بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, November 27, 2012

Ayat Al-Quran sebagai penawar



SOALAN

Nama saya Hasnah berusia 40 tahun. Saya disahkan menghidap kanser payudara pada awal Februari 2010. Pada Mac 2010, saya telah menjalani mastectomy iaitu pembedahan membuang keseluruhan payudara sebelah kiri.

Semasa pembedahan, sebanyak 15 kelenjar telah dikeluarkan dan tujuh dikenalpasti mengandungi sel-sel kanser.

Saya telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi sebanyak 15 kali. Kedua-dua rawatan tamat pada September 2010.

Namun pada bulan Oktober 2012, selepas lebih dua tahun saya tamat rawatan, saya mendapat cancer relapse iaitu kanser kembali menyerang malah telah merebak ke bahagian tulang spinal (C3 & C4) dan menyerang tulang pelvik dan tulang rusuk di dada saya.

Bolehkah, Tuan Haji Lokman terangkan mengapa kanser menyerang saya kembali walaupun saya sudah tamat rawatan kemoterapi dan radioterapi?

Apakah ayat-ayat al-Quran untuk diamalkan untuk menangani penyakit kanser dan bagaimana cara mengubatinya melalui perubatan Al-Quran?

JAWAPAN

Kanser begitu sukar dipulihkan terutamanya jika sudah berada di tahap tiga dan empat. Sebaik sahaja sel kanser merebak masuk ke saluran darah dan sistem peredaran kelenjar atau 'lymph', amat sukar untuk memastikan bahagian organ mana yang mengalami proses metastasis dan menyebabkan sel kanser.

Jalan paling mudah dalam kaedah perubatan moden adalah kemoterapi, iaitu memasukkan ubat anti kanser keseluruhan sel organ dalam badan.

Tetapi proses kemoterapi hanyalah berfungsi untuk surpressed atau melemahkan sel kanser atau melambatkan proses kanser dari merebak dengan cepat.

Adalah sukar bagi pakar perubatan moden untuk memberi lima tahun jaminan pesakit akan sembuh atau selamat dari kanser.

Ini kerana mereka sedar, kebarangkalian sel-sel kanser merebak ke bahagian tubuh yang lain amat tinggi.
Biarpun seseorang pesakit kanser telah bebas dari kanser berdekad lamanya, itu bukan jaminan kanser tidak akan kembali menyerang mereka.

Dalam kes Puan Hasnah, mengapa kanser kembali menyerang biarpun selepas beliau menjalani rawatan kemoterapi enam kali dan radioterapi 15 kali.

Ini adalah kerana sel-sel kanser yang dilemahkan semasa rawatan kemoterapi atau radioterapi akan kembali aktif selepas beberapa jangka masa atas beberapa faktor seperti tekanan emosi (stres), pemakanan tidak seimbang dan pelbagai faktor lain.

Apabila kanser kembali menyerang, pesakit perlu mengulangi semula rawatan seperti rawatan pertama.

Ini yang membuatkan pesakit berasa putus asa, tekanan emosi dan tabiat ini tidak membantu menyembuhkan sebaliknya membantu menggalakkan lagi pertumbuhan kanser.

Dalam erti kata lain, perjuangan melawan kanser melalui rawatan moden, tidak akan selesai dan menemui kesudahannya jika diri tidak berserah kepada Allah dan meminta pertolongan dari-Nya. Firman Allah di dalam Al-Quran

"Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman...." (Al Israa' 82)

"....Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku.." (Al Baqarah, 186)
Konsep perubatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran adalah ibadah. Justeru tiap amalan perubatan ini adalah bersandarkan amalan ibadah serta doa dan munajat.

Konsep inilah yang akan menghasilkan keputusan '2 dalam 1', iaitu di samping mendapat kesembuhan, diri juga akan lebih dekat dengan Allah.

Sesungguhnya kesakitan bukanlah alasan untuk kita menjauhi diri daripada Allah. Dan kesakitan bukanlah alasan untuk kita meninggalkan ibadah sama ada wajib atau sunat.

Falsafah kesakitan menurut islam adalah sebagai wahana untuk Allah menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu, dan meningkatkan darjat kita disisi Nya.

Justeru, berdoa ketika sakit lebih dipandang Allah berbanding ketika sihat. Hal ini kerana ketika sihat, ia akan berdoa dan beramal dengan sambil lewa, kerana belum merasakan peritnya sebuah musibah kesakitan.

Namun, apabila seseorang itu sakit misalnya, ia akan berdoa kepada Allah dengan penuh khusyuk, tawaduk serta penuh pengharapan supaya Allah memakbulkan doanya dan menyembuhkan penyakitnya.

Kerana itu, saya sentiasa mengingatkan para perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bahawa kita berpegang kepada prinsip berdakwah di dalam berubat.

Dan buat para pesakit pula, kita membantu mereka agar yakin bahawa mereka beribadah sambil dirawat.

Hasil kedua prinsip ini, insya-Allah akan membawa kepada kesembuhan dengan syarat, para pesakit mengamalkan apa yang diarahkan serta meningkatkan amalan sunat dan menjauhi perkara-perkara dosa dan mungkar.

Saya akan berikan beberapa garis panduan secara umum mengenai rawatan kanser menurut kaedah ayat-ayat suci Al-Quran kepada pembaca dengan harapan kita meletakkan keyakinan yang penuh kepada mukjizat yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w serta rahmat sekalian alam.

Al-Quran, bukan sekadar bacaan, ia sumber panduan juga medium penyembuhan.

Insya-Allah, semoga dengan keyakinan yang terbina, Allah akan hadiahkan pesakit/ pembaca dengan kesembuhan.

Antara kaedah yang digunakan untuk merawat kanser menurut perspektif perubatan Al-Hidayah adalah ;

* Membaca beberapa rangkaian ayat suci Al-Quran.

Ini adalah amalan utama atau amalan pokok dalam perubatan ini. Pesakit akan diberikan beberapa ayat suci Al-Quran, yang saya beri selepas memeriksa pesakit, jenis kanser, sejauh mana tahap sakit dan kesan penyakit terhadap pesakit.

Ayat suci Al-Quran yang diberikan adalah berbeza-beza mengikut individu disebabkan beberapa faktor yang disebutkan tadi.

Namun, secara umumnya, ayat-ayat Al-Quran yang berfungsi sebagai agen penyembuh kanser bermula dengan surah Al Mukminun, ayat 91 hingga 100 dan surah Al Hajj, bermula ayat 31 hingga 55.

Ayat surah Mukminun untuk dibaca pada waktu malam sebanyak tiga kali sama ada selepas maghrib atau isyak atau mana-mana masa yang sesuai pada waktu malam atau dibacakan di dalam sembahyang sama ada fardu, atau Qiyammulail.

Ayat surah Al Hajj tadi pula adalah untuk bacaan siang sebanyak tiga kali selepas subuh, zohor atau asar.

Jika tidak sempat, maka boleh dibaca pada bila-bila masa di waktu siang. Kesimpulannya, tiada alasan sibuk atau tidak sempat untuk seseorang pesakit melakukan amalan ini.

Selepas kali membaca ayat ini, pesakit boleh berdoa kepada Allah agar sakit mereka sembuh.

Ingat, berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah berkuasa menyembuhkan setiap penyakit di dunia ini.

Kita telah pun berikhtiar dengan membaca ayat ini, lalu berdoa dan bertawakal kepada Allah, insya-Allah, pesakit akan merasakan perbezaannya setelah beberapa hari.

Dua rangkaian ayat yang saya berikan tadi, (Al Mukminun, Al Hajj), hendaklah diamalkan selama empat hingga lima minggu.

Baca dengan seikhlas hati dan penuh keyakinan. Setelah empat hingga lima minggu membaca ayat tadi, pesakit perlu pula membaca dua dari rangkaian surah-surah di bawah.

Surah Rangkaian Ayat
Al Anbiya' 38 hingga 50
Huud 60 hingga 80
An Nahl 90 hingga 110
Yunus 55 hingga 70
Qasas 66 hingga 88
Ibrahim 9 hingga 22
Al Kahfi 38 hingga 60
Yunus 71 hingga 89

Setakat hari ini, saya telah mengenal pasti sebanyak 60 rangkaian ayat suci Al-Quran yang merupakan ayat spesifik penyembuh penyakit kanser.

Malah, ayat ini bersifat khusus untuk setiap tahap kanser dan spesifik untuk setiap jenis kanser yang dialami.
Setiap rangkaian ayat ini sama jika dibandingkan dengan setiap satu jenis ubat dalam kaedah rawatan kanser secara moden.


Keberkatan Rezeki



KEBERKATAN rezeki adalah antara perkara utama yang mesti dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki. Bagaimanapun dalam artikel kali ini rezeki dirujuk kepada pendapatan yang kita peroleh sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji. Rezeki itu pula dibawa pulang ke rumah untuk kegunaan anak isteri. Ada orang memandang ringan akan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ini hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka ini tidak sedar wujudnya kaitan langsung antara keberkatan rezeki dengan nasib, kualiti perhubungan, kejayaan anak-anak, dan segala aspek kehidupan.

Sebab-sebab rezeki tidak berkat. 

Rezeki tidak berkat  kerana jelas datang daripada sumber pendapatan yang haram seperti judi, rasuah, curi, menipu, nombor ekor, pelaburan haram dan seumpamanya. Rezeki itu juga boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah untuk melakukan sesuatu pekerjaan, atau memikul sesuatu tugasan tetapi kita tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Contohnya curi tulang semasa bekerja, datang lewat, malas, kerja tidak mencapai kualiti, melakukan kerja lain sewaktu dalam masa bekerja, main-main, dengki, irihati dan seumpamanya.

Tanda-tanda keberkatan rezeki.

  • Hati semakin dekat dengan Allah dan Jiwa Tenang. Bila rezeki itu berkat hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu malah ditambah dengan amalan-amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan mentadabbur al-Quran dan mengamalkannya.

  • Pemurah - Mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat.

  • Jauh daripada kejahatan manusia dan bala

  • Keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang
  • Sentiasa merasa cukup dan syukur




Sunday, November 25, 2012

Persoalan Agama: Didikan awal ibu bapa pupuk sifat positif anak





2011/09/25

Soalan:

USTAZ, jika kita lihat, ada pelbagai gejala yang melanda remaja dan umat Islam pada masa kini. Yang terbaru adalah gejala emo (perbuatan kelar tangan, menjilat darah sendiri serta melakukan seks bebas antara perlakuan dan amalan sumbang pengikut kumpulan emo). Ia dikatakan dianggotai remaja perempuan bermasalah, terutama mereka yang sering tertekan kerana kesedihan dan kekecewaan. Saya rasa kalau remaja ini diterapkan didikan Islam, sudah tentu tiada masalah yang membimbangkan ini. Bukankah pendidikan Islam mampu untuk menjadikan manusia itu salih? Apa pandangan ustaz?

Jawapan:

Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Ketika bayi lahir, Islam berkata kepada ibunya: “Susuilah anakmu sampai umur dua tahun. Anakmu memerlukan makanan yang ada dalam susumu.”


Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233 bermaksud: “Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh iaitu bagi orang yang ingin menyempurnakan penyusuan.”

Kalangan ilmuwan membaca ayat ini kemudian meneliti. Mereka membuktikan bahawa benar apa yang disebut dalam al-Quran. Sesudah selesai dua tahun, berakhirlah fasa penyusuan. Masuk fasa seterusnya, anak dididik sesuai dengan bakat dan tingkat umurnya. Ibu hendaklah berperanan paling utama kerana anak masih memerlukan kasih sayang dan perasaan halus yang dimilikinya. Pada umur ini, anak masih belum dapat menggunakan akal sepenuhnya dalam tindakan dan kelakuan.

Dalam fasa ini juga, pendidikan agama patut dimulakan. Apabila hendak mendidik anak, jangan hanya dilakukan oleh seorang atau melihat dalam satu aspek saja tetapi mendidik anak hendaklah menyeluruh iaitu meliputi jasmani, rohani, akal, kasih sayang dan ilmu pengetahuan. Setiap satu ada yang melaksanakan atau menanganinya.

Didikan yang paling baik bagi anak yang berumur prasekolah adalah didikan terus daripada ibu bapanya, sebelum guru di sekolah. Pendidikan ibu bapa sangat penting, sebab sifat positif daripada seorang anak tidak hanya lahir daripada gurunya.

Sifat positif sudah ada pada diri anak sejak telinganya sudah boleh mendengar, sejak matanya sudah mampu untuk melihat dan sejak timbul kemampuannya untuk merakam segala peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Semua ini melekat kuat dalam dirinya dan kemudian membentuk sifat dan tingkah laku yang baik.

Kita perlu ada kasih sayang kepada anak seperti Rasulullah SAW. Contohnya, ketika Rasulullah SAW mengimamkan solat berjemaah, Baginda SAW terdengar suara tangis bayi, lalu Baginda SAW mempercepat solatnya.

Islam mengajar ibu bapa bersikap ramah dan kasih sayang kepada anak. Dengan adanya kasih sayang dapat menghindarkan anak dari gangguan jiwa, rendah diri dan lain-lain sifat negatif.

Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Malik bin al-Huwairits, beliau berkata (yang bermaksud): “Kami pernah mendatangi Rasulullah SAW dan ketika itu kami adalah pemuda dan umur kami berdekatan (tak jauh beza). Lalu kami bermukim bersama Baginda (di Madinah) selama dua puluh hari. Baginda SAW adalah sangat lembut. Bila Baginda melihat kami begitu menginginkan untuk bertemu keluarga kami atau kami merindui mereka, Baginda pun bertanya perihal keluarga yang kami tinggalkan. Lalu kami pun menceritakannya. Baginda bersabda: Pulanglah kepada keluarga kamu. Tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan suruhlah mereka (dan Baginda bercakap beberapa perkara yang ada yang aku hafal dan ada yang tidak) iaitu solatlah seperti kamu melihat aku solat. Jika waktu solat tiba, hendaklah seorang dari kamu sekalian melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua di antara kamu menjadi imam.”

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW ketika bersama sekumpulan remaja dan Rasulullah sentiasa berpesan. Kalangan remaja atau pemuda berasakan kebahagiaan apabila bersama Rasulullah SAW. Demikianlah, wallahua’lam. 

Saturday, November 24, 2012

Cari ketenangan jiwa


Oleh AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan dunia moden, manusia sering diancam pelbagai perasaan seperti gelisah, murung, tidak tenang, dan rasa tidak pernah cukup dengan harta yang ada, menyebabkan perasaan tamak, haloba dan rakus menguasai jiwa. Hal inilah menyebabkan jiwa seseorang tidak tenang dan mengalami kegelisahan.

Jiwa dapat didefinisikan sebagai, nyawa, roh yang ada dalam tubuh manusia. Jiwa juga meliputi batin iaitu perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia. Sesekali manusia diduga dengan ujian ketakutan dan kegelisahan. Hanya kekuatan jiwa dapat mengatasi segala.

Berkaitan dengan dugaan dan ujian terhadap jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan berikan cahaya kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan . Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.(al-Baqarah:155).

Jika jiwa tidak tenang seluruh badan akan mengalami gangguan. Antaranya; kemurungan atau gelisah adalah penyakit biologi atau jiwa yang dihadapi seseorang akan mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tindakan daripada anggota badan seperti perasaan marah, rasa terancam dan terdesak. Hal inilah yang menyebabkan seseorang itu bertindak di luar dugaan dan di luar pertimbangan.

Tokoh-tokoh yang banyak membicarakan tentang psikologi Islam ialah; al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, ulama al-Kalam. Begitu juga dengan Imam al-Ghazali banyak membicarakan tentang hubungan roh, jiwa dan jasad. Beliau memperkenalkan teori keseimbangan di antara bahagian-bahagian jiwa dan teori kekendirian.
Dalam al-Quran terdapat istilah yang berkaitan jiwa seperti nafs yang bermaksud kemanusiaan disebut sebanyak 367 kali, qalb yang bermaksud emosi disebut sebanyak 144 kali, aql bermaksud akal atau pemikiran disebut sebanyak 149 kali dan roh disebut sebanyak 29 kali. Jelaslah hati dan jiwa diberi penekanan oleh Allah SWT untuk kita memahaminya.

Melalui keimanan dan keseimbangan keempat-empat unsur ini akan dapat mengawal jiwa manusia ke arah ketenangan. Bagi mendapatkan ketenangan jiwa dan mengurangkan kegelisahan seseorang itu mestilah beriman kepada Allah SAW, bertaubat, takut, zuhud, sabar, ikhlas, reda, syukur, istiqamah, tawaduk dan takwa serta membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dada kamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus: 57)

Oleh itu, sebagai manusia juga hamba Allah SWT untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan adalah melalui al-Quran yang banyak mengandungi pengajaran. Melalui al-Quran terdapat petunjuk dan juga rahmat bagi mereka yang menghadapi pelbagai penyakit termasuk kegelisahan jiwa.

Sebagai golongan orang yang beriman, kita semestinya mendekatkan diri dengan amalan membaca, memahami maksudnya dan menghayati al-Quran dalam kehidupan. Petunjuk dan juga rahmat banyak terkandung dalam al-Quran bagi mendapatkan ketenangan jiwa ketika kegelisahan.

Imam Syafi'e menjelaskan jiwa akan mulia dengan hidup apa yang ada. Beliau berkata; "Aku bunuh sifat-sifat tamakku, maka tenanglah jiwaku. Seterusnya jiwaku akan hina kalau aku tetap tamak. Aku hidupkan rasa puas yang telah lama mati, kerana dengan menghidupkannya harga diri dapat dijaga. Jika sifat rakus bersarang, di hati seorang hamba, maka ia akan menjadi orang yang hina ."

Banyak faktor dan sebab yang menyebabkan keresahan hati dan fikiran manusia pada hakikatnya terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya; banyak melakukan dosa, berpaling daripada peringatan Allah SWT, melakukan syirik kepada Allah SWT baik dengan perkataan, perbuatan atau hati dan hidup sentiasa diselubungi perasaan putus asa disebabkan iman yang lemah.

Seseorang yang melakukan dosa akan mencetuskan keresahan dalam hidupnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Yang menyebabkan timbulnya huru-hara dalam hati sanubari (jiwa) manusia adalah dosa-dosa yang dilakukan manusia. (riwayat Muslim).

Hanya agama dan keimanan dapat mengelakkan keresahan, rasa rendah diri, kesepian, kegelisahan, kemurungan, rasa bosan, rasa muram, sedih, pilu, , cemas, susah hati dan jiwa tidak tenteram serta tidak berupaya mengatasi persoalan yang dihadapi.

Segala gejala kejiwaan tersebut sering kali mempengaruhi jasmani dan rohani dan menimbulkan gangguan kepada keadaan fizikal tubuh.

Daripada Anas bin Malik ra., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba, sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus lidahnya." (Riwayat Imam Ahmad).



Kekeliruan Asyura

Perbuatan mencederakan diri yang dilakukan oleh segelintir umat Islam pada setiap 10 Muharam dilarang sama sekali memandangkan tindakan berkenaan bertentangan dengan ajaran Islam selain menyerupai amalan golongan jahiliah.


SOALAN:

BOLEH ustaz jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan puasa Asyura? Benarkah perintah berpuasa pada hari itu bersempena dengan peringatan pembunuhan Saiyidina Husein di padang Karbala?

JAWAPAN: 

ASYURA berasal daripada kata 'asyarah yang bermakna: "10". Hari Asyura maksudnya adalah hari ke-10 daripada bulan Muharam.

Hari ini sangat dihormati oleh bangsa Arab pada masa Jahiliah, terutamanya kaum Quraisy. Pada hari itu mereka mengganti kiswah (kelambu) yang menutupi Kaabah dan berpuasa.

Besar kemungkinan amalan itu merupakan peninggalan syariat Nabi Ibrahim yang masih berlaku di kalangan bangsa Arab pada saat itu. Itu sebabnya Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari Asyura semasa baginda masih berada di Mekah.

Apabila berpindah ke Madinah, Rasulullah SAW melihat bangsa Yahudi yang menetap di sana berpuasa pada hari Asyura juga.

Baginda bertanya: "Mengapa kalian berpuasa pada hari ini?" Mereka menjawab: "Hari ini hari baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka. Oleh itu Nabi Musa berpuasa padanya."
Rasulullah SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripadamu." Baginda lalu berpuasa dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa.

Puasa Asyura hukumnya wajib pada tahun pertama kehadiran kaum Muslimin di Madinah. Hukum itu mula berubah apabila Allah menurunkan kewajipan puasa Ramadan satu tahun kemudian.

Siti Aisyah berkata: "Selepas puasa Ramadan diwajibkan, maka sesiapa yang hendak berpuasa pada hari Asyura, maka dipersilakan. Dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, maka dipersilakan."

Namun begitu, puasa pada hari Asyura tetap disunatkan dan mengandungi fadilat besar. Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa pada itu dapat menggugurkan dosa satu tahun sebelumnya. Demikian diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah.

Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, puasa Asyura terdiri daripada tiga tingkatan. Tingkatan yang paling rendah berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja. Tingkatan pertengahan berpuasa pada hari kesembilan dan ke-10. Tingkatan tertinggi adalah berpuasa tiga hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharam.

Pembunuhan Husein

Daripada penjelasan singkat di atas, jelaslah puasa Asyura bukan kerana pembunuhan Sayidina Husein bin Ali cucu Nabi Muhammad SAW yang berlaku di Karbala pada tahun 61 Hijrah. Pendapat sebegini tidak pernah dikenal dalam ajaran ahli sunnah wal jamaah.

Sebaliknya, mengaitkan Asyura dengan pembunuhan Sayidina Husein berasal daripada aliran Syiah. Mereka memperingati peristiwa itu dengan meratap bersama-sama. Ada juga yang menganjurkan perarakan di jalan-jalan sambil melukai tubuh dengan benda-benda tajam. Perbuatan ini haram dilakukan menurut para ulama.

Peristiwa pembunuhan Sayidina Husein adalah lembaran hitam dalam sejarah Islam. Sebagai umat yang mencintai keluarga Nabi Muhammad SAW, kita mengutuk pelaku perbuatan kejam itu. Namun kesedihan tidak boleh membawa kita kepada perilaku melampau yang bertentangan dengan ajaran Islam sendiri.
Baginda pernah bersabda: Bukan termasuk daripada golongan kami orang yang suka menampar muka, mengoyak baju dan melaungkan sebutan-sebutan Jahiliah. (riwayat al-Bukhari)

Tafsir Surah Yasin - Allah pemberi rahmat

berbudi kepada tanah tidak ada ruginya, begitulah juga sekiranya kita berusaha, pasti ada imbuhannya. - Gambar hiasan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SETELAH Allah SWT menyebut pelbagai nikmat-Nya yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya, antaranya Dia menghidupkan bumi yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, kemudian Dia menyebut pula nikmat-nikmat-Nya yang lain seperti; menciptakan jalan-jalan yang terdapat di lautan atau di daratan sehingga manusia mampu menggunakan jalan tersebut untuk mencari rezeki walaupun di negeri yang jauh.

Firman Allah SWT: 


A041


Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat. (Yasin: 41)

Ibnu Kathir berkata: "Perahu yang dipenuhi barang-barang dan haiwan yang berpasang-pasangan diperintahkan oleh Allah SWT. Demikian yang dikatakan oleh Sa'id bin Jubair, al-Sya'bi, Qatadah dan al-Suddi sedangkan al-Dahak dan Ibnu Zaid berkata: Iaitu perahu Nuh as."

Al-Sabuni berkata: "Pada mukadimah ayat ini, ditanggung dengan tiga makna iaitu pengajaran bagi mereka. Ini kerana pada ayat-ayat Allah penuh iktibar. Yang kedua nikmat ke atas mereka. Ini kerana pada ayat-ayat penuh dengan pemberian nikma dan ketiga peringatan bagi mereka. Ini kerana pada ayat-ayat Allah penuh dengan peringatan."

Berkenaan dengan dua dhomir (ganti nama) berlainan seperti yang dinukilkan oleh al-Mahdawi. Adapun pendapat yang lain, dua dhomir kembali kepada penduduk Mekah.

Al-Maraghi berkata: "Antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT ialah Dia menjadikan manusia mampu mengenderai kapal-kapal yang dimuatkan dengan pelbagai jenis barang dagangan dalam bentuk bahan makanan dan lain-lain yang mereka angkut dari satu daerah ke daerah yang lain."

Sekiranya Dia tidak melakukan demikian, tentu manusia tidak akan mempunyai keturunan dan generasi untuk meneruskan kehidupannya.

Firman Allah SWT: 


A042


Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya. (Yasin: 42)

Terdapat tiga pandangan ulama iaitu Al-Aufi berkata daripada Ibnu Abbas ra yang dimaksudkan adalah unta. Ini kerana unta bahtera daratan yang digunakan membawa sesuatu dan ditunggang.

Riwayat yang lain, unta dan segala binatang yang boleh ditunggang. Ia bermaksud kapal atau perahu. Pendapat ini juga dinyatakan oleh Abu Malik termasuk perahu yang kecil.

Al-Maraghi berkata: "Kami ciptakan pula kenderaan lain yang dapat dikenderai di daratan seperti unta yang mampu menempuh perjalanan di padang pasir. Ini berdasarkan seperti yang dikatakan oleh seorang penyair Unta diibaratkan kapal-kapal di daratan. Padang pasirnya diibaratkan lautan."

Dalam ayat ini Allah SWT tidak menentukan apa sahaja yang dikenderai oleh manusia, tetapi Dia menyebutkan ma yarkabun, kerana Dia Maha Tahu pelbagai kenderaan yang akan dicipta oleh manusia. Justeru, dianggap sebagai mukjizat selain al-Quran.

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa Allah Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya.

Menariknya al-Quran membuka minda manusia supaya berfikir berkenaan dengan kekuasaan Allah melalui pengamatan segala ciptaan-Nya. Ini sudah tentu membawa keinsafan kepada semua manusia yang mengambil iktibar dan pengajaran.

Begitu juga Allah SWT mengisahkan betapa perjalanan masa mengikut ketentuan-Nya yang boleh melakukan apa sahaja.

Oleh itu, sewajarnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku dan juga hasil ciptaan Allah SWT yang boleh mendekatkan kita kepada-Nya.



Mujahadah Melawan Hasutan Syaitan


DARIPADA Aisyah ra, isteri Rasulullah SAW, beliau menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah: "Kerana itu aku cemburu kepada beliau. Setelah baginda kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya, mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?"

Jawabku: "Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda?"

Tanya baginda: "Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?" Jawab Aisyah: "Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?"

Jawab baginda: "Ya!" Aku bertanya: "Aku sendiri juga?" Jawab baginda: "Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat." (riwayat Muslim)

Huraian:

Pendekatan tipu daya syaitan adalah pelbagai. Ini bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang berilmu melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dihasut dengan amalnya.

Orang yang kaya dirosakkan dengan harta bendanya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran disebabkan kesusahan yang dialaminya.

Hadis di atas menerangkan bahawa setinggi manapun ilmu dan sebanyak manapun amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa ia akan selamat daripada tipu daya syaitan.

Oleh itu, Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan godaan syaitan laknatullah.

Petikan daripada Senarai Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).



BUKANKAH Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yasin: 60)

Hakikat syaitan sebagai musuh manusia diulangi oleh Allah SWT beberapa kali di dalam al-Quran. Semuanya bagi memperingatkan kita tentang musuh yang nyata ini.

Permusuhan syaitan kepada manusia bukanlah sesuatu atau yang berlaku sekali sekala. Ia adalah sesuatu yang berterusan. Malah itulah misi syaitan selagi manusia berada di dunia ini.

Maka itu, permusuhan syaitan ditujukan kepada kita dalam semua situasi dan perbuatan seperti tidur, mandi, makan, perbualan, pemandangan, pendengaran, pekerjaan, gerak hati, pemikiran, wuduk, solat, puasa, haji dan pelbagai lagi.

Bahkan, permusuhan syaitan kepada kita berlaku dalam bentuk yang berbeza-beza, mengikut tahap keimanan setiap individu.

Lantaran itu, Sembang Iman Bilangan 10 antara lain memperkatakan cara untuk menepis gangguan syaitan. Walaupun iblis dan syaitan memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur sehingga ke hari kiamat dan bersumpah untuk melaksanakan misinya menyesatkan umat manusia, namun terdapat pelbagai cara yang telah diajarkan oleh Allah menerusi al-Quran dan as-sunah untuk menghindari daripada ancaman dan tipu daya syaitan, antaranya ikhlas dalam beragama. (rujuk al-Hijr: 39-40)

Dalam surah ini syaitan telah membongkarkan rahsianya yang amat penting. Dalam melaksanakan perjanjian dan permusuhannya kepada umat Islam sehingga hari kiamat, syaitan hanya tertahan kepada satu golongan manusia, iaitu orang yang ikhlas dalam beragama.

Ikhlas dalam konteks ini bermaksud mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, memperjuangkan agama, membela agama dan melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT.
Sementara itu, acap kali bermain difikiran kita persoalan seperti mengapa manusia menangis ketika berduka dan ketawa ketika gembira? Kenapa kita mengantuk di waktu malam? Bagaimanakah mimpi berlaku? Ke manakah suara yang dituturkan menghilang? Adakah gelombang suara itu terkumpul dalam satu lapisan di atmosfera, atau hilang begitu sahaja?

Sejauh manakah sains moden hari ini mampu memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan di atas ini? Yang pastinya, masih belum mampu dijawab oleh saintis sepenuhnya, bahkan masih tinggal dalam bentuk yang misteri hingga kini.

Lantaran itu topik ini cuba dikupas dalam ruangan Catatan dengan tajuk, Sains Tidak Mampu Jawab Banyak Persoalan Tabii.

Di sinilah letaknya hikmah ciptaan Ilahi yang sukar untuk difahamkan kecuali bagi mereka yang mempunyai mata hati yang mendalam.

Dan banyak lagi topik-topik menarik dalam Iman terbaru di pasaran. Pastikan anda mendapatkannya.


Sunday, November 18, 2012

Menjejaki keampunan Ilahi


2012/11/18 - 06:35:42 AM 

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Keampunan Ilahi ataupun magfirat adalah satu nikmat Ilahi yang amat bernilai. Seorang ahli ulama tafsir tersohor, al-Asfahani menegaskan bahawa magfirat adalah satu anugerah Ilahi yang tidak ada tolok bandingnya dalam kehidupan manusia. Tanpa keampunan Ilahi nescaya setiap insan pasti akan merasai azab seksa dan kemurkaan Ilahi. 

Justeru, Allah sentiasa menyeru manusia yang beriman supaya mencari dan menjejaki keampunan Allah. Jika diperhatikan di dalam al-Quran, Allah memerintahkan umat Islam supaya bersegera dan bersaing untuk merebut keampunan Allah sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (Surah al-Hadid, ayat 20) 


Perlu diinsafi bahawa perintah untuk mencari dan menggapai keampunan Ilahi tidak hanya terbatas kepada umat Islam saja, malah junjungan besar Rasulullah SAW sendiri juga diperintahkan supaya beristighfar dan mencari keampunan Allah walaupun umat Islam umumnya sedia mengetahui bahawa Rasulullah adalah seorang Nabi yang maksum, yakni terpelihara daripada sebarang dosa dan kesalahan. 


Menurut ulama tafsir tersohor, Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya yang terkenal, Tafsir al-Razi, menyatakan bahawa keampunan Ilahi mempunyai beberapa pengertian. Pertama, ia bererti penghapusan segala dosa dan kesalahan yang dilakukan. Kedua, ia juga bermaksud mengganti keburukan dengan kebaikan. Dalam erti kata lain, orang yang mendapat keampunan Ilahi, selain daripada segala dosanya dihapuskan, Allah juga berkenan untuk menambahkan kepadanya kebaikan yang tidak terhitung banyaknya. 

Ketiga, keampunan Allah juga merujuk kepada kesucian dan kesempurnaan rohani. Dalam pengertian ini, keampunan Allah dapat dikaitkan dengan ketenangan dan kesucian jiwa yang akhirnya memandu hidup manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi. Akhirnya, pengertian keampunan Ilahi adalah syurga. Di dalam al-Quran, keampunan itu sentiasa disebut bersama dengan syurga. 

Berdasarkan perintah Ilahi dan juga sunnah Rasulullah SAW, maka sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk mencari dan menjejaki keampunan Ilahi dalam setiap detik kehidupannya. Untuk mencapai keampunan Allah, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya ia tidak menjadi sia-sia yang akhirnya hanya mengundang kemurkaan Allah. 

Pertama, Rasulullah mengajar umatnya supaya memperbanyakkan istighfar dalam usaha untuk mengejar keampunan Allah. Rasulullah SAW sendiri beristighfar tidak kurang daripada 70 hingga 100 kali sehari semalam sebagai mana yang tercatat dalam hadis yang sahih. Begitu juga sahabat yang banyak beristighfar kepada Allah pada waktu malam di kala orang lain sedang nyenyak tidur lena dibuai mimpi yang indah sebagai mana firman Allah: Mereka sentiasa mengambil sedikit saja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan di akhir malam mereka beristighfar kepada Allah. (Surah al-Dzariyat, ayat 17-18) 

Kalaulah Rasulullah yang maksum beristighfar pada setiap hari dan malam sekurang-kurangnya 70 kali, maka manusia yang tidak maksum dan tidak pula dapat mengelakkan diri daripada buruan dosa, amat wajarlah beristighfar lebih daripada 70 kali berbanding dengan Rasulullah. 

Kedua, keampunan Ilahi hanya boleh diraih dengan mendekatkan diri ke hadrat Allah melalui ibadah dan amalan salih. 

Di dalam al-Quran, keampunan Allah selalu dihubungkaitkan dengan iman, takwa dan amal kebajikan seperti yang dapat difahami dalam firman Allah: Orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang yang beriman serta beramal salih, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah Fatir, ayat 7) 

Ibadah menurut pengertian syarak ialah ketundukan dan kepatuhan yang penuh tulus lagi kudus serta ketaatan yang mutlak dan tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah yang dikenangkan limpahan kurnia kebaikan-Nya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan-Nya dan kekuasaan-Nya. Ketundukan dan kepatuhan ini bukan hanya datang daripada umat manusia tetapi juga sekalian makhluk Allah yang menghuni alam ini. 

Firman Allah: Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan suka rela atau dengan terpaksa; dan (yang demikian) juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang. Bertanyalah (wahai Muhammad): Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi? Jawablah: Allah. (Surah al-Rad , ayat 15 - 16) 


Hukum membaca surah Yasin untuk jenazah


2012/11/18 - 06:34:07 AM 
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Suatu yang menjadi kelaziman apabila berlaku sesuatu kematian ialah membaca ayat al-Quran di sisi mayat. Ia bermula sebaik saja mayat dibaringkan di rumah sehinggalah ke saat untuk memandikannya. Malah ada waris dan sanak saudara si mati mengkhatam al-Quran melalui bacaan yang dibahagikan mengikut juzuk. 

Sesiapa saja yang datang melawat jenazah akan mengambil buku bacaan surah Yasin atau al-Quran untuk dibaca bagi dihadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati. Surah yang dibaca bukan setakat surah Yasin tetapi juga surah lain dengan niat yang satu iaitu untuk dihadiahkan pahala bacaan kepada si mati. 

Melihat kepada apa yang diamalkan ini, ia tidaklah dilarang kerana memang terdapat beberapa nas dan dalil bahawa bacaan surah Yasin di sisi mayat adalah dituntut. 


Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu (Riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban).

Ramai ulama menyebut di dalam kitab mereka mengenai kewajaran membaca surah Yasin di sisi si mati. Mereka termasuklah al-Imam al-Nawawi, al-Khatib al-Syarbini, Wahbah al-Zuhayli, Sayyid Sabiq dan Daud al-Fatani.

Al-Imam al-Qurtubi ada menyatakan bahawa lafaz orang mati daripada kalangan kamu itu boleh membawa kepada dua tafsiran iaitu membacanya di sisi mayat selepas kematiannya dan membacanya di tanah perkuburan.

Berkaitan dengan saranan Rasulullah SAW agar surah Yasin dibacakan berhampiran dengan orang-orang yang hampir mati ialah supaya rohnya mudah keluar. 

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Surah Yasin itu ialah hati al-Quran, sesiapa yang membacanya dengan mengharap keredaan Allah dan kebahagiaan hidup di hari akhirat akan diampunkan dosanya dan bacalah surah Yasin ke atas orang mati daripada kalangan kamu.

Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan membaca surah Yasin di samping surah lain, antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa membaca Yasin pada malam hari kerana menuntut keredaan Allah, nescaya akan dihapuskan oleh Allah dosa-dosanya, bacalah ia di hadapan orang yang mati daripada kalangan kamu. (Riwayat at-Tirmizi)

Daripada Anas RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Bahawa bagi tiap-tiap sesuatu itu ada hati dan hati al-Quran ialah Yasin, maka barang siapa membaca Yasin, maka Allah akan mencatat seperti bacaan al-Quran 10 kali. (Riwayat at-Tirmzdhi).

Berhubung permasalahan ini juga, Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa manusia yang masih hidup boleh menjadikan perbuatannya sebagai pahala kepada si mati termasuk bacaan al-Quran. Walaupun pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie menyatakan bahawa pahala bacaan tidak sampai tetapi Ashab al-Syafie (pengikut mazhab Syafie) menyatakan bahawa pahala bacaan tersebut sampai. Pendapat ini turut dipegang oleh Imam Hambali.

Menurut seorang ulama besar Universiti al-Azhar Mesir iaitu al-Marhum al-Syeikh Atiyyah Saqar dalam himpunan fatwanya, tiga cara yang sepatutnya dilakukan berkaitan dengan hal sedekah pahala bacaan al-Quran adalah seperti berikut: 

Membaca ayat al-Quran dan kemudian berdoa supaya dirahmati dan diampunkan dosa si mati. Si mati hendaklah bertawassul dengan perbuatan salihnya iaitu membaca al-Quran dan kemudian doakan kerahmatan buat si mati;

Membaca ayat al-Quran dan kemudian dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan Allahumma awsil thawaba ma qaranahu li fulan (Ya Allah sampaikanlah pahala apa yang telah kami baca kepada roh si polan);

Diniatkan terlebih dulu di permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Quran bahawa pahala bacaan tersebut adalah untuk si polan bin si polan.

Seorang ulama Nusantara iaitu Syeikh Daud al-Fatani pernah ditanya apakah hukumnya membaca doa khatam al-Quran dengan meniatkan pahala bacaan kepada ruh si mati. Beliau menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan, seperti terjemahan doa ini Ya Allah, jadikanlah pahala bacaan kami sebagai tambahan kemuliaan bagi Nabi SAW dan jadikanlah juga pahala yang sama dan gandakan untuk roh si polan atau dalam suratan amalannya.

Jika ada yang tidak mahu atau tidak mampu untuk membacakan ayat-ayat al-Quran kepada si mati, digalakkan juga mendoakan kepada si mati agar diberi keselamatan, kesejahteraan dan pengampunan daripada Allah buat orang yang meninggal dunia itu.



Thursday, November 8, 2012

Hati 'berpenyakit' hilang pertimbangan



Hati adalah cermin kepada segala perbuatan. Setiap kali melakukan sesuatu, hati kita akan mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Berbeza dengan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya. 

Rasulullah SAW mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah. 


Justeru, agama Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati. Hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika di akhirat nanti, manakala hati yang kasar dan keras adalah hati yang terhijab daripada kebenaran. 

Firman Allah SWT: “Dan barang siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” (Surah al-Israa, ayat 72) 

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita seperti puasa, sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati menjadi baik. Tujuan berpuasa adalah untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa. 

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah sewaktu tiada mata yang melihat dan berbuat baik semasa ramai orang menjadi jahat. 

Dalam Islam, terdapat beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati yang berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit. 

Firman Allah SWT: “Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 10) 

Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi keras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa. 

Firman Allah SWT: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’aam, ayat 43) 

Hati yang keras jika tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al-Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya. 

Allah SWT berfirman: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 74) 

Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembutkan hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu. 

Setelah itu, hati menjadi tertutup dan apabila hati sudah tertutup ia tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 14) 

Akhirnya hati bagai dikunci mati iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah SWT: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Surah al-Baqarah, ayat 6-7) 

Seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya. Justeru, setiap Muslim wajiblah menjaga hati seperti menjaga harta yang tidak ternilai harganya. Kita tidak akan mempunyai hati yang kedua, yang boleh menggantikan hati yang mati. 

Bagaimanapun, kita mampu menghidupkannya kembali dengan iman dan takwa. Usaha menghidupkan hati perlu dilakukan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh. Ibarat menjaga harta paling mahal, kita tidak ingin hati rosak disebabkan kotoran yang tidak dibuang. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

2012/11/08 - 07:51:23 AM 

Wednesday, November 7, 2012

Kiraan tarikh hijrah



ISLAM mengikut tarikh hijrah dikira sejak hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622M). Pengiraan hari dan bulan hijrah adalah berdasarkan peredaran bulan. Oleh sebab itu, tarikh hijrah juga dinamakan tarikh Qamariah (Arab: al-qamar - bulan).

Nama 12 bulan yang kini digunakan sudah ada sebelum masa Islam. Nama bulan seringkali mengikut musim atau perilaku orang Arab (khususnya pemuda) dengan nama hari. Dalam bahasa Melayu digunakan nama (Isnin-Ahad) yang dipakai orang Arab pra-Islam.

Penetapan hijrah Nabi Muhammad SAW sebagai tarikh awal Islam bermula daripada keturunan Ali bin Abu Talib (khalifah ke-4) kepada Khalifah Umar (khalifah ke-2) kerana peristiwa hijrah merupakan kejayaan awal perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam.

Pengiraan hari, bulan dan tahun berdasarkan peredaran bulan (pengiraan Qamariah). Pengiraan waktu berdasarkan matahari dan bulan disebut dalam surah Yunus ayat 5. Manakala pengiraan satu tahun 12 bulan disebut dalam surah al-Taubah ayat 36 dan 37. Ada bulan yang terdiri dari 30 hari ialah bulan ganjil (1,3,5,7,9 dan 11) dan yang terdiri dari 29 hari ialah bulan genap (2,4,6,8,10 dan 12).

Tarikh Hijrah atau Qamariah adalah berdasarkan peredaran bulan (Arab: qamar) mengelilingi bumi. Satu tahun Qamariah terdiri dari 12 bulan, 354 hari, lapan jam, 47 minit dan 36 saat. Setiap bulan terdiri dari 29 hari, 12 jam, 44 minit dan tiga saat.

Tahun Gajah
Sebelum ada penetapan tahun hijrah, orang Arab menamakan sesuatu tahun mengikut peristiwa luar biasa yang terjadi pada tahun tersebut, misalnya Tahun Gajah pada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tahun pertama (622), Baginda di Madinah disebut sebagai Tahun Azan kerana pada tahun itu disyariatkan azan.
Tahun ke-2 (623) Nabi Muhammad SAW di Madinah dinamakan Tahun Izin Perang, Tahun Puasa, Tahun Zakat (Tahun Korban) kerana pada tahun itu disyariatkan keizinan berperang, puasa, zakat dan korban.
Selain itu, tahun ke-9 (629), tahun Nabi Muhammad SAW menetap di Madinah disebut sebagai Tahun Taubah. Dalam surah ini dinyatakan bahawa Tuhan dan Rasul-Nya memutuskan ikatan dengan kaum musyrik di Mekah.

Tahun ke-10 (630) disebut sebagai Tahun Perpisahan kerana Baginda SAW mengerjakan haji di Mekah.

Penetapan tahun hijrah
Tahun Hijrah ditentukan oleh Khalifah Umar pada 17 H/638 M. Untuk menetapkan pengiraan tahun hijrah, Umar mengundang para sahabat. Ada sahabat yang mengusulkan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dikira sebagai permulaan tahun Islam.

Ada pula yang mengusulkan turunnya wahyu pertama. Yang lainnya mengusulkan Perang Badar (17 Ramadan) dan peristiwa penting Nabi Muhammad SAW. Ali bin Abu Talib kemudiannya mengusulkan peristiwa hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam.

Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah pada 8 Rabiulawal/20 September 622. Umar menerima usul ini kerana hijrah merupakan titik pemisah di antara masa Mekah dengan Madinah dan merupakan perjuangan awal Baginda SAW dalam menyebarkan Islam.

Bulan Arab kuno
Menurut sejarawan Islam, Abu Raihan al-Biruni (973-1048), di kalangan bangsa Arab kuno sudah terdapat nama 12 bulan yang kini tidak digunakan lagi dalam dunia Arab. Nama kuno ke-12 bulan ini ialah al-Mu'tamir (bersamaan dengan Safar dan dianggap sebagai bulan pertama), Najir, Khawwan, Bussan, Hantam (Hanam), Zaba' (Zubi), al-Asamm, Adil, Nafik, Waghl, Huwa' dan Burak.

Nama hari
Pada mulanya orang Arab membahagikan satu bulan kepada tiga bahagian: masing-masing 10 hari dengan nama: Gurar, Nufal, Tusa', 'Usar, Bid, Dura', Zulam, Hanadis (Duhm), Da'adi dan Mihak.

Permulaan hari ditetapkan dengan kemunculan hilal (al-hilal: anak bulan). Seterusnya dipakai satuan yang terdiri dari tujuh hari yang dikenali dengan satu minggu dengan nama: Awwal (Ahad), Ahwan, Jubar, Dubar, Mu'nis, Aruba' dan Siyar.

Mengikut masa Islam, nama ketujuh-tujuh hari ini ialah al-Ahad, al-Ithnian, al-Thulatha', al-'Arabia, al-Khamis, al-Jumu'ah dan al-Sabt yang diMelayukan menjadi Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.


ARKIB : 30/10/2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...