuh-musuh.

Semua nabi dan rasul dikurniakan dengan mukjizat. Antara mukjizat yang terkenal ialah tongkat Nabi Musa as yang bertukar menjadi ular, Nabi Isa as yang boleh menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit buta, mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh berkomunikasi dengan jin dan binatang.

Namun, semua mukjizat tersebut hanya tinggal sejarah dan tidak dapat dilihat lagi pada masa ini.

Hanya satu sahaja mukjizat yang masih kekal sehingga hari ini iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ia dipelihara oleh Allah SWT.

Tidak terkira bilangan orang yang telah memeluk agama Islam hanya dengan membaca terjemahan Al-Quran.

Apatah lagi sekiranya mengkaji rahsia-rahsia yang terkandung di dalamnya yang mendahului zaman, sains dan teknologi.

Sampai hari kiamat, al-Quran terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja. (rujuk al-Isra': 88)

17:88
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".

Baginda juga terlalu kasih kepada umat dan kita perlu sedar bahawa kehidupan Nabi SAW semuanya diinfakkan untuk kebaikan umat baginda.

Tidak pernah sedetik pun yang dilalui oleh baginda kecuali akan difikirkan tentang nasib umatnya. Bahkan, sebelum dijemput pulang oleh Allah SWT,

Baginda masih lagi menyebut "Umatku, umatku". Bahkan, Nabi SAW akan menggunakan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya untuk membantu umatnya di Akhirat kelak.

Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap Nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

Berapa banyak peristiwa kekejaman yang berlaku terhadap baginda. Namun, Baginda SAW tidak pernah berdendam. Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Baginda SAW telah membebaskan seluruh kafir Quraisy Mekah walaupun mereka pernah menganiaya Baginda dan para sahabat ra.

Demikianlah beberapa bukti kehebatan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, kekaguman kepada kehebatan ini tidak cukup, melainkan ia perlu disusuli dengan rasa kasih dan cinta kepada Baginda SAW.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.




Waqaf jaga makna al-Quran

Umat Islam perlu mendalami ilmu waqaf dan ibtida melalui penulisan dalam ilmu tajwid atau guru-guru al-Quran. - Gambar hiasan

RAMAI mengetahui apabila disebut ilmu tajwid, terlintas di pemikiran bahawa itu adalah ilmu berkaitan sifat huruf, makhraj huruf, izhar, idgham, mad wajib dan sebagainya. Kebanyakan guru al-Quran memberi tunjuk ajar dalam ilmu tajwid tertumpu kepada istilah yang disebutkan di atas.

Hakikatnya, ilmu tajwid juga merangkumi waqaf dan ibtida dengan maksud manakah kalimah sesuai untuk berhentikan bacaan dan di manakah kalimah yang sesuai untuk meneruskan bacaan kembali.

Para sahabat menekuni ilmu waqaf dan ibtida dengan bersungguh-sungguh dan mempelajarinya sebagaimana mereka mempelajari hukum halal dan haram dalam al-Quran. Abdullah Ibnu Umar ra berkata: "Sesungguhnya kami pernah hidup sedikit masa lalu di mana kami dikurniakan iman sebelum al-Quran. Surah-surah al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad lalu kami mempelajari hukum halal dan hukum haram di dalamnya, arahan dan tegahannya dan kami juga mempelajari apa yang perlu waqaf ketika membacanya."

Syeikh Mahmud Khalil al-Husari ketika menghurai hadis ini menyatakan amat jelas menunjukkan para sahabat mempelajari waqaf sebagaimana mereka belajar kandungan al-Quran.

Seorang penceramah ilmu tajwid dalam syarahannya menjelaskan, jika pembaca al-Quran waqaf tanpa mengikut kaedah yang tempat seumpama ayat Melayunya, John minum susu kambing dalam gelas. Kalau pembaca berhenti, John minum susu, kemudian disambungkan kambing dalam gelas ini memberi maksud dua perkara yang berbeza.

Pertama cerita tentang orang minum susu dan keduanya, cerita kambing dalam gelas yang mustahil berlaku.

Kepentingan

Kepentingan waqaf adalah untuk menjaga makna al-Quran. Jika waqaf dan ibtida tidak dijaga ketika membaca al-Quran terkadang maknanya berubah menjadi sebaliknya sebagai contoh ayat tujuh surah Fatir bermaksud: 
Orang-orang kafir mereka dikenakan azab yang pedih dan orang-orang beriman yang beramal soleh mereka memperoleh keampunan dan ganjaran yang besar.

Dalam al-Quran ayat di atas ini, terdapat tanda waqaf pada makna kalimah azab yang pedih tetapi jika pembaca tidak mengikut tanda waqaf dengan membaca dari mula ayat dan berhenti pada makna kalimah dan orang-orang yang beriman. Sudah tentu maksudnya azab yang pedih dikenakan kepada orang kafir dan juga orang beriman. (Na'uzubillah)

Ramai ulama yang menulis kepentingan waqaf antaranya ialah Abu Hatim yang menyatakan barang siapa tidak mengenali waqaf, ia tidak mengenali al-Quran. Ibnu al-Anbari juga menyatakan antara tanda seseorang mengenali al-Quran ialah menguasai ilmu waqaf dan ibtida.

Imam al-Huzali dalam kitabnya al-Kamil menyatakan waqaf pakaian bacaan, hiasan pembaca, penyampai pembaca, memberi faham kepada pendengar, kebanggaan si alim, dengannya membezakan dua makna yang berlainan, dua makna yang bertentangan dan dua hukum yang berbeza.

Lantaran itu, kita semua perlu mendalami ilmu waqaf dan ibtida melalui penulisan dalam ilmu tajwid atau guru-guru al-Quran. Selain itu, pembaca al-Quran juga perlu memahami fungsi tanda waqaf yang ada bertaburan dalam al-Quran.

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD - pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...