بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, May 31, 2011

Wanita lebih berwibawa jika kuasai pelbagai ilmu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Wanita lebih berwibawa jika kuasai pelbagai ilmu
Oleh Nik Salida Shuhaila

2011/05/26
Ilmu tinggi membantu golongan ibu dalam seruan dakwah dan mempertahankan hak

HARI ini, boleh dikatakan setiap rakyat Malaysia mampu menuntut ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak. Ia jauh berbeza beberapa puluh tahun lalu, di mana anak perempuan hanya dibenarkan menuntut ilmu secara tidak langsung di rumah, itupun hanya ilmu domestik. Hanya segelintir ibu bapa yang tidak jumud menghantar anak perempuan ke sekolah.

Peluang menuntut ilmu yang terbentang luas di depan mata tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap wanita hari ini. Walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu, komitmen ini perlu dilakukan secara berterusan kerana wanita jugalah yang akan mendidik anak.

Ilmu yang paling penting untuk ditekuni setiap wanita ialah ilmu al-Quran, hadis, sirah dan feqah. Tidak kurang pentingnya juga, pengetahuan biografi tokoh wanita di zaman Rasulullah SAW yang banyak menyumbang kepada legasi Muslim hari ini.

Ilmu al-Quran menjadi sumber utama yang akan menjadi teraju cara beribadah dan bermuamalah, sekali gus melindungi wanita tergelincir daripada cara hidup sebagai Muslimah seperti dituntut Allah.

Hadis dan sunnah pula memperincikan lagi sahsiah yang harus diteladani sebagai umat Rasulullah SAW. Aisyah contohnya, pernah menjadi pakar rujuk dalam ilmu hadis dan sunnah, malah dalam usia masih muda beliau adalah pakar feqah pertama dalam Islam.

Bahkan Imam Az-Zuhri pernah mengatakan, “jika ilmu Aisyah dikumpulkan, lalu dibandingkan dengan ilmu semua isteri Rasulullah dan seluruh Muslimah, nescaya ilmu Aisyah lebih unggul”. 

Kaum lelaki juga takjub dengan kebijaksanaan wanita bernama Aisyah ini sehinggakan putera Urwah bin Zubair iaitu Hisyam meriwayatkan, ayahandanya pernah mengatakan “aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih pakar dalam bidang feqah, perubatan dan syair daripada Aisyah”.

Ilmu sirah tentunya memberi banyak pengajaran kerana sebagai seorang manusia yang mempunyai naluri keibuan, ilmu inilah juga yang akan diamalkan untuk membimbing generasi muda dengan mengambil teladan daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW serta sahabat.

Ilmu feqah pula untuk mengetahui hukum hakam yang qat’i dan peraturan hidup sebagai Muslim seperti termaktub dalam sumber yang utama mengikut kronologi iaitu al-Quran dan Sunnah. Metod untuk memutuskan sesuatu hukum yang memerlukan ijma’ ulama juga harus diketahui, supaya wanita tidak jahil untuk memahami bagaimana sesuatu hukum itu diputuskan.

Setelah ilmu itu ditekuni dengan baik dan betul, barulah ilmu berkaitan muamalah insani dipelajari serta difahami, termasuk urusan rumah tangga dan kemahiran hidup lain. Walaupun pakar dalam bidang agama, kecerdasan akal Aisyah tidak dapat dinafikan dalam ilmu sastera, sejarah, seni dan perubatan.

Wanita harus menguasai ilmu supaya dapat menyatakan sesuatu yang hak. Sejarah membuktikan pada awal kedatangan Islam sehingga berakhirnya zaman Rasulullah SAW, wanita dimartabatkan setanding lelaki dalam apa juga bidang, termasuk ketenteraan dan keusahawan.

Kehadiran wanita dalam setiap lapangan kehidupan memungkinkan mereka memperjuangkan keperluan hidup sebagai seorang wanita kerana hanya mereka yang tahu kekuatan dan kelemahan mereka berbanding kekuatan serta kelemahan lelaki.

Menerusi penguasaan ilmu yang luas, wanita akan dapat memiliki kefasihan lisan kerana ilmu yang tinggi membantu mereka dalam seruan dakwah.

Ahnaf bin Qais mengatakan, “Aku telah mendengar khutbah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta khalifah sesudahnya, tetapi aku tidak pernah mendengar perkataan dari lisan seorang manusia yang lebih baik dan lebih indah dari perkataan yang keluar dari lisan Aisyah.”

Sayangnya, hari ini dengan pelbagai kemudahan, ada wanita tidak mahu menambah ilmu yang terbentang di depan mata, apatah lagi mempelajari al-Quran, hadis, sirah dan feqah.

Bayangkan bagaimana proses tarbiah insan dapat dilakukan dengan betul jika ibu tidak tahu membaca walau sebaris ayat al-Quran. Sedangkan cabaran dunia hari ini tidak jauh bezanya dengan zaman awal kedatangan Islam sesudah jahiliah, penganut Islam pada masa itu bertempur dengan manusia yang tandus akhlak dan moral.

Justeru, wanita haruslah meneruskan legasi pimpinan wanita terdahulu yang mendampingi Rasulullah SAW kerana ilmu dan akhirat, bukan dunia dan pangkat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom 

Tafsir Ayat: Allah berhak beri hidayah walaupun terhadap insan lakukan kejahatan


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Tafsir Ayat: Allah berhak beri hidayah walaupun terhadap insan lakukan kejahatan
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2011/05/26
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar.

Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah.

Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa.

Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab.

Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala. 

Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya.

Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang musyrikin.

Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan sedekah kepada mereka.

Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah.

Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik.

Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam, keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.

Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Sebab Allah menurunkan bencana atas manusia


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Sebab Allah menurunkan bencana atas manusia
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

2011/05/26
Umat Islam perlu sedar ia satu peringatan, amaran agar kembali ke pangkal jalan

TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.

Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang telah kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa kamu.”

Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik mafhum ayat di atas.

Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.

Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba. 

Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.

Dapat difahami daripada ayat di atas, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.

Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ sebagaimana ingatan Tuhan dalam surah al-Asr.

Allah Taala berfirman melalui surau Hud, ayat 52 yang bermaksud: “Wahai kaum-Ku, mintalah ampun dari Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.”

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda melalui hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.”

Daripada Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:


  Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.


  Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.


  Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.


  Apabila anak menderhakai kedua ibu bapanya.


  Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.


  Apabila suami terlalu mentaati isteri.


  Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.


  Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.


  Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.


  Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

  Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.


  Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.


  Apabila ramai lelaki memakai sutera.


  Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.


  Apabila wanita mula bermain alat muzik. 

Rufaidah jururawat pertama dalam sejarah Islam


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Rufaidah jururawat pertama dalam sejarah Islam
Oleh Ibrahim Abdullah

2011/05/26
KHIDMAT jururawat pertama Islam bermula pada zaman Nabi Muhammad SAW yang dikenali dengan nama Siti Rufaidah binti Saad. Beliau selalu memberikan rawatan terbaiknya terutama kepada pesakit yang cedera di medan perang.

Eropah dan Amerika Syarikat mengenali Florence Nightingale sebagai pelopor jururawat moden. Negara di Asia Barat memberikan kedudukan awal kepada Rufaidah, seorang jururawat Islam yang terkenal.
Perjuangan dan kemasyhuran Rufaidah secara berterusan daripada generasi ke generasi khususnya di Arab Saudi dan diteruskan ke generasi moden di Asia Barat sehingga ini.

Rufaidah (570-632 SM) tokoh jururawat Islam tersohor itu muncul pada masa peperangan dalam Islam. Prof Dr Omar Hasan Kasule, dalam kertas kerjanya pada Persidangan Antarabangsa Kejururawatan ketiga di Brunei Darussalam pada 1998 menyatakan, Rufaidah adalah jururawat profesional pertama dalam sejarah Islam.

Beliau hidup pada zaman Rasulullah SAW pada abad pertama hijrah dan diiktiraf sebagai jururawat teladan. Rufaidah adalah seorang pemimpin, penggerak, mampu memberi motivasi kepada orang lain. Beliau turut digambarkan memiliki pengalaman klinikal yang dapat disalurkan kepada jururawat lain untuk dilatih dan bekerja dengannya.

Rufaidah tidak hanya melaksanakan tugas sebagai jururawat dalam aspek klinikal semata-mata, namun melaksanakan tugas komuniti dan mencari punca pelbagai masalah sosial yang boleh menyebabkan timbulnya bermacam penyakit.

Rufaidah bertindak sebagai jururawat kesihatan komuniti, tidak memandang miskin atau kaya. Beliau adalah pekerja sosial yang cekap menjadi inspirasi bagi kerjaya jururawat dunia Islam.
Rufaidah tinggal di Madinah dan lahir di Yathrib termasuk dalam kaum Ansar, golongan pertama menganut Islam di Madinah. Ayahnya seorang doktor dan Rufaidah mempelajari ilmu perawatan ketika bekerja membantu ayahnya.

Rufaidah mengabdikan diri merawat kaum Muslim yang sakit di luar kawasan Masjidil Nabawi ketika perang Badar, Uhud, Khandak dan perang Khaibar dengan beliau menjadi sukarelawan dan merawat korban yang terluka dan cedera parah akibat peperangan. Beliau juga mendirikan hospital lapangan.

Nabi Muhammad SAW sendiri memerintahkan agar tentera yang cedera parah dirawat oleh Rufaidah. Pernah digambarkan saat perang Khandak, Saad bin Maadh yang terluka terkena panah di tangannya dirawat oleh Rufaidah hingga sembuh.

Rufaidah turut melatih beberapa wanita untuk menjadi jururawat dan dalam perang Khaibar mereka meminta izin Nabi Muhammad SAW untuk ikut serta di garisan belakang pertempuran bagi merawat mereka yang terluka dan Nabi mengizinkannya.

Rufaidah digambarkan memiliki keperibadian yang luhur dan simpati kepada semua orang dan melayani pesakit dengan baik. Sentuhan perikemanusiaan adalah hal yang penting bagi jururawat.

Sejarah Islam juga mencatatkan beberapa nama yang bekerja bersama Rufaidah seperti Ummu Ammara, Aminah, Ummu Ayman, Safiyah, Ummu Sulaiman dan Hindun. 

Mukmin cinta ilmu pengetahuan dipermudah laluan ke syurga


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Mukmin cinta ilmu pengetahuan dipermudah laluan ke syurga
 
Oleh Hizbur Rahman

2011/05/31

Pelajar perlu hormat guru, manfaat pelajaran diberi

PELAJAR yang cemerlang dan berjaya tidak dinilai kepada prestasi saja kerana tiga faktor iaitu sikap, kemahiran dan ilmu perlu dicapai secara seimbang. Kejayaan mendapat semua A bukan rujukan tetapi pencapaian turut dinilai melihat kepada akhlak dan sikap.

Zaman serba canggih ini, sikap pelajar juga semakin canggih. Mereka sudah hilang rasa hormat terhadap guru, malah ada yang berani bergaduh dan bertumbuk dengan guru hanya kerana tidak puas hati apabila ditegur. Walhal, teguran guru demi kebaikan mereka juga.

Berbeza dengan zaman dulu, guru disanjung dan diberi kepercayaan mendidik anak murid oleh ibu bapa. Alangkah sedihnya melihat akhlak pelajar zaman ini bukan saja kepada guru tetapi juga terhadap masyarakat.
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga percakapan dan tingkah laku apabila berdepan dengan guru. Mereka juga tidak segan meminta guru mendoakan kejayaan kerana berkat doa guru turut mempengaruhi kecemerlangan pelajar.

Sayang juga kerana ada pelajar yang ke sekolah bukan untuk menimba ilmu tetapi kerana terpaksa disebabkan semua rakan sebaya pergi sekolah. Apabila dibuat dalam keadaan terpaksa, maka akan timbul masalah.

Justeru, pelajar perlu mengubah sikap. Jika tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka apa yang kita dapat. Oleh itu, jangan biarkan diri terseksa melakukan kerja tidak disukai sebaliknya berusaha mengubah diri supaya lebih menyukai suasana pembelajaran.

Begitu juga dengan mereka yang melakukan kerja sekolah hanya mahu lulus periksa kerana pelajar yang mahu cukup sekadar lulus tidak akan berusaha lebih gigih selain berkira dengan masa dihabiskan mengulang kaji pelajaran. 

Lebih baik menjadi pelajar yang memikirkan bagaimana untuk memiliki kejayaan dan memanfaat pencapaian itu demi kejayaan orang lain. Kerja keras yang menghasilkan kejayaan akan dijadikan contoh mereka yang ingin berjaya. 

Imam al-Ghazali berkata: “Kita mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan tetapi kita tidak ikut jalan untuk berjaya. Ingat wahai pelajar sekalian bahawa perahu tidak akan belayar di atas daratan.”

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berjalan untuk keperluan menuntut ilmu maka Allah membimbingnya ke jalan syurga, sesungguhnya orang yang berilmu itu diminta keampunan oleh malaikat yang ada di langit dan makhluk yang ada di bumi, sehingga ikan-ikan yang ada di laut dan sesungguhnya ulama (orang berilmu agama) pewaris nabi.” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Dia (Allah) telah mengajar kepada Nabi Adam nama-nama semuanya, kemudian diperlihatkan nama-nama itu pada Malaikat dan Allah berfirman: “Beritahukanlah nama-nama itu pada-Ku kalau kamu yang benar. Malaikat menjawab: Maha suci Allah tidak ada ilmu bagi kami, kecuali apa-apa yang Engkau ajarkan, sesungguhnya Engkau maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang berjalan di atas muka bumi adalah mereka yang mengajar manusia kepada kebaikan.”

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis 

'Panjang Tangan' Isteri Rasulullah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Telah dirawayatkan dalam sebuah hadis Rasulullah saw bahawa kebanyakan isteri-isteri Rasulullah berusia muda.. sedangkan Rasulullah menjangkau usia tua.. tatkala membayangkan bahawa sekiranya Allah swt mewafatkan baginda ketika itu pastilah mereka akan menjadi balu ketika usia mereka masih muda.. kebanyakan daripada isteri2 yang mulia ini amat berharap Allah mengizinkan mereka mati bersama2 suami keasayangan mereka.. dan berharap selepas kewafatan Rasulullah kebanyakan daripada mereka amat mengharapkan akan mati dahulu.. agar dapat segera bersama2 dengan Rasulullah saw semula.. lantaran itu mereka berbincang sesama meraka dan bersepakat untuk bertanya kepada Rasulullah tentang hal itu..


Pada suatu ketika isteri2 Rasulullah saw telah bertanyakan kepada Nabi, siapakah antara mereka yang akan dimatikan oleh Allah swt seiring dengan kewafatan Rasulullah saw.. lalu Rasulullah saw memberitahu para Ummahatul Mukminin itu.. bahawa isteri Nabi yang akan yang akan dimatikan oleh Allah swt seiring dengan kewafatan Rasulullah saw ialah mereka yang 'panjang tangan'..


Sebaik sahaja para Ummahatul Mukminin itu mendengar jawapan Rasulullah saw mereka pun berpakat dan bergilir2 mengukur tangan-tangan mereka.. dan mendapati tangan Siti Saodah lebih panjang daripada tangan2 para isteri yang lain.


Selepas beberapa ketika setelah Rasulullah wafat, tiba2 mereka dapati bukan Siti Saodah yang segera menyusul pulang ke rahmatullah sebaliknya yang pulang dahulu ialah Zainab.. Dengan peristiwa itu para isteri Nabi ini memikirkan semula apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan panjang tangan oleh Rasulullah saw itu.


Mengikut riwayat, isteri Rasulullah yang bernama Zainab ini ialah seorang pengusaha dan peniaga kulit2 binatang.. kulit2 itu direndam dengan bahan2 tertentu untuk menghilangkan baunya.. kemudian dijemur sebelum dijual.. perniagaannya sangat maju dan meluas ketika itu.. kulit bukan sahaja dijadikan kasut.. malah dijadikan permaidani, timba, atap dan dinding rumah.. dan ini menjadikan Zainab tidak terlalu bergantung kepada pemberian Nabi saw.. justeru Zainab menggunakan sebahagian besar daripada keuntungan perniagaanya untuk bersedekah serta membantu orang2 susah dsb.. maka terkenallah di kalangan para isteri nabi bahawa Zainab adalah isteri Nabi yang banyak memanjangkan tangan menghulur bantuan..


Dengan demikian fahamlah mereka apa yang dimaksudkan dengan panjang tangan itu bukanlah ukuran fizikal tetapi membawa makna tangan yang menderma, bersedekah dan berbuat kebaikan untuk meringankan orang lain.. Peribahasa 'panjang tangan' yang diberitahu oleh Rasulullah saw ini amat berbeza dengan panjang tangan dalam peribahasa orang2 melayu.. kerana orang2 Melayu memahami makna panjang tangan ialah mengambil hak orang lain tanpa pengetahuan atau kebenaran atau dengan kata lain mencuri..

Dalam al-Quran banyak ayat menitikbertkan soal memberi infak.. antaranya..

Surah At-Taubah ayat 41 Islam mengajarkan kita menggunakan harta kita ke jalan menuju Allah

ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ وَجَـٰهِدُواْ بِأَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (41) 

Dan dalam surah al-Baqarah ayat 3

وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ

serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3)

Dan dalam surah Ibrahim ayat 7

لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬

Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (7)

dan banyak lagi..

Sumber: 'Panjang Tangan' Isteri Rasulullah

Saturday, May 28, 2011

Allah Membuat Perbandingan Untuk Memberi Peringatan




A026

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik; (Al-Baqarah 2:26)

A027

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. (Az-Zumar 39:27

A089
  
Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran. (Al-Israa' 17:89)  

 A024
 
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (Ibrahim 14:24)

 A025
  
Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).(Ibrahim 14:25)

 A075

Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu). (Al-Nahl 16:75

 A076

Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar)? (Al-Nahl 16:76)

 A029

Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid). (Az-Zumar 39:29)

4 Syarat Hidupkan Hati Dengan Al-Quran

Oleh : MOHD SHUKRI HANAPI



Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang.

Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.

Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.

Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.

Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan.

Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.

Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:

alt"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" -Surah Taha, ayat 1-4

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:

Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." -Surah al-Isra’, ayat 78

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.

Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.

Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

Friday, May 27, 2011

Allah tumpaskan tentera bergajah



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) 

Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) 

Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan; (3) 

Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; (4)

Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. / (5) - 
(Surah al-Fil )

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.

Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.

Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.

Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.

Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah.

Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.

Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan.

Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San'a.

Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bilada itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:

i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil.

iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.

Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?

Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat:

i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra'.

ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj.

Sayid Qutub berkata: "Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju."

Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat.

Tentera Allah dalam bentuk burung

Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:

i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan al-Akhfash.

ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.

iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.

iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata' dan Abu Soleh.

v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam.

Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu:

i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas.

iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar.

Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut:

i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair.

ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair.

iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.

Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar.

Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut."

Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu.

Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya.

Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang.

Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.

Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.

Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.

Imam Muhammad Abduh berkata: "Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah."

Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.

Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa.

Abdul Muttalib berkata: "Burung tersebut amat pelik." Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.

Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku.

Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.

Utusan Malaysia

Boleh baca  Surah al-Fil - sunnatullah yang diperlekehkan

Pusaka gugur bagi waris lain agama, pembunuh



2011/05/27
Golongan ada hubungan keluarga dengan bukan Islam perlu buat wasiat elak masalah

SUDAH banyak dibincang dalam siri sebelum ini mengenai syarat pewarisan, senarai waris berhak, bahagian-bahagian bagi waris berkenaan, proses pengurusan harta pusaka serta firman dan hadis yang menyokong. Minggu ini, kita akan membincangkan mengenai waris yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka.

Umum perlu tahu bahawa ilmu faraid ini amat penting dan hendaklah dipelajari serta diamalkan kerana ia adalah ilmu yang mula-mula sekali akan dicabut oleh Allah SWT daripada umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid, dan ajarkanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu, ia adalah ilmu yang akan dilupakan  dan ia adalah suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.”

Dalam situasi tertentu seseorang waris yang berhak mewarisi harta pusaka boleh terhalang daripada menerima harta pusaka si mati. Sebab-sebab yang menghalangnya daripada menerima pusaka ialah membunuh dan berlainan agama.

Ahli-ahli fekah bersepakat bahawa jika seseorang itu membunuh dan ia adalah waris kepada orang yang dibunuh, maka si pembunuh adalah tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka orang yang dibunuh itu. Sebagai contoh sekiranya seorang anak lelaki telah membunuh bapanya, anak lelaki itu adalah terhalang daripada mewarisi harta pusaka bapanya itu.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang pembunuh berhak mewarisi harta orang yang dibunuhnya.” Dalam Islam, membunuh itu terdiri daripada empat jenis iaitu pembunuhan sengaja (qatlu al-amad), mirip sengaja (shibhul amad), tersalah (khata’) dan tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’).

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah An-Nisa (4):93).
Jika dilihat daripada firman Allah di atas, membunuh seorang Muslim itu satu perbuatan yang amat berat. Maka dengan itu, di dalam pewarisan juga, perbuatan membunuh itu juga dipandang serius. Justeru, ahli fekah telah bersetuju bahawa “siapa yang menyegerakan agar mendapatkan sesuatu sebelum waktunya, maka dia tidak mendapatkan bahagiannya.”

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli fekah mengenai apakah jenis pembunuhan yang menghalang seseorang itu dari mewarisi harta pusaka. Contohnya pada mazhab Maliki berpendapat bahawa hanya pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja atau yang dirancang digugurkan hak waris. Menurut mazhab Syafie pula, segala jenis pembunuhan dapat menghalang seseorang itu daripada mempusakai harta pusaka termasuk pembunuhan yang tidak sengaja.

Firman Allah yang lain bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman atasnya kerana telah membunuh orang lain atau kerana sudah melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia telah membunuh semua manusia.” (Al-Nisa:32).

AmanahRaya amat berhati-hati dalam pengendalian kes seumpamanya dan menerusi pengalaman selama 90 tahun penubuhannya, AmanahRaya dapat menyelesaikan kes seperti ini tanpa wujud keraguan di kalangan waris yang lain.

Selain daripada pembunuhan, satu lagi perkara yang boleh menghalang seorang yang layak menerima harta pusaka ialah dengan adanya perbezaan agama di antara si mati dan warisnya. Sebagai contoh, sekiranya si mati adalah seorang Muslim dan anak lelakinya bukan Muslim, anak lelaki si mati itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya walaupun dalam situasi biasa, anak lelaki adalah waris bagi si mati. Ini disokong oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berhak seorang Muslim mewarisi orang kafir, dan tidak pula orang kafir mewarisi Muslim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai contoh, baru-baru ini berlaku satu keadaan yang mana seorang bukan Islam telah memeluk agama Islam tetapi tidak membuat perancangan pewarisan. Apabila beliau meninggal dunia, ahli keluarganya menuntut harta pusakanya di mahkamah. Akan tetapi memandangkan beliau seorang yang beragama Islam sedangkan keluarganya bukan beragama Islam, maka harta pusaka beliau jatuh kepada Baitulmal negeri sesuai dengan pandangan mazhab Shafie seperti yang diterangkan di atas.

Sesungguhnya hakikat kehidupan, anak amat menyayangi ibu bapa mereka begitu juga sebaliknya. Harta pusaka pula dapat dilihat sebagai salah satu pemberian kasih sayang. Hari ini, banyak kes yang membabitkan anak atau ibu bapa yang memeluk Islam dan meninggalkan waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim.

Sehubungan itu, seseorang yang mempunyai waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim perlu mengambil berat mengenai perkara ini dan seterusnya perlu sedar bahawa mereka perlu membuat perancangan pewarisan yang sewajarnya. Melalui perancangan pewarisan, seseorang Muslim itu dapat memberikan 1/3 daripada harta pusaka peninggalan mereka kepada orang tersayang yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka mereka, terutama dalam kes anak yang memeluk Islam, sedangkan meninggalkan ibu bapa yang masih beragama asal mereka.

Sememangnya kasih sayang tidak dapat diukur dengan pemberian harta pusaka tetapi ia cukup untuk melambangkan tanda ingatan atas segala pengorbanan ibu bapa kepada kita. Bertepatan dengan tuntutan Islam bahawa setiap dari kita perlu mendapat restu ibu bapa sebelum Allah merestui kita.

Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa”. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. (al-Nisa 4:36).

Dengan membuat perancangan pewarisan iaitu melalui penulisan wasiat, perbalahan atau ketidak puasan hati dapat dielakkan. Di Amanah Raya kami mempunyai kepakaran dalam Penulisan Wasiat mengikut undang-undang dan memenuhi keperluan syarak (bagi yang beragama Islam). Penulisan wasiat adalah antara mekanisme perancangan pewarisan harta yang menzahirkan keinginan seseorang terhadap strategi pengagihan harta yang dimiliki. 

Thursday, May 26, 2011

Nabi SAW luka dibaling batu


DI KALANGAN kita sudah tentu pernah mendengar bahawa Rasulullah mengalami luka yang agak parah ketika Perang Uhud. Walaupun dikelilingi pahlawan Islam namun dalam satu kejadian baginda parah apabila seketul batu yang agak besar melayang tepat mengenai baginda.

Batu itu dikatakan dibaling oleh pihak musuh iaitu Utbah bin Abu Waqqas (dalam setengah riwayat yang lain, baginda sebenarnya dipanah tepat mengenai topeng muka besi yang dipakai).

Batu tersebut tepat mengenai muka baginda menyebabkan luka yang teruk walaupun baginda memakai topeng besi ketika itu.

Bayangkan kuat dan besarnya batu yang dibaling sehingga topeng daripada besi itu pecah. Akibatnya serpihan batu yang pecah itu menusuk menembusi pipi Rasulullah dan sebatang gigi baginda turut patah.

Baginda juga dikatakan diserang oleh seorang tentera berkuda dari pihak musuh, iaitu Abdullah bin Qamiah.
Abdullah melibas pedangnya pada bahu baginda, namun tidak berhasil untuk mengoyak baju besi apatah lagi mencederakan baginda.

Namun akibat tetakan itu dikatakan baginda rasa sakit pada bahu itu lebih sebulan lamanya.

Akibat tidak puas hati baginda tidak berjaya dibunuh, Abdullah lagi sekali cuba menetak baginda dengan kuat sehingga perisai kepala dan muka daripada rajutan rantai besi terpecah dua dan menambahkan lagi kecederaan muka yang dialami oleh baginda.

Abdullah ketika itu berkata: "Rasakanlah kau wahai Muhammad, akulah anaknya Qamiah(Qamiah yang bermakna orang yang hina)!"

Sambil membersihkan darah di wajahnya, baginda Rasulullah pun menjawab: "Semoga Allah SWT menghina kamu!"

Ketika itu datanglah para sahabat yang lain membantu baginda. Namun dalam keadaan luka dan kesakitan itu, baginda terjatuh dalam sebuah lubang.

Lubang itu dikatakan digali oleh seorang musuh, iaitu Abu Amir Ar Rahib. Abu Amir sengaja berbuat demikian bagi memerangkap dan mencederakan tentera Muslim terutama baginda sendiri.

Lubang tersebut agak dalam yang menyebabkan baginda tidak mampu keluar. Datang seorang sahabat, iaitu Talhah bin Ubaidullah melompat masuk ke dalam lubang itu.

Lalu dia membongkokkan badannya bagi membolehkan Rasulullah memanjat dan memijak bahunya dan mengangkat nabi ke atas. Ali bin Abi Talib pula menyambut tangan nabi daripada atas lubang itu.

Kemudian Abu Ubaidah bin Jarrah membantu nabi dengan membukakan topeng muka besi pada baginda itu. Setelah dibuka didapati ada serpihan besi topeng itu yang mencucuk pipi baginda lalu Abu Ubaidah menggigit serpihan itu dan dicabutnya. Lalu baginda dibawa berlindung di penjuru Bukit Uhud untuk dirawat.

Pihak musuh berusaha pelbagai cara bagi menembusi benteng para sahabat yang mengelilingi dan melindungi baginda.

Namun, semua usaha itu gagal kerana kukuhnya 'benteng manusia' para sahabat.

Al-Quran 'sentuh' Dr. Miller



Susunan ZUARIDA MOHYIN
INILAH salah satu surah yang telah mengubah kehidupan seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada bernama Dr. Gary Miller.
Photo of Dr. Gary Miller
Dr. Gary Miiler Sumber Gambar
Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.

Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.

Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.

Salah satu contohnya ialah daripada surah di atas ini. Ia berkenaan hubungan antara Muslim dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi Muslim. Hal itu berlaku sampai sekarang di mana musuh bagi umat Islam adalah orang Yahudi.

"Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.

"Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.

"Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya," akui Dr. Miller.

Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran.

Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah.

"Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.

"Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening.

"Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran.

"Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa' ayat 82, saya tambah terkejut," katanya.

Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar.

Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya.

"Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan.

"Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun.

"Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya' ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar.

"Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet," katanya.

Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).
The Amazing Qur'an Dr. Miller's famous work.. sumber gambar
Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.



Boleh juga baca di sini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...